Mana kaki pancing? Pertandingan Fiesta Joran Selangor! Tasik Utamasari, Fraser Valley! 9 Feb 2025!
Published byOleh ROSLI YAHYA
Pertandingan memancing Fiesta Joran Selangor (FJS) 2025 yang akan diadakan di Tasik Utamasari, Fraser Valley di Kuala Kubu Bharu pada 9 Februari 2025 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM22,000, termasuk RM8,000 untuk juara, RM2,000 untuk naib juara, dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
Ia dijangka menarik lebih 500 peserta dan tasik ini dipilih kerana keunikan lokasinya yang kaya dengan pelbagai spesies ikan seperti patin, toman, lampan dan rohu.
Selain hadiah utama, peserta di kedudukan keempat hingga ke-10 akan menerima RM200 setiap seorang, manakala tempat ke-11 hingga ke-30 akan mendapat RM150.
Bagi tempat ke-31 hingga ke-100 pula, peserta akan membawa pulang RM100 setiap seorang.
Hadiah ini meliputi pelbagai spesies ikan yang dipertanding, menjadikan acara ini lebih menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Sdn Bhd, Chua Yee Ling berkata, ini merupakan kali pertama Tasik Utamasari di Fraser Valley dipilih sebagai lokasi acara sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.
Katanya, Fraser Valley merupakan salah satu produk pelancongan yang berpotensi tinggi untuk dipromosikan memandangkan Fraser Valley sendiri telah menjadi kawasan penganjuran acara-acara interaktif seperti kembara RIUH, glamping dan banyak lagi.
"Acara Fiesta Joran Selangor juga diadakan bertujuan untuk mempromosi pelancongan dan ekonomi tempatan, terutama sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
"Acara ini diharap dapat memupuk perpaduan dan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Yuran penyertaan adalah RM50 bagi setiap joran dan 500 peserta terawal akan menerima T-shirt eksklusif.
Pendaftaran boleh dibuat di lokasi pada 8 Februari 2025 dari jam 3.30 petang hingga 7 malam atau pada hari pertandingan dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Fiesta ini bukan sekadar pertandingan memancing, tetapi juga menawarkan program sampingan seperti jualan buah-buahan tempatan, aktiviti kekeluargaan, dan pameran reruai oleh agensi kerajaan dan juga operator-operator produk pelancongan di negeri Selangor.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman Facebook JoranKL atau dengan menghubungi urus setia menerusi talian 013-266 7011, 012-355 4946, atau 012-284 6811 - KitaReporters/Kenyataan Media