Halal atau haram! Dengar nama belakang pun dah seram! Boleh ke makan guinea pig atau tikus Belanda!
Published by.
Orang Malaysia terutama yang beragama Islam kalau bab makanan tertentu, mereka memang mengambil berat soal hukum-hakam. Satu prinsip yang boleh dibanggakan.
Tapi lain pula apabila melibatkan bab rokok dan rasuah, masing-masing pejam mata. Terus hilang soal hukum-hakamnya.
Bab hukum-hakam makanan
terutama yang membabitkan haiwan, selagi tiada nas yang jelas mengharamkan,
hukumnya adalah harus. Namun, masyarakat kita mudah menjatuhkan hukum haram
apabila melibatkan haiwan yang tidak biasa dilihat atau bukan berasal dari
Malaysia.
Contohnya perkongsian seorang pengguna Facebook yang mendakwa daging guinea pig atau tikus Belanda halal dimakan. Perkongsian itu telah mengundang pelbagai reaksi dan komen daripada netizen.
“Guinea pig atau
tikus belanda halal dimakan. Rasa macam arnab juga. Sedap dipanggang atau
dimasak kari. Cubalah sekali dalam seumur hidup,” tulisnya.
Mungkin masih ramai yang tidak mengenali haiwan bernama guinea pig atau tikus belanda ini.
Haiwan comel seakan-akan tikus ini merupakan rodensia dari ahli keluarga caviidae dan genus cavia. Walaupun dipanggil tikus Belanda, ia sebenarnya tidak berasal dari Belanda. Ia berasal dari kawasan Andes, Amerika Selatan.
Berbalik kepada perkongsian mengenai status halal guinea pig, ramai netizen berbalah mengenainya. Ada yang kata halal dan sebaliknya. Ada juga kata, kalau halal sekalipun, kita bukan berada dalam keadaan darurat untuk memakannya.
“Banyak lagi
benda boleh dimakan. Takkan benda-benda macam itupun nak makan kecualilah
darurat dah tak ada apa nak makan macam Vietnam dan China. Di daerah mereka
yang susah-sudah tu dia makanlah benda-benda macam ni. Tapi kalau di Malaysia dah
kira tahap teruk sanggat ni,” tulis salah seorang netizen.
Malah, ada juga netizen yang tidak berani untuk memakannya memandangkan nama belakangnya berakhir dengan ‘pig’ walaupun sedar haiwan tersebut bukanlah babi.
“Kalau bunyi
belakangpun dah pig, saya takkan makan,”
tulisnya ringkas.
Ada juga netizen yang berterima kasih kerana maklumat yang diberi banyak memberi ilmu baharu kepadanya. Maklumlah, tidak semua orang tahu atau mengenali haiwan ini.
“Terima kasih atas info ilmunya. Banyak perkara yang saya tak tahu dan telah menjadi ilmu kepada saya. Terima kasih,” ucapnya.
Justeru, bagi menjelaskan hukum sebenar memakan guinea pig kerana perkongsian yang dibuat itu tidak dijelaskan secara terperinci, marilah kita merujuk kepada yang pakar iaitu bekas Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui laman website Maktabahalbakri milik beliau.
Persoalan mengenai hukum memakan guinea pig pernah diajukan pada Jun 2023 lalu.
Menurut beliau, tikus Belanda atau guinea pig ini adalah halal untuk dimakan dan boleh berjual beli dengannya kerana ia kembali kepada hukum asal haiwan darat iaitu halal dan diharuskan selagi mana tidak ada yang menunjukkan kepada pengharamannya. Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya ia mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain.
Pada hakikatnya, ia bukanlah babi mahupun tikus yang diharamkan untuk dimakan, sebaliknya ia adalah haiwan yang berbeza sama sekali.
Apatah lagi ia tergolong dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan seperti bijiran kering, sayur hijau, dan rumput kering serta bukan tergolong dalam jenis haiwan pemangsa yang memiliki taring untuk memburu bagi mendapatkan makanan.
Selain itu, guinea pig ini juga dikaitkan dengan wabar dan kebanyakan ulama berpendapat wabar adalah halal untuk dimakan seperti mana arnab. Tambahan lagi, dikatakan juga bahawa ia telah diburu sebagai makanan selama beratus-ratus tahun. - KitaReporters