Video| Jangan gaduh-gaduh! Nasi lemak bukan nasi uduk! Nasi kandar bukan nasi padang! Tak faham ke?
Published byRamai pempengaruh media sosial atau pelancong dari Indonesia yang datang memburu makanan di Malaysia sering kali menyama dan membandingkan dengan makanan mereka. Tak salah tetapi adakalanya agak keterlaluan dan tak ‘reti bahasa’.
Walaupun sudah
diberitahu makanan itu dan ini tidak sama, tetapi mereka tetap degil dan
menyamakannya. Bukan mahu membesarkan perkara kecil tetapi apabila dibiarkan,
ia boleh menjadi punca perdebatan dan pertelingkahan dalam media sosial dalam kalangan netizen Malaysia dan Indonesia.
Antara makanan yang sering disamakan ialah nasi lemak dan nasi kandar.
Ini ialah nasi lemak. - Kredit foto: Google Image.
Nasi lemak merupakan makanan tradisi orang Melayu. Namun ia sering disamakan dengan nasi uduk iaitu makanan orang Indonesia.
Kedua-duanya berbeza namun dikatakan sama kerana menggunakan santan sebagai bahan utama dalam nasi.
Nasi lemak ialah nasi yang dimasak menggunakan santan dan daun pandan. Ia dimakan bersama ikan bilis goreng, telur rebus, kacang, mentimun dan sambal bilis. Sambalnya pula diperbuat daripada cili kering yang dikisar.
Manakala nasi uduk pula nasi yang dimasak menggunakan santan, daun salam, daun limau purut dan serai. Ia dimakan bersama tempe goreng, keropok, bawang goreng dan telur dadar. Manakala sambalnya pula menggunakan cili api (cabai rawit) dan kacang tanah.
Bukankah ia berbeza? Cuma yang sama ialah penggunaan santan sahaja.
Ini ialah nasi uduk - Kredit foto: Google Image.
Begitu juga dengan nasi kandar yang berasal dari Pulau Pinang. Orang indonesia sering menyamakan nasi kandar dengan nasi padang.
Pandangan itu disangkal oleh netizen Malaysia kerana nasi padang lebih menyamai nasi campur yang dijual di Malaysia.
Justeru, perkongsian seorang pempengaruh Indonesia mengenai pengalamannya menjamah nasi lemak yang dibeli di gerai tepi jalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur mengundang rasa tidak puas hati netizen Malaysia.
Geram disebabkan dia dengan selamba mengatakan nasi lemak ialah nasi uduk! “Sarapan pagi di Kuala Lumpur, Malaysia (street food),” tulisnya ringkas.
Namun, dalam video yang dikongsi, kedengaran dia menyebut nasi lemak itu nasi uduk. Dia bukan hanya membandingkan tetapi mendakwa nasi lemak ialah nasi uduk.
Kenyataannya itu mengundang amarah netizen Malaysia, sekali gus menyebabkan ramai yang memberi komen dan penjelasan.
“Nasi lemak-nasi uduk. Nasi kandar-nasi padang. Itu jelah yang diulang menunjukkan macam dia sahaja ada budaya. Tak habis-habis nak menyamakan. Kalau kita samakan budaya kita dengan dia, mulalah nak mengamuk,” tulis salah seorang netizen.
Ada juga netizen Malaysia yang pernah merasai sendiri nasi uduk, menjelaskan rasanya tidak sama dengan nasi lemak.
“Saya sudah cuba nasi uduk di Bandung, rasa tak sama langsung dengan nasi lemak. Jadi, saya tak faham kenapa content Indo selalu cakap nasi uduk dan lemak sama,” kata netizen tersebut.
Manakala ada netizen menjelaskan nasi lemak juga ada di Sumatera tetapi di sana mereka tetap panggil nasi lemak dan bukan nasi uduk.
“Jauh beza nasi lemak dengan nasi uduk. Orang Melayu Sumatera dan Riau juga ada nasi lemak tetapi mereka tak panggil nasi uduk, tetap nasi lemak,” tulisnya.
Tak pasal-pasal kena amukan netizen Malaysia. Lain kali datang ke negara orang, jangan suka membanding-bandingkan terutama dalam media sosial.
Nikmati sahaja percutian dan makanan itu. Setiap negara mempunyai makanan khas mereka sendiri. - KitaReporters
Budaya membanding-bandingkan boleh membawa kepada pertelingkahan dalam media sosial.