Tahun Melawat Melaka 2024! Melaka sedia jadi hab pelancongan! Tawar budaya, kelainan negeri Hang Tuah!
Published byMelaka Bandaraya Bersejarah merupakan antara lokasi pelancongan yang popular di Malaysia.
Bukan sahaja nilai estetik sejarah yang dimiliki, Melaka juga terkenal dengan tarikan kulinari memberi kelainan kepada pengunjung dari segi suasanan dan juga rasa.
Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024), Melaka telah bersedia untuk menjadi hab pelancongan bukan sahaja untuk pengunjung tempatan tetapi juga pengunjung antarabangsa yang ingin mengenali budaya dan kelainan negeri Hang Tuah ini.
Sudah pasti, bagi pengunjung tempatan, antara tarikan di negeri ini adalah keunikan pengalaman menjamu selera yang ditawarkan dari sekecil-kecil gerai hinggalah ke cafe yang diberi suntikan estatik yang pasti memberi pengalaman yang mengimbau kenangan lama.
Mulakan hari dengan secangkir kopi
Bagi penggemar kopi, anda boleh mulakan hari anda dengan secangkir kopi di Kafe Tuju yang merupakan antara lokasi kegemaran ramai yang mejadi lokasi peminat muzik dan seni bertemu.
Terletak di Kampung Pantai, Melaka, Kafe Tuju yang diasaskan oleh pasangan suami dan isteri – Juliana Nazar & Qamar Zamri telah menarik ramai anak muda untuk menjadikan Kafe Tuju sebagai tempat persinggahan untuk melepak dan sesi bertukar idea kreatif sejak ia dibuka pada 2019.
Dekorasi Kafe ini juga membawa anda kepada satu pengalaman yang nostalgik seperti di kedai kopi dahulu kala.
Sudah tentu ia merupakan lokasi yang tenang untuk menjamu selera sambil menghirup kopi bersama teman dan ahli keluarga.
Selera barat, suasana klasik
Bagi penggemar makanan Barat, The Daily Fix Cafe adalah lokasi yang paling sesuai sebagai lokasi menjamu selera sambil menikmati ‘sesi borak-borak’ bersama teman dalam suasana klasik yang menenangkan.
Terletak di Jalan Hang Jebat, The Daily Fix juga menawarkan kopi yang baru dibrew dengan aroma yang mengujakan dan juga pastri enak dari bakeri mereka The Curious Bakers.
Mereka juga menawarkan menu-menu barat seperti pasta, burger dan sebagainya.
Menariknya, The Daily Fix memanggang biji kopi mereka sendiri dan turut menjualnya kepada pelanggan.
Kepada mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman suasana klasik dan mendapatkan biji kopi yang baru dipanggang, boleh kunjungi The Daily Fix.
Cafe Chef Wan
Bagi mereka tidak berkesempatan berkunjung ke kafe atau restauran milik chef selebriti antarabangsa kesayangan Malaysia, Cef Wan di Kuala Lumpur dan Selangor, boleh mencuba di The Shore Shopping Gallery.
Seperti personaliti pemiliknya, Cafe Chef Wan memberi suasana yang penuh keceriaan dengan dekorasi yang diinspirasikan oleh Moulin Rouge and Paris selain barisan menu yang dipengaruhi oleh pengalamannya yang telah menjangkaui negara global.
Menu-menu yang ditawarkan adalah gabungan juadah tradisional Malaysia seperti Mi Rebus dan Lamb Kerutup dan juga antarabangsa seperti Fish & Chips Jamaca Stew Kambing Irish.
Makan malam di Kampung Morten
Kampung Morten adalah lokasi pelancongan paling sinonim di Melaka.
Kampung Morten terletak di tengah-tengah Bandar Raya Melaka (Kampung Morten, 2012). Ia dikelilingi sungai Melaka dan termasuk dalam perjalanan “Melaka River Cruise”.
Kampung ini dianggap sebagai muzium hidup memandangkan ramai penduduknya masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah dari zaman dahulu.
Kampung ini mempamerkan keunikan reka bentuk 200 buah rumah Melaka tradisional, dengan bumbung, tangga batu, hiasan dalaman dan landskap yang unik (Kampung Morten, 2012).
Ia seolah-olah dapat membawa pengunjung bersama-sama ‘kembali’ kepada zaman Kerajaan Melayu Melaka (Farihan Han, 2012). Ketika matahari melabuhkan tirainya, Kampung Morten masih terang benderang dihiasi pelbagai lampu-lampu neon yang menarik.
Di sekeliling kampung ini terdapat pelbagai gerai-gerai makanan yang menawarkan pelbagai juadah. Deretan meja juga di buka bagi membolehkan anda menikmati juadah di tepi sungai Melaka yang sudah pasti menimbulkan suasana romantik.
Bukan sahaja itu, anda juga boleh melihat Melaka River Cruise yang membawa penumpang merentasi sunagi Melaka dan juga rumah-rumah tradisional Melaka yang masih mengekalkan keaslian seni binanya.
Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026)
Tahun Melawat Malaysia telah ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik RM97. 6 bilion.
Bagi mencapai sasaran tahun 2026, marilah kita memberi sokongan dalam mempromosikan dan menyokong sektor pelancongan negeri.
Selepas sempadan dibuka semula untuk aktiviti pelancongan, ramai yang berpusu-pusu menyusun jadual untuk membawa ahli keluarga melancong dan keluar dari kesibukan urusan harian.
Maka, marilah kita membawa anak-anak dan ahli keluarga melawat dan mengenali keindahan negeri-negeri yang terdapat di dalam Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media