Moh kita ke Floria Diraja Putrajaya! Raja Zarith Sofiah rasmikan! Lebih 700k tumbuhan berwarna warni!
Published byFloria Diraja Putrajaya (RFP) 2024 kali ke-13 membuka tirai persembahan bermula 22 Ogos 2024, meraikan kecantikan warna warni ratusan ribu bunga-bungaan selama 11 hari sehingga 1 September 2024.
RFP kali ini mengangkat petunia sebagai bunga tema kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan kelopak bunganya yang cantik dan menjurai mampu menyuntik elemen estetika seolah-olah menerangi dan menceriakan kehadiran pengunjung.Perasmian Floria Diraja Putrajaya disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang turut melawat tapak festival di Persisiran Tasik, Presint 2, yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan selain tanaman hiasan.Raja Zarith Sofiah dipersembah dengan orkid hibrid spesies Vanda yang dinamakan sempena nama baginda iaitu Vandacostyllis Queen Zarith Sofiah selepas baginda merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2024 di Pesisir Tasik, Presint 2, Putrajaya. - Gambar Jabatan Penyiaran Malaysia
Inilah kali ke-13 Royal Floria Putrajaya diadakan sejak kali pertama diadakan pada 2007 dan dihentikan dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah turut dipersembah hibrid baharu orkid spesies Vanda yang dinamakan ‘Vandachostylis Queen Zarith Sofiah’ sebagai kenang-kenangan daripada Perbadanan Putrajaya (PPj).Sehari sebelum majlis perasmian, petugas media dibawa melawat tapak pameran bersama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud. Ini bagi memberi peluang mereka menghayati dan melihat secara dekat RFP 2024, sekali gus dapat menghasilkan berita serta rencana lebih menarik dalam media masing-masing.
Juraian bunga pelbagai warna warni menyambut kehadiran pengunjung sempena Royal Floria Putrajaya 2024.
Fadlun berkata, komponen utama Floria Diraja Putrajaya ialah pameran lebih 700,000 bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna yang disusun hias dalam bentuk taman serta gubahan menarik.
Tarikan utama pastinya taman yang dibina oleh lebih 30 jabatan dan agensi termasuk Perbadanan Putrajaya yang mengetengahkan idea segar dan reka bentuk unik.
Beliau berkata, antara agensi yang mengambil bahagian dalam pameran itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan, Jabatan Landskap Negara (JLN), Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Putrajaya Holdings.Datuk Fadlun Mak Ujud
"Tarikan lain ialah Astaka Flora iaitu pameran bunga-bungaan yang menghimpunkan 10 negara, antaranya Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina, Taiwan, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Brunei selain Malaysia.
"Astaka Flora membawa tema Tropical Wonders Highland & Lowland (Keajaiban Tropika di Tanah Tinggi dan Tanah Rendah) dengan menjanjikan keindahan koleksi tumbuh-tumbuhan tropika yang menyuntik suasana segar dan nyaman dalam hiasan taman."Ada juga Taman Malaysia Madani dan Taman Diraja yang menjadi tarikan utama bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya," katanya dalam sidang akhbar selepas "Sesi Walkbout dan Media Preview" sekitar tapak pameran RFP 2024.
RFP 2024 mengangkat petunia sebagai bunga tema kerana keunikan struktur pertumbuhan dan keindahan kelopak bunganya yang cantik.
Fadlun berkata, RFP 2024 akan mempamerkan lebih 500 orkid dalam pelbagai spesies dan hibrid berwarna warni. Selain pertandingan orkid, pameran turut mengetengahkan lebih 15 koleksi orkid khas yang terdiri daripada nama-nama diraja dan orang kenamaan.
"Selain pameran orkid, Floria Diraja Putrajaya 2024 akan mempamerkan keindahan seni landskap miniatur (terarium) dalam 40 balang kaca lutsinar melalui kreativiti pelajar sekolah, pertandingan bonsai dan suiseki selain persembahan Floral Masterpiece bertema koleksi tumbuhan tanah tinggi dan tanah rendah."Kami juga sudah menyenaraikan lebih 100 aktiviti sampingan antaranya bengkel, demontrasi, larian, berbasikal dan pertunjukan pentas terdiri dari acara kebudayaan dan artis popular sepanjang 11 hari pameran bunga ini," katanya lagi.
Pengunjung Royal Floria Putrajaya dapat melihat pemandangan alam semula jadi Pesisir Tasik Presint 2 Putrajaya selain pameran bunga-bungaan.
Bagi pengunjung terutama yang mungkin pertama kali ke RFP 2024, katanya mereka usah bimbang kerana pihaknya menyediakan 50 sukarelawan "Ask Me" terdiri daripada pelajar universiti bagi membantu menunjuk arah kepada mereka.
"Tapak pameran turut menyediakan kemudahan dua surau kabin yang boleh memuatkan 15 jemaah dan dua uni surau di bangunan selain tandas di Monumen Alaf Baru, dua unit tandas VIP, tandas OKU, 60 unit tandas bergerak dan tambahan seunit tandas diraja."Jika pengunjung datang menggunakan kenderaan, kami menyediakan 300 unit parkir bagi VIP dan urus setia selain 700 unit parkir awam. Insya-Allah tiada akan berlaku kesesakan serius kerana ada 20 anggota penguat kuasa selain 12 anggota Rela yang membantu menyelaras lalu lintas, aliran trafik dan kawasan parkir," katanya.
Keindahan taman dengan pelbagai bunga milik Jabatan Landskap Negara.
Tapi sebaiknya, beliau meminta pengunjung menggunakan pengangkutan awam kerana penganjur menyediakan tiga unit bas pengantara secara percuma dengan kekerapan 30 minit bermula jam 7.30 pagi hingga 10.30 malam setiap Isnin hingga Jumaat dan sehingga jam 12.30 malam bagi Sabtu dan Ahad.
Perkhidmatan bas percuma boleh dinaiki dari Terminal Putrajaya Sentral.
"Kemudahan pengangkutan air turut disediakan iaitu Cruise Tasik Putrajaya dan teksi air yang boleh dinaiki melalui lapan jeti utama di Taman Botani, Kelab Tasik Putrajaya, Zenith Hotel, Monumen Alaf Baru, Jakim, Marina Putrajaya dan Anjung Floria," katanya.Harga tiket ialah RM10 bagi warga negara, RM5 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dan percuma bagi Orang Kelainan Upaya serta kanak-kanak bawah enam tahun.
Bagi bukan warganegara pula, RM30 bagi dewasa, RM25 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.
Bagaimanapun, bagi memudahkan pengunjung membeli tiket dan mengelak beratur panjang di kaunter tapak pameran, mereka boleh melayari, http://floria.putrajaya.my untuk pembelian tiket secara dalam talian.
Taman Perbadanan Putrajaya sentiasa mencuri tumpuan pengunjung yang hadir ke RFP 2024 kerana kreativiti menyusun pelbagai bunga berwarna warni.
Sementara itu, pengunjung yang hadir sempena RFP 2024 juga berpeluang melihat buat pertama kalinya Kapsul Masa yang ditanam pada 29 Ogos 1995.
Kapsul yang dibuka pada 2020 itu akan dibuka kepada pengunjung untuk mereka melihat sendiri apa antara perkara yang terkandung di dalam kapsul berkenaan.
Monumen Alaf Baru yang berketinggian 68 meter dan terletak di Presint 2 itu adalah monumen negara yang pertama di Putrajaya.
Umpama roket yang bakal dilancarkan ke angkasa, ia direka seperti pelantar tinjau berbentuk beranda yang dibahagikan kepada 4 pecahan bagi menggambarkan era Malaysia pramerdeka (sebelum tahun 1957), pascamerdeka (1957-1970), Malaysia kini (1971-2020) dan Malaysia akan datang pada tahun 2020 dan ke atas. - KitaReporters
Hobbit Putrajaya antara taman yang menjadi tarikan pengunjung sempena RFP 2024.