Kewujudannya semakin dilupakan. Jika tidak tiba ke lokasi ini bermakna tidak diketahuilah keberadaannya suatu ketika dahulu. 

Kewujudan Kota Bukit Supai atau Kubu Belanda (Dutch Fort) ini hampir pasti tidak ada dalam kamus hidup generasi hari ini jika mereka tidak pernah mendengar namanya atau mendapat sebarang info mengenainya!

Ia umpama sebuah kota warisan yang ditinggalkan walaupun pernah menyimpan pelbagai kisah sejarah Bugis, Belanda dan Kesultanan Melaka pada zaman penjajahan Belanda ke atas Melaka beratus-ratus tahun dahulu (sekitar 1750-an).


 

Papan tanda mengenai Kota Bukit Supai boleh ditemui sebelum laluan konkrit atas air menuju ke arah kota berkenaan.


'Pintu gerbang' dibina menuju ke kawasan padang rumput  yang terbentang luas di kubu pertahanan Belanda itu. Juga kelihatan dua replika meriam di kiri dan kanannya.


Baru-baru ini penulis berpeluang  menjelajah Kota Bukit Supai yang terletak di kawasan tebing tinggi (di sebuah kawasan berbukit) di sebelah kanan muara Sungai Linggi, Melaka dan juga berhampiran dengan pantai Selat Melaka.

Untuk sampai ke kota ini pengunjung perlu melalui laluan jambatan konkrit yang dibina di atas air. Kalau tidak, pengunjung mungkin berdepan masalah untuk ke lokasi ini. 

Ini kerana ada satu lagi laluan (di tepi sebuah villa persendirian) tetapi tidak lagi sesuai untuk kenderaan kecuali motosikal atau berjalan kaki sahaja (dikenali juga laluan di sebelah barat yang menghadap Selat Melaka) sebelum sampai di kaki bukit kota ini.


Merentasi laluan terapung sehingga sampai ke pintu masuk Kota Bukit Supai.


Penulis berada antara anak tangga teratas sebelum memasuki kawasan kubu pertahanan Belanda


Penulis membuat keputusan ke Kota Bukit Supai melalui laluan konkrit atas air sebelum mendaki tangga yang sedikit tinggi. 

Untuk tiba di sini, dari Pengkalan Balak, penulis melalui Jalan Kampung Teluk Perun-Kampung Kuala Linggi. Ia terletak kira-kira 55 kilometer dari bandar raya Melaka. 

Setibanya di kawasan ini, kelihatan beberapa pucuk meriam. Namun, tiada kepastian apakah ia meriam sewaktu kota ini masih menjadi kubu pertahanan atau ia merupakan replika sebagai peringatan. 

Laluan pejalan kaki turut disediakan menuju ke arah 'pintu gerbang' berwarna putih sebelum memasuki kawasan padang rumput yang sangat luas dan 'dipagari' batuan di sekelilingnya. 


Kawasan lapang ini merupakan sebahagian daripada kubu pertahanan tentera Belanda.


Jika dipandang pada mata kasar tidak ada apa yang menarik di bekas kubu pertahanan ini kecuali untuk merakam gambar sebagai kenang-kenangan.

Tetapi, bagi penulis dan pengunjung yang cintakan sejarah, pasti dapat menyelami situasi yang berlaku ketika itu. Zaman penjajahan Belanda di Melaka selepas Portugis.

Kota ini mempunyai banyak gelaran. Namun, ia lebih dikenali sebagai Kota Bukit Supai kerana pihak Belanda telah menempatkan sepasukan tentera upahan dari India yang dipanggil sipai (supai) setelah kota ini siap dibina.

Gelaran lain pula ialah Kota Meriam Patah kerana beberapa meriam yang telah patah telah ditemukan di kawasan ini selepas kubu berkenaan tidak lagi digunakan. 

Tidak diketahui pula apa yang terjadi ke atas meriam itu. Adakah ia meriam yang sama ditempatkan di kota ini atau tersimpan di mana-mana lokasi.

Ia juga dikenali sebagai Kota Filipina sempena mengambil nama anak perempuan Gabenor Belanda dan Kota Kuala Linggi kerana kedudukannya yang terletak di muara Sungai Linggi. 


Salah satu meriam yang terdapat di kawasan kubu pertahanan ini. 



Kota yang dibina menggunakan batu merah atau laterit


Menerusi pencarian maklumat dalam internet, penulis temukan satu artikel yang berkait dengan asal mulanya kubu pertahanan ini dibina.

Diceritakan bahawa sebelum menguasai Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado Lighthouse), Belanda mahu mempunyai akses kepada perdagangan bijih timah di lembangan Sungai Linggi yang merupakan sempadan semula jadi antara Melaka-Negeri Sembilan.

Namun, situasi ini mengundang rasa tidak puas hati kebanyakan penduduk Bugis yang mengusahakan aktiviti tersebut. Ini menyebabkan tercetusnya peperangan antara Belanda dan Bugis pada tahun 1756.


Laluan pejalan kaki turut disediakan untuk keselesaan pengunjung.


Namun begitu, peperangan tersebut tidak lama (kurang 2 tahun) dan pada 1757, satu perjanjian damai ditandatangani bersama dan pada tahun 1758, pembinaan kota ini dilakukan sebagai simbolik kepada usaha perdamaian antara mereka.

Rentetan itu, Belanda telah menjadikan kota ini sebagai pos kawalan mereka kerana kedudukannya yang sangat strategik (atas bukit) bagi memerhatikan aktiviti perdagangan dan memantau pergerakan kapal dari Kuala Linggi ke selatan Selat Melaka. 

Selain sebagai kubu pertahanan, ia juga berfungsi sebagai tempat mengutip cukai segala barangan, terutama bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Linggi.

Kota ini juga dikatakan memiliki dua pusat peninjau dan ini sangat menguntungkan pihak Belanda. 


Penulis bergambar di kawasan kaki bukit  kota ini yang masih mengekalkan binaan asasnya.


Kawasan sekitar bukit ini juga merupakan kawasan paya bakau yang memberi kelebihan kepada pihak Belanda bermungkinan disebabkan hutan paya bakaunya sukar ditembusi memandangkan akar ceracaknya yang berselirat. 

Ini memberikan perlindungan kepada pihak Belanda dari segi pertahanan yang jitu sekiranya diserang oleh musuh.

Bagaimanapun, akhirnya kota ini ditinggalkan begitu sahaja dan bangunannya terbiar runtuh apabila Belanda mengundurkan diri dan tidak lagi menjajah bumi Melaka.

Disebabkan ia 'tenggelam' berpuluh-puluh tahun lamanya selepas perang, kubu pertahanan ini semakin dilupakan sehingga hampir keseluruhan dindingnya runtuh dan rosak. 

Namun begitu, pada tahun 1974, Jabatan Muzium mengambil alih kota ini dan menyelamatkan runtuhan kota ini daripada terus 'menyembah bumi.'



Difahamkan ada usaha daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk memperkenal kawasan ini sebagai produk pelancongan dan menarik minat orang ramai berkunjung ke sini.

Beberapa pembaharuan telah dilakukan seperti membina laluan pejalan kaki, wakaf, papan maklumat dan  'pintu gerbang'

Kota ini amat tinggi nilai sejarahnya dan tidak patut dibiarkan begitu sahaja, tambahan pula lokasi ini telah disenaraikan dalam Daftar Warisan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM). 

Kota ini juga wajar diperkenalkan secara lebih meluas sebagai produk pelancongan utama Melaka kerana ia semakin terpinggir berbanding produk sedia ada di bandar Melaka seperti kota A Famosa, bangunan Stadhuys dan Bukit St Paul yang sememangnya sudah terkenal kalangan penduduk tempatan dan pelancong. 

Warisan kota ini wajib dipelihara kerana kewujudannya merupakan bukti lahiriah yang menyimpan sejarah hampir 270 tahun lalu. 

Sayangilah sejarah tanah air tercinta ini. Jangan dibiarkan luput ditelan zaman. - KitaReporters


Menghadap ke arah laut turut disediakan satu laluan yang bertangga menuruni kawasan kaki bukit.

.

12
11
0
12
0

Copy Link: