Program Khabak Bukit Jelutong Kpg Kepah! Selawat bergema di puncak! Dikelilingi awan karpet!
Published byAKTIVITI mendaki gunung atau bukit yang dahulunya dianggap lasak dan tidak sesuai untuk semua peringkat umur khususnya warga emas serta kanak-kanak kini kian menjadi pilihan masyarakat untuk beriadah.
Perkembangan
tersebut secara tidak langsung juga menarik perhatian pelbagai pihak anjurkan
aktiviti atau program pendakian sama ada secara santai atau fun hike atau berbentuk pertandingan
melibatkan komuniti setempat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mendaki
Tazkirah duha dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW turut diadakan di puncak sempena Program Khabak Bukit Jelutong di Kampung Kepah, Hulu Terengganu.
Terbaharu
di daerah Hulu Terengganu, Program Khabak Bukit Jelutong Kampung Kepah telah
diadakan pada 29 Oktober 2021 lalu melibatkan kira-kira 300 penyertaan khususnya
dalam kalangan masyarakat Dun Telemong.
Menariknya, program anjuran Pejabat Penyelaras Dun Telemong melibatkan kerjasama belia dan beliawanis itu tidak hanya melibatkan aktiviti pendakian santai semata-mata tetapi padat dengan pengisian rohani termasuk tazkirah duha serta berselawat di atas puncak.
MOHD SAFARI ABU
Penyelaras Dun Telemong, Mohd Safari Abu berkata program berkonsepkan ‘fun hike’ berkenaan bagi mengeratkan ukhwah sekali gus memperkenalkan lagi bukit yang berpotensi dijadikan daya tarikan pelancongan.
“Bukit Jelutong berketinggian kira-kira 200 meter dari paras laut (mdpl) ini makin menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki terutama yang gemar memburu ‘awan karpet’. Orang ramai boleh melihat pemandangan dari puncak secara 360 darjah.
“Melalui penganjuran Program Khabak Bukit Jelutong Kampung Kepah ini secara tidak langsung bagi menarik kehadiran komunti setempat untuk sama-sama naik ke puncak bagi menikmati serta menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya.
“Program mendaki ini juga sebagai salah satu aktiviti sempena Bulan Semarak Cinta Rasul Dun Telemong. Selain riadah, kita selitkan juga dengan tazkirah serta berselawat beramai-ramai ke atas Baginda,” katanya ketika ditemui KitaReporters di Bukit Jelutong, Hulu Terengganu.
Pemilik tanah di puncak Bukit Jelutong ialah Che Wan Yusof Che Wan Non, 57, dari Kampung Kepah, Hulu Terengganu. - Kredit foto: FB CW Yusof
Tambah
Mohd Safari, program mendaki seumpama itu merupakan penganjuran kali ketiga
pihaknya selepas Bukit Tawang, Kampung Kuala Pueh serta Bukit Batu Kapal, Kampung
Gerdong yang kesemuanya terletak dalam Dun Telemong.
Katanya lagi, Dun Telemong sememangnya mempunyai banyak bukit yang sesuai untuk aktiviti pendakian sama ada melibatkan laluan santai atau pun sukar (hardcore).
“Selain Bukit Jelutong, antara lokasi bukit di Dun Telemong yang sudah menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki ialah Bukit Tok Gunung, Bukit Tawang, Bukit Basung, Bukit Batu Kapal serta Bukit Kabung,” ujarnya. - KitaReporters
Mohd Safari (tiga dari kiri) di puncak Bukit Jelutong, Kampung Kepah, Hulu Terengganu.
Batu besar berbentuk kapal daya tarikan di Bukit Batu Kapal, Kampung Gerdong, Hulu Terengganu yang mitosnya sebuah kapal dagang bertukar menjadi batu.