Bila ABAH Bersuara| Kini lebih segar, cantik! Transformasi medan selera di ibu kota pikat pengunjung!
Published by
APA ciri utama diambil kira untuk menjamu selera di gerai, warung atau kios di medan selera? Selalunya jawapan yang diterima sama. Pelanggan memilih gerai yang bersih, selesa serta persekitaran kondusif.
Selain itu kriteria penting ialah layanan baik
dan mesra, makanan enak dan cepat disajikan selepas dipesan. Gerai yang
memiliki kesemua ciri ini memang menambat hati pengunjung datang menjamu selera.
Kerana itu ciri-ciri tersebut sebaik mungkin
mahu diterapkan dalam operasi kios makanan dan minuman di medan selera di mana-mana. Ini adalah antara
tanggungjawab pihak kerajaan tempatan.
Medan selera yang bersih dan segar tentunya lebih menarik berbanding yang comot dan suram sehingga menyebabkan pelanggan lari. Akibatnya, banyak kios jadi sunyi.
Papan tanda besar di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, Kuala Lumpur menangkap perhatian orang ramai untuk datang menjamu selera.
Di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur khususnya, aspek menarik pelanggan sangat dititik
berat. Untuk itu, Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) dari semasa ke semasa berusaha menambah baik premis niaga di medan selera seluruh ibu
kota.
Matlamat transformasi ini untuk membantu peniaga menarik pelanggan dan pada masa sama memberi keselesaan kepada pengunjung. Gerai atau kios yang bersih dan cantik mampu menarik ramai pelanggan. Mereka seronok menikmati
pelbagai makanan dan minuman dalam suasana santai.
Tentunya
peniaga juga seronok apabila ramai berkunjung. Pendapatan meningkat, keuntungan
bertambah. Ini mewujudkan situasi ‘menang-menang’.
Justeru langkah
berterusan DBKL menyusun semula penjaja di ibu kota, termasuk pemegang lesen KL
Madani, wajar dipuji dan disambut baik. Ini untuk memastikan mereka dapat
berniaga di tapak lebih teratur.
Usaha ini dilaksanakan melalui ‘Program Lestari Niaga’ di mana banyak kawasan medan selera di seluruh Kuala Lumpur ditambah baik dan dinaik taraf. Dengan itu kawasan tersebut akan lebih berseri, segar dan menyerlah, menceriakan peniaga dan pengunjung.
Pemandangan pada satu pagi baru-baru ini di salah sebuah kios di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz ketika orang ramai bersarapan. Kios cantik bersih, pengunjung teruja.
Terdapat kawasan medan selera yang tidak mempunyai papan tanda sempurna. Jika ada pun terlalu kecil dan tidak menyerlah sehingga orang ramai tidak nampak dengan jelas. Hasrat hendak berkunjung pun terpadam.
Tetapi di bawah ‘Program Lestari Niaga’, papan tanda lebih besar dan mudah dipandang dipasang pada bahagian hadapan medan selera. Ia dengan cepat dapat menangkap perhatian orang ramai dan seterusnya mendorong mereka singgah.
Ini misalnya dapati dilihat di tapak ‘Lestari Niaga’ di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru. Kawasan ini yang sering menjadi tumpuan ramai menjamu selera, menyediakan pelbagai piihan makanan dan minuman.
Melalui ‘Projek Lestari Niaga’, kawasan medan selera diubah suai dan ditambah cantik. Papan tanda pada setiap unit kios lebih menyerlah mempamerkan jenis sajian yang ditawarkan. Ini memudahkan orang ramai memilih gerai mana hendak dituju.
‘Program Lestari Niaga’ yang dilaksanakan DBKL tahun ini adalah kesinambungan projek sama yang dilaksanakan sebelumnya. Penerusan program ini dimaktubkan dalam Belanjawan DBKL 2025.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, untuk tahun 2025, sebanyak 20 projek sedemikian akan dilaksana. Dianggarkan 1,300 peniaga terlibat dengan projek tersebut.
Melalui projek yang telah dilaksanakan sehingga kini, sejumlah 2,261 peniaga kecil mendapat manfaat melalui 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar di ibu negara.
Setiap kios di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru mempamerkan papan tanda menarik, jelas dibaca. Ini memudahan orang ramai memilih kios mana hendak dikunjungi.
Terbukti kerajaan Madani sentiasa mengambil berat serta memberi perhatian kepada peniaga dan penjaja melalui pelbagai program. Yang penting golongan ini memperoleh manfaat daripada setiap program dijalankan.
Apa yang
dikehendaki ialah setelah diberi pelbagai kemudahan bagi memajukan perniagaan, peniaga
mesti berusaha bersungguh-sungguh memajukan diri. Kebaikannya akan berpulang
kepada mereka.
Hargai usaha kerajaan untuk membantu peniaga lebih berjaya dalam perniagaan. Para peniaga mestilah berusaha membantu diri sendiri untuk lebih maju jaya. Jika tidak dipecah ruyung, mana kan dapat sagunya. - KitaReporters