Menarik sangat! Restoran 'kelambu' tangani Covid-19 di Turki
Published bySETELAH ditutup untuk tempoh yang lama akibat pandemik Covid-19, kebanyakan restoran dan kedai makan di Turki dibuka semula mulai awal Jun 2020 dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai menjamin keselamatan pelanggan, di samping menghindari penularan virus Covid-19 itu. : KitaReporters
SUNGGUH menarik ruang makan berbentuk kelambu lut sinar ini. Bukan sahaja pelanggan selesa menjamu selera tanpa bimbang dijangkiti virus Covid-19, bahkan mereka juga boleh menyaksikan pemandangan yang indah di sekeliling ruang makan tersebut. - Kredit foto: Osman Orsal/Xinhua.
Sebuah restoran di Istanbul, Restoran Turkce Meze, bukan sahaja mematuhi ciri keselamatan ketat seperti pematuhan kepada penjarakan sosial atau social distancing, tetapi juga menyediakan ruang khusus menjamu selera yang eksklusif dan kondusif untuk para pelanggan.
Ruang ini berbentuk belon atau kelambu tetapi lut sinar, lengkap dengan pintu masuk. Di dalamnya dilengkapi dengan kerusi meja pada jarak menurut SOP.
Selain itu ia sentiasa dibersihkan dengan semburan nyahkuman sementara pelanggan disediakan dengan pencucui tangan atau sanitizer.
Dengan keadaannya yang ‘terkurung’ memang memberi keyakinan dan keselesaan kepada pelanggan kerana tidak terdedah kepada suasana luar yang memungkinkan jangkitan Covid-19.
Memetik laporan agensi berita Xinhua, restoran ini yang menghadap laut dengan menyajikan pemandangan indah di sekitarnya memang menyejukkan mata memandang.
Ketika petang dengan panorama matahari terbenam menambah keindahan suasana ini.
MEJA makan dalam ruang menjamu selera 'kelambu' di Restoran Turkce Mese, Istanbul, Turki di mana penjarakan sosial amat dititik beratkan. - Kredit foto: Xinhua.
Pemilik restoran Turkce Meze, Cevdet Aysas memberitahu, menjamu selera dalam ‘kelambu’ ini dan dengan pematuhan kepada SOP, pelanggannya akan terlindung daripada bahaya penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, apabila wabak Covid-19 melanda Turki pada Mac, dia memikirkan satu cara terbaik untuk membolehkan para pelanggannya menjamu selera atau makan malam dalam suasana aman dan tenang tanpa bimbang dengan penularan virus Covid-19.
Ekoran itu tercetuslah idea menyediakan ruang makan ‘kelambu terkurung’ ini. Sebanyak lapan kawasan zon makan sedemikian disediakan dengan menggunakan bahan-bahan polikarbonat.
Aysas memberitahu, kakitangan restoran sentiasa menjaga kebersihan ruang makan ini dengan proses nyahkuman menggunakan generator ozone dan pancaran ultra ungu.
Selain itu, beberapa botol pewangi tradisi Turki serta pembersih tangan disediakan di atas setiap meja untuk kegunaan pelanggan.
Dalam usaha mematuhi SOP kesihatan yang tinggi, interaksi antara pelanggan dan pelayan dipastikan berada pada tahap paling minimum.
Menurut Aysas, jika pelanggan memerlukan khidmat pelayan, mereka hanya perlu menekan butang untuk memanggil mereka.
Pelayan yang lengkap dengan penutup dan pelindung muka serta sarung tangan akan segera datang untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Para pelanggan pula diwajibkan memakai penutup muka pada kawasan awam di restoran itu. Bagaimana pun mereka boleh membukanya sebaik sahaja memasuki tempat makan.
PEMANDANGAN dari luar ruang makan berbentuk belon atau 'kelambu' lut sinar di Restoran Turkce Mese, Istanbul, Turki sungguh menarik dan memberi perlindungan kepada pelanggan daripada penularan Covid-19. - Kredit foto: Xinhua.
Untuk memastikan ruang makan eksklusif ini dapat digunakan oleh ramai pelanggan, mereka yang ingin datang tidak boleh secara terus masuk atau ‘walk ini’.
Sebaliknya mereka perlu membuat tempahan melalui sistem atas talian.
Mereka yang datang pula hanya dibenarkan berada maksimum
tiga jam dalam ‘kelambu’ ini sebelum
giliran pelanggan lain pula.
Antara tempoh masa pelanggan yang pergi dan datang ini,
pihak restoran menjalankan kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman bagi
memastikan aspek kebersihan dan keselamatan pelanggan sentiasa terpelihara.
Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri Turki
juga telah mengeluarkan pekeliling mengingatkan restoran dan premis makanan
serta minuman mematuhi SOP untuk mengelak penularan virus Covid-19.
Oleh itu, langkah yang diambil oleh Restoran Turkce Meze bukan sahaja selangkah ke hadapan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan, tetapi juga menyediakan tempat menjamu selera yang benar-benar memberi perlindungan dan keselesaan kepada pelanggan.
Untuk rekod, sehingga 22 Jun 2020, Turki mencatatkan 188,897 kes positif Covid-19 dengan jumlah kematian 4,974 orang. - KitaReporters
Kredit foto: https://www.coronatracker.com/country/turkey/