Balik kampung! Beli mangga Harumanis! Sebagai bekalan perjalanan pulang Aidilfitri pelajar UUM!
Published byADA dalam mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan pulang untuk cuti menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan membawa pulang buah mangga Harumanis kepada ibu bapa dan keluarga di kampung.
Pelajar semester empat program Sarjana Muda Pemasaran Azad Mohd Razin, 21, berkata, mangga Harumanis atau mempelam dari utara tanah air Perlis ini sentiasa menjadi kegilaan sesiapa sahaja biarpun harganya meningkat saban tahun.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mangga Harumanis
Azad Mohd Razin pulang ke Johor.
“Saya kebetulan yang akan pulang beraya di Johor dengan menaiki bas telah diminta oleh keluarga untuk membawa pulang harumanis ketika pulang bercuti dari UUM nanti,” katanya ketika ditemui semasa mengemaskan pakaian untuk pulang ke kampung.
Manakala rakannya Muhammad Amirul Haziq Rosman, 21, yang akan pulang ke Kuala Krai, Kelantan juga telah menempah Harumanis sebanyak tiga kilo.
Sementara itu tinjauan sekitar Inapan Siswa (Inasis) MAS/TNB univesiti ini kelihatan ramai pelajar yang mula mengemaskan barang dan ada yang mula pulang dengan kenderaan sendiri atau menggunakan kenderaan lain antaranya bas, kereta api dan kapal terbang.
Muhd Aiman Zikry Mohd Zaidie yang ditemui berkata, sambutan Syawal tahun ini amat dinantikan setelah dua tahun terpaksa beraya di kampus.
“Lemang, rendang kerbau, ketupat lemak dan semperit masakan ibu menjadi juadah yang ditunggu-tunggunya,” ujarnya lagi.
Gembira dapat pulang untuk beraya.
Dalam pada itu Pengetua Inasis MAS/TNB Dr Rohani Abdullah ketika ditemui berkata, pelajar-pelajarnya mula pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat menyambutnya kerana COVID-19.
“Pastinya sambutan raya kali ini lebih bermakna bagi pengguna kenderaan terutama apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April (2022) lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan,” katanya.
Oleh itu beliau menasihatkan semua pengguna lebuh raya berhati-hati dalam pemanduan mereka khususnya pelajar UUM yang akan pulang untuk beraya bersama ahli keluarga. - KitaReporters