Video| Bukit Berot, tarikan baharu Jenderam Hilir! Tumpuan pengunjung luar setiap hujung minggu
Published byKEHADIRAN deretan buah kenderaan diletakkan di sebuah lokasi berhampiran Kampung Jenderam Hilir pada setiap hujung minggu menyebabkan penulis sedikit hairan dan cetuskan tanda tanya dalam diri.
Namun, setelah diselidiki barulah diketahui bahawa mereka merupakan pengunjung luar yang datang untuk menjalani aktiviti mendaki atau hiking di sebuah bukit dikenali sebagai Bukit Berot.
Meskipun lebih lima tahun penulis menjadi penduduk di Jenderam Hilir terletak dalam mukim Dengkil, daerah Sepang, penulis langsung tidak tahu mengenai Bukit Berot yang menjadi daya tarikan di Jenderam Hilir.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jenderam Hilir
Aktiviti hiking di Bukit Berot boleh dilakukan bersama keluarga dan anak-anak.
Sebaik mengetahui perkara itu, suami dan anak-anak penulis tidak melepaskan peluang untuk mendaki Bukit Berot andai ada kelapangan masa.
Kini, hampir setiap minggu suami secara solo atau bersama rakan sepejabatnya akan mendaki bukit tersebut sebagai salah satu aktiviti riadah yang menyihatkan tubuh badan.
Apa yang pasti, antara tarikan pengunjung sudah tentu kenangan merakam gambar ikonik di bawah pencawang elektrik yang terdapat di puncak Bukit Berot.
Seorang pendaki, Mustapa Lakawa berkata, terdapat beberapa laluan untuk sampai ke puncak Bukit Berot yang mempunyai jarak antara lima hingga 12 kilometer naik dan turun.
“Ada jalan yang mudah, sederhana dan agak sukar. Ada jalan A, B dan C tetapi A paling mencabar. Semuanya ada cabaran serta keseronokan tersendiri apatah lagi apabila dapat bergambar di bawah pencawang elektrik yang mewujudkan aura luar biasa.
“Maklumlah, tidak banyak bukit yang terdapat pencawang elektrik di atasnya, biasanya kita lihat cuma pemandangan dan mungkin ada batu besar untuk bergambar. Kalau nasib baik, kita dapat saksikan awan karpet serta cuaca sejuk seperti di Kundasang, Sabah.
"Tetapi di Bukit Berot terdapat pencawang dan juga tugu logam berbentuk segi tiga yang menjadi elemen penambah seri dalam aspek fotografi," kata Mustapa yang merupakan peminat hiking tegar.
Beliau yang pernah mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu sebanyak lima kali mengakui, lokasi itu sesuai untuk dijadikan rutin hiking saban minggu.
“Setakat ini saya sudah cuba dua laluan dan setiap laluan mengambil masa yang berbeza. Tetapi pada akhirnya kita tetap akan sampai ke puncak dan berpeluang merakam gambar yang menarik di bawah pencawang elektrik,” ujarnya.
Bagi Muhammad Firdaus Hassan pula, bentuk muka bumi Bukit Berot yang menaik, landai dan menurun membuatkan ia menjadi satu kawasan yang wajib dicuba oleh penggemar sukan mendaki.
“Saya sering daki bersama rakan-rakan kerana dapat juga teman dan berbual sambil berjalan. Rancak berbual sehinggakan kita tak sedar dan tahu-tahu sudah sampai,” katanya.
Menurut satu artikel yang disiarkan oleh akhbar Harian Metro, tapak penempatan terawal itu terletak di kawasan perlombongan bijih timah di selatan Sungai Langat, kira-kira enam kilometer dari pekan Dengkil.
Kawasan berkenaan menjadi lokasi penemuan artifak purba yang dianggarkan berusia 4,500 tahun lalu (wujud sejak 2,500 Sebelum Masihi).
Dalam pada itu, penduduk tetap di kampung tersebut yang mahu dikenali sebagai Khairul memberitahu, kawasan bukit itu juga merupakan lokasi aktiviti sukan bermotor (cub cross).
"Biasalah, binatang pun makhluk Tuhan juga dan itu hutan memang habitatnya. Setakat ini belum pernah lagi berlaku kejadian yang tak diingini. Moga dijauhkan, Insya-Allah," ungkapnya.
Melihat koleksi gambar yang ada, teruja pula untuk mencuba. Moga, satu hari nanti ada rezeki penulis mampu mendaki sampai ke puncak dan bergambar di bawah pencawang elektrik yang disebut-sebut. - KitaReporters
Mustapa bersama dua rakannya merakam gambar di bawah pencawang elektrik yang terdapat di atas bukit ini sekali gus menjadi momen istimewa buat para pendaki.