JOM sertai Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome dan menang hadiah utama RM30,000 dan wang tunai RM6,000 setiap bulan bermula bulan ini hingga Disember 2020. Tourism Pahang mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan ini sebagai usaha menjadikan Pahang sebagai destinasi utama pelancongan di negara ini. : KitaReporters.com
Mohd Sharkar Shamsudin (tengah), Idros Yahya (kiri) dan Ishak Mokhtar menunjukkan risalah berkaitan Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome dalam satu sidang media di Pejabat Tourism Pahang, Kuantan, Pahang pada 4 Februari 2020.
Pertandingan yang kali pertama diadakan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 dengan hadiah bulanan diumumkan bermula bulan ini.
Tunggu apa lagi!
Bertindaklah mulai sekarang mencari lokasi bersesuaian untuk rakaman video pendek pertandingan. Pertandingan ini memerlukan durasi video selama satu minit sahaja.
Tiga pemenang bertuah setiap bulan akan menerima wang tunai iaitu RM3,000 untuk juara, RM2,000 untuk naib juara dan RM1,000 bagi tempat ketiga. Semua pemenang turut menerima sijil dan hadiah iringan.
Mudahkan?
Buat rakaman video, edit cantik-cantik sampai puas hati dan hantarkan penyertaan anda ke agensi pelancongan negeri, Tourism Pahang selepas mematuhi semua terma dan syarat yang ditetapkan!
Jangan semborono sahaja hantar penyertaan! Nanti ditolak. Anda yang menyesal.
Pertandingan yang diadakan menggunakan plaform media sosial Facebook dan Instagram itu menggunakan subtema yang berbeza setiap bulan.
Tema bagi bulan ini (Februari) ialah Pahang Simply Awesome, Kembara Alam Semula Jadi (Mac), Pulau dan Pantai (April), Ramadan di Pahang (Mei), Percutian Tanah Tinggi (Jun) dan Acara Menarik di Pahang (Julai).
Bagi bulan Ogos, temanya adalah Air Terjun di Pahang, Homestay di Pahang/Pelancongan Luar Bandar (September), Makanan dan Buah-buahan di Pahang (Oktober), Kraf Tangan dan Kebudayaan (November) dan Percutian di Pahang (Disember).
Penyertaan ini terbuka kepada semua pihak dan orang ramai dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini dengan memuat turun borang penyertaan dari Laman Web Tourism Pahang.
Tiada had penyertaan dan peserta boleh menghantar lebih daripada satu video untuk diadili.
Hasil video juga hendaklah dimuat naik ke dalam Facebook dan Instagram dengan menggunakan hastag (#) #pahangsimplyawesome dan #shortvideotourismpahang dengan tatapan umum.
Setiap video perlulah dihantar menggunakan “WeTransfer” ke email shortfilm@pahangtourism.org.my bersama borang penyertaan pertandingan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Dato’ Seri Mohd Sharkar Shamsudin dalam satu sidang media di Pejabat Tourism Pahang, Kuantan pada 4 Februari 2020, berkata pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome Sempena adalah bertepatan dengan kempen Visit Malaysia 2020 (VMY2020) secara tidak langsung mempromosi tempat pelancongan menarik di Pahang.
Mohd Sharkar Shamsudin (dua dari kanan) menyemat pin Visit Malaysia 2020 (VMY2020) di kolar baju Presiden Kelab Media Pahang, Dato' Nik Naizi Hussein selepas sidang media di Pejabat Tourism Pahang.
“Pertandingan ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi utama pelancongan.
“Ia juga menggalakkan pelancong domestik dan luar negara menggunakan platform media sosial untuk mengabadikan detik indah dan keunikan semasa berada di negeri ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, Dato’ Idros Yahya; dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar. - KitaReporters.com