Apa 'Uniknya Lenggong'? Tonton dokumentari Panorama di TV1!
Published bySELALUNYA apabila menghampiri hujung tahun, ramai yang sudah ataupun sedang merancang ke mana tujunya destinasi percutian keluarga. Namun disebabkan berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malah ada kawasan yang diperketatkan pergerakannya, kita tidak pasti sama ada berupaya melancong pada musim cuti akhir tahun ini. Jadi apa kata kita tonton dahulu mana-mana tempat pelancongan menarik yang boleh disimpan dalam dairi antaranya, Lenggong. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Perak:
https://kitareporters.com/search?search=perak
Apa uniknya Lenggong yang terletak di Hulu Perak itu?
Jika nak tahu apa ‘Uniknya Lenggong’ barangkali anda boleh menonton program ‘Panorama’ terbitan unit Dokumentari dan Majalah RTM pada 2 November 2020 ini, pukul 10 malam di saluran TV1.
Tahukah anda Lenggong diangkat sebagai destinasi Tapak Warisan Dunia sama seperti yang diiktiraf Pertubuhan Pertubuhan Pendidikan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu kepada Taman Negara Mulu di Sarawak, Taman Negara Kinabalu di Sabah, George Town di Pulau Pinang dan Bandar Raya Melaka.
Tidak syak lagi, dengan keunikan warisan yang dimiliki, negeri Perak khususnya dan Malaysia umumnya mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negara ini.
Kredit foto: libur.com.my
Apa pun menjawab apa ‘Uniknya Lenggong’, bandar yang terletak di bahagian utara negeri Perak, kira-kira 100 kilometer dari utara Ipoh ini, ia kaya dengan aktiviti penternakan dan mempunyai keindahan semula jadi yang tersendiri.
Terdapat banyak tempat menarik di Lenggong yang menjadi pilihan ramai sepanjang tahun.
Pasti anda tertanya-tanya apakah tempat menarik yang menjadi pilihan ramai pengunjung di Lenggong yang terletak berhampiran dengan Kota Tampan dan Gerik ini?
Sudah tentulah apabila mendapat pengiktirafan dari UNESCO, pelancong perlu melawat ke Tapak Warisan Arkeologi Lembah Lenggong yang lokasinya berada di Lembah Lenggong yang disalir oleh Sungai Lenggong.
Lembah ini cukup penting waima pelbagai artifak sejarah purba ditemui di sini seperti ‘Perak Man’, yang merupakan kawasan tempat tinggal manusia terawal yang diketahui di Semenanjung Malaysia.
Untuk pengetahuan mereka yang belum mengetahu apa itu ‘Perak Man’, ia adalah rangka manusia dari zaman batu era Paleolitik yang hampir sempurna dan tertua pernah ditemui di Malaysia, malah di Asia Tenggara dianggarkan pernah hidup kira-kira 10,000 hingga 11,000 tahun lalu.
Rangka ‘Perak Man’ ini ditemui di dalam Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Hulu Perak hasil penyelidikan yang dibuat Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (MARC) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.
Menurut kajian, Perak Man mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan dipercayai mati pada umur antara 40 hingga 45 tahun.
Dan sejak penemuan Perak Man pada 1991, Lembah Lenggong mula mendapat perhatian ramai mengakibatkan banyak lagi kawasan di Lembah Lenggong dikenal pasti menjadi tapak penemuan beberapa lagi artifak penting.
Ekoran satu persatu penemuan prasejarah itulah yang membawa kepada pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 30 Jun 2012.
Menarik ke tidak kome?
Sekadar menyebut beberapa lokasi menarik lain, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong dan Laman Budaya Lenggong, manakala Nur Lembah Lenggong merupakan sebuah kawasan kem yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, termasuk Hutan Lipur Lata Kekabu.
Bersama-sama hos Wan Aliazar, penonton dibawa menerokai keindahan dan keunikan Lenggong malah turut berkongsi kepelbagaian aktiviti seharian penduduk di situ.
Sekarang ini pula Kerajaan Perak sedang aktif mempromosikan program TV ‘Moh Kenei Perak’ hasil inisiatif Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi mempromosi Perak dan membantu sektor pelancongan yang teruk terjejas ekoran wabak Covid-19 kan?
Menariknya, lagu tema ‘Moh Kenei Perak’ dinyanyikan artis kelahiran Perak, iaitu Dato Jamal Abdillah dengan kumpulan penyanyi kembar seiras yang juga orang Perak, AishaHanim.
Begitu pun, kembali kepada program ‘Panorama’ bagi episod ‘Uniknya Lenggong’, jangan lupa menyaksikannya di TV1 pada 2 November 2020, pukul 10 malam ya, manakala 'Moh Kenei Perak' bersiaran setiap hari Khamis di TV3. - KitaReporters