Trek basikal melalui pantai mula dibuka kepada orang ramai


PEMILIK basikal yang berkunjung ke Terengganu boleh menikmati keindahan dan panorama pantai dan laut dengan mengayuh basikal apabila laluan khas basikal pertama di Terengganu bakal mula dibuka kepada orang ramai. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata laluan basikal sepanjang 18.6 kilometer dua hala berharga RM4 juta tersebut turut mempunyai empat mercu tanda bermula dari Bulatan Teluk Ketapang dan tamat di belakang Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) (Mercu Tanda 4).


Wan Sukairi Wan Abdullah


Katanya, laluan basikal yang sepanjang 9.3 kilometer sehala ini juga merangkumi pembinaan trek basikal, perabot jalan, pagar, lampu jalan dan papan tanda.

"Dengan adanya kemudahan tersebut diharap akan membudayakan aktiviti berbasikal dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, serta melahirkan lebih ramat atlet berprestasi tinggi dari Terengganu," katanya.

Menurutnya, penyediaan laluan basikal itu turut dilihat salah satu usaha daya tarikan baharu pelancong ke Terengganu. 

"Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) atau pengusaha hotel yang berdekatan boleh menyedia basikal untuk disewa atau dibuat pakej-pakej hotel yang merangkumi sewaan basikal di samping menikmati pemandangan di sepanjang laluan pantai," katanya lagi. 



Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif berkata, pihaknya memandang serius terhadap pihak tidak bertanggungjawab terhadap penyalahgunaan laluan basikal dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita akan memasang papan tanda amaran termasuk meletakkan batu penghadang bagi menghalang kenderaan bermotor menggunakannya selain mengenakan tindakan undang-undang setelah diwartakan.

"Orang ramai juga diminta bersikap sewajarnya sebelum melakukan perkara yang boleh merosakkan laluan basikal tersebut," katanya lagi. - KitaReporters


Pemandang Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus,Terengganu

15
5
1
14
0

Copy Link: