Lapangan Terbang Tekah diwartakan punyai nilai sejarah! FUT dimasukkan dalam kalendar acara tahunan!

Published by
KitaReporters

Belon udara panas menarik perhatian pengunjung di FUT 2024.


Lebih 10,000 orang hadir seawal jam 8 pagi 22 Disember 2024 bagi menyaksikan Festival Udara Taiping 2024 (FUT 2024) yang diadakan di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.

FUT dianjurkan oleh Kelab Sukan Udara Taiping (KESUT); Majlis Perbandaran Taiping (MPT); Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama; Flytrike Sdn Bhd; Persekutuan Udara Malaysia (MFAF); dan Tourism Perak diadakan sejak 19 Disember hingga berakhir pada 22 Disember 2024.

Festival FUT itu menjadikan Lapangan Terbang Tekah dibanjiri mereka yang gemar menyaksikan sukan udara seperti pertunjukan belon panas, pameran pesawat ringan, helicopter, paramotor, payung terjun dan pameran pelbagai agensi kerajaan.

Lebih meriah lagi acara tarik tali yang menggamatkan dengan penyokong kedua-dua belah peserta bersorak keriangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika merasmikan FUT berkata, ia telah menghidupkan kembali kawasan lapangan terbang ini yang merupakan salah satu khazanah warisan Taiping yang paling bernilai.


Mohd Zolkafly Harun (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas merasmikan FUT 2024 di Lapangan Terbang Tekah di Taiping


Beliau berkata, penganjuran FUT dicadangkan untuk dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Perak (TMP) dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) pada 2026.

“Ini kerana festival ini berjaya menarik penyertaan daripada peserta luar negara iaitu Rusia, United Kingdom, Thailand, Singapura, Pakistan dan Malaysia.

“Langkah itu bagi merancakkan sektor pelancongan negara dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.

“Ia juga mampu meningkatkan ekonomi masyarakat sekitar Taiping melalui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa ini," katanya.

Mohd Zolkafly berkata, ini kerana festival ini berjaya menarik penyertaan daripada peserta luar negara iaitu Rusia, United Kingdom, Thailand, Singapura, Pakistan dan Malaysia.


Mohd Zolkafly (depan, dua dari kanan) sedang melihat sebuah paramotor yang menyertai Festival Udara Taiping pada 22 Disember 2024.


Sehubungan itu, beliau berkata, Lapangan Terbang Tekah kini dalam proses pewartawaan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut, Matang dan Selama (LMS) dengan kerajaan negeri supaya nilai sejarah di sini terus dipelihara.

Lapangan Terbang Tekah merupakan lapangan terbang tertua dibina pada tahun 1929, pernah menjadi saksi sejarah apabila Presiden Indonesia, Soekarno dan Mohammad Hatta pernah mendarat di lapangan terbang itu pada 12 Ogos 1945 untuk bertemu dengan tokoh nasionalis negara Dr Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob untuk berbincang kemungkinan penyatuan Malaya dan Indonesia (Melayu Raya) sekiranya mencapai kemerdekaan.

Selain itu, lapangan terbang ini juga pernah menjadi tumpuan dunia apabila seorang juruterbang wanita Amerika, Amelia Earhart berhenti mendarat pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sewaktu dinobatkan sebagai wanita pertama membuat penerbangan solo di Lautan Atlantik. - KitaReporters


Paramotor yang menyertai Festival Udara Taiping terbang tinggi dipertonton.


Pesawat ringan yang meyertai pameran di Lapangan Terbang Tekah 

6
14
0
8
0

Copy Link: