BIASANYA kedai makan atau restoran seronok apabila ramai pelanggan datang berkunjung. Kedatangan mereka dialu-alukan dan disambut dengan tangan terbuka. Semakin ramai pelanggan semakin banyak pendapatan diperoleh. : KitaReporters.com

ANGGOTA SoCO mempamerkan bantahan terhadap sikap premis makanan di Hong Kong yang memulaukan pelanggan dari tanah besar China dan menganggap itu sebagai diskriminasi kaum. - Kredit foto: South China Morning Post.


Tetapi tidak demikian halnya dengan sesetengah restoran di Hong Kong yang enggan menerima pelanggan dari tanah besar China gara-gara penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19.

Sebuah pertubuhan hak asasi manusia dikenali sebagai  ‘The Society for Community Organization’ (SoCO) mendakwa, 100 buah restoran di bekas tanah jajahan British itu didapati memulaukan pelanggan dari tanah besar sejak tercetusnya wabak COVIC-19 di Wuhan, China.

Memetik laporan South China Morning Post, SoCO mendakwa, premis makanan ini membuat posting atau makluman secara online, atau meletakkan notis di premis mereka menghalang pelanggan yang berbahasa Mandarin  dan bukan penduduk tempatan memasuki premis mereka.

Mandarin ialah bahasa rasmi di tanah besar China. Hong Kong pula walau pun sebahagian daripada China, diberikan kuasa autonomi untuk pemerintahan sendiri, kecuali dalam hal ehwal luar dan pertahanan.

Hong Kong diletakkan di bawah jajahan takluk British mulai 1842 hingga 1997 berdasarkan perjanjian Nanking  selepas China tewas kepada British dalam Perang Candu (Opium War) 1839 hingga 1842.

PELANGGAN premis makanan di Hong Kong sentiasa waspada terhadap penularan COVID-19 dengan memakai topeng muka apabila menjamu selera. - Kredit foto: South China Morning Post.


Menurut SoCO, perbuatan menyisihkan pelanggan dari China ini tidak wajar. Ia juga memberi amaran perbuatan ini akan menimbulkan masalah diskriminasi kaum.

Jurucakap SoCO, Richard Tsoi Yiu-cheong berkata, wabak COVID-19 sekali pun diakui berbahaya, namun ia tidak mewajarkan amalan diskriminasi kepada pelawat dari tanah besar yang datang ke Hong Kong. 

Sehingga kini Hong Kong melaporkan 104 kes COVID-19 dengan dua kematian.

Dia mengakui premis makanan memang wajar mengambil  langkah-langkah perlu mengekang penularan wabak tetapi tidaklah sampai mencabul hak asasi orang ramai atau melakukan diskriminasi terhadap mereka.

Merujuk kepada laman web dan akaun media sosial premis-premis makanan di Hong Kong, didapati  101 premis membuat posting mesej yang dianggap diskriminasi seperti ‘tidak akan melayan mereka dari tanah besar atau berbahasa Mandarin’.

Mereka juga meletakkan mesej bahawa premis makanan mereka akan hanya melayan penduduk tempatan sahaja. Ertinya mereka dari luar Hong Kong tidak dialu-alukan.

Selain bersandarkan mesej yang diposkan dalam media soial, SoCo juga menjalankan kajian dan penyiasatan sendiri  berhubung isu ini mulai pertengahan hingga hujung Februari 2020.

Kajian ini melibatkan 61 buah restoran. Hasil kajian mendapati 38 premis makanan meletakkan notis di premis mereka memaklumkan pelanggan dari tanah besar China tidak dialu-alukan.

Mereka yang menjalankan kajian dan penyiasatan ini menyamar dengan berbahasa Mandarin melawat 13 buah premis makanan. Lima daripada premis makanan ini tidak melayan mereka.

Pada salah satu premis berkenaan, penyiasat diminta mengeluarkan kad pengenalan Hong Kong selepas dia berbahasa Mandarin.

Di sebuah premis lain, seorang penyiasat diusir walau pun sudah memberitahu kakitangan premis berkenaan dia dari mana dan tidak berada di tanah besar sejak 14 hari sebelumnya.

PEKERJA premis makanan di Hong Kong memakai topeng muka dalam usaha mengelakkan terdedah kepada COVID-19. - Kredit foto: SCMP. 


Kebanyakan negara mengenakan dasar tidak membenarkan kemasukan penduduk dari tanah besar China, atau penduduk negara lain yang telah berada di China dalam tempoh 14 hari terakhir. 

SoCO menegaskan, sementara keengganan memberi layanan kepada mereka yang berada di China dalam tempoh 14 hari terakhir dianggap tidak mendiskriminasi kelompok tertentu, tetapi jika ia dikenakan secara menyeluruh kepada mereka dari tanah besar, ia dianggap melintasi garis diskriminasi kaum.

Ordinan Diskriminasi Kaum mengharamkan sebarang bentuk diskriminasi, gangguan dan penghinaan terhadap seseorang berdasarkan bangsa, warna kulit, keturunan, etnik atau dari negara mana seseorang itu berasal.

Walaupun dengan ordinan ini, premis-premis makanan di Hong Kong dijangka akan terus memulaukan pelanggan dari tanah besar China kerana mereka bimbang perniagaan mereka akan terjejas teruk jika COVID-19 menular.

Di tanah besar China sendiri, terutama di Wuhan, banyak premis makanan ditutup kerana penguatkuasaan kuarantin bertujuan mengekang penularan COVID-19. 

Ini mengakibatkan kerugian besar kepada peniaga.

Untuk rekod, sebanyak lebih 100,000 ke COVID-19 dilaporkan sehingga kini dengan lebih 3,400 kematian dicatatkan. 

Sejumlah besar kes penularan dan kematian adalah di tanah besar China. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: