Amaran di Disney World! Jangan makan minum ketika berjalan!
Published by"DILARANG makan minum sambil berjalan!! Anda hendaklah duduk pada satu tempat tertentu ketika makan dan minum." Inilah amaran keras daripada pihak pengurusan Walt Disney World kepada para pengunjung taman tema di Amerika Syarikat itu dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. : KitaReporters
MAKANAN sudah dibeli, penutup muka masih dipakai. Perlu pergi ke tempat statik untuk membuka penutup muka barulah boleh makan minum. - Kredit foto: brookegmcdonald/dateline.com
Amaran ini dikeluarkan untuk memastikan para pangunjung taman tema tersebut sentiasa mematuhi Operasi Prosedur Standard (SOP) seperti memakai pelitup muka (masks), di samping mengamalkan penjarakan sosial atau social distancing sepanjang masa ketika berada di dalam kawasan taman tersebut.
Memetik laporan dateline.com, pada awalnya Disney World memberi kelonggaran kepada pengunjung untuk tidak memakai penutup muka ketika makan dan minum di mana-mana tempat dalam taman itu, termasuk ketika berjalan.
Bagaimana pun kelonggaran itu menyebabkan orang ramai di taman tersebut bebas berjalan ke sana ke mari sambil makan atau minum dengan mengabaikan sama sekali pemakaian penutup muka.
Statistik mengenai wabak Covid-19 di Amerika Syarikat pada 22 Julai 2020.
Walt Disney World sebelum ini telah dikecam hebat oleh pelbagai pihak kerana membuka semula taman tema tersebut pada 11 Julai 2020 ketika ancaman Covid-19 masih terus meningkat, terutama di negeri Florida di mana taman tema tersebut terletak di Orlando.
Kecaman ini menyebabkan pihak pengurusan mengambil pelbagai langkah perlu yang lebih ketat dalam usaha mengekang penularan wabak penyakit berkenaan, termasuk beberapa peraturan baharu mengenai penjarakan sosial, kapasiti pengunjung serta aspek kebersihan.
Selain itu, pemakaian pelitup muka diwajibkan pada sepanjang masa.
Kerana itulah apabila berlaku pengabaian kepada aspek ini, pengurusan menetapkan makan minum mesti pada satu tempat statik tertentu, tidak boleh sambil berjalan. Mereka juga perlu patuh pada penjarakan sosial ketika makan.
Jika makan minum sambil berjalan pasti mereka akan menanggalkan penutup muka. Ini bukan sahaja melanggar SOP tetapi juga mengundang risiko penularan virus pembunuh tersebut.
Selepas habis makan minum barulah mereka dibenarkan bergerak semula.
Tanda-tanda amaran mengenai wabak Covid-19 dipasang di Walt Disney World. - Kredit foto: thesun.co.uk
Blog popular Disney seperti Walt Disney Worls News Today dan Mickey Blog juga telah menyiarkan mengenai peraturan baharu yang dikenakan ini dengan ingatan ‘anda hendaklah makan atau minum dalam keadaan statik’.
Pihak Walt Disney World juga mengemas kini polisi rasminya berhubung perkara ini dengan memberi ingatan:
“Anda boleh membuka penutup muka ketika makan atau minum tetapi anda mestilah dalam keadaan statik dan mematuhi peraturan penjarakan sosial.”
Berdasarkan peraturan tersebut, pengunjung dikehendaki
mencari tempat yang sesuai untuk makan minum dan memastikan jarak
sekurang-kurangnya dua meter daripada pengunjung lain sebelum membuka penutup
muka.
Ramai pengunjung menyambut baik peraturan baharu yang
dikenakan oleh Walt Disney World dalam usaha mengekang penularan Covid-19 ini, sekalipun
peraturan tersebut mungkin mendatangkan sedikit ‘kesusahan’ kepada pengunjung
pada peringkat awal.
Bagi mereka, yang lebih penting ialah mengekang penyebaran virus pembunuh itu dan memastikan ketika mereka seronok berlibur, semua SOP yang ditetapkan mesti dipatuhi.
WALT Disney World di Orlando, Florida, sentiasa menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong dari seluruh dunia. - Kredit foto: todayheadline.co.
Malah ada di antara mereka menyifatkan peraturan memakai pelitup muka itu sangat baik walaupun terpaksa memakainya sepanjang masa di dalam taman dan hanya boleh dibuka pada masa makan dan minum.
Bagi kebanyakan mereka yang patuh dengan pemakaian penutup
muka ini, langkah Walt Diseny World memang sangat dialu-alukan.
“Kami sudah letih dan sangat geram dengan sikap orang ramai yang mengabaikan peraturan memakai penutup muka ini,” kata mereka. - KitaReporters