#KITABOLEH!! MCD TAJA MAKANAN BAGI PETUGAS
Published byRangkaian restoran makanan segera, McDonald’s menaja makanan untuk para petugas kesihatan meliputi kira-kira 50 hospital di seluruh negara secara berkala dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang kini sedang dikuatkuasakan. : KitaReporters
Kru restoran McDonald's Malaysia menyerahkan makanan kepada para petugas kesihatan di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, Negeri Sembilan.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada nilai teras McDonald’s Malaysia dalam menghargai petugas barisan hadapan (frontliners) yang mempertaruhkan nyawa untuk membendung penularan wabak Covid-19, sekali gus merawat pesakit terbabit.
“Ini adalah sumbangan kecil daripada kami yang amat prihatin dengan jasa bakti petugas kesihatan, bekerja siang malam bagi membendung penularan wabak Covid-19,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.
Azmir dalam kenyataan media seterusnya memberitahu, penajaan makanan oleh McDonald's Malaysia di hospital-hospital ini akan memanfaatkan kira-kira 15,000 petugas kesihatan keseluruhannya.
“Selain hospital, McDonald's Malaysia juga membuat penghantaran makanan secara berkala kepada petugas barisan hadapan lain seperti anggota polis dan tentera di seluruh negara,” tambah beliau.
McDonald's Malaysia akan menaja makanan kepada para petugas kesihatan di kira-kira 50 hospital di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Untuk rekod, McDonald’s Malaysia telah memulakan kempen #KitaBoleh dalam mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu padu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.
Konsep #KitaBoleh yang dilaksanakan oleh McDonald's Malaysia dalam platform media sosial mereka bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan dan perjuangan rakyat Malaysia dalam menghadapi saat-saat sukar ini.
#KitaBoleh juga secara langsung mengetengahkan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terus bertungkus-lumus bekerja ketika rakyat Malaysia duduk di rumah.
"Rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan yang tidak menentu, dan inilah masanya untuk kita semua bersatu.
"Di McDonald's Malaysia, kami ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa melalui semangat #KitaBoleh, kita dapat menangani apa jua cabaran yang datang dan berdiri teguh bersama," jelas Azmir.
Azmir juga memberi pengiktirafan kepada pasukan restoran yang bertugas di lapangan sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020.
"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pasukan McDonald’s di semua restoran di seluruh negara.
"Tidak dilupa juga kepada penunggang McDelivery yang gigih bekerja memastikan pelanggan dapat terus menikmati hidangan McDonald’s kegemaran mereka," tambah Azmir.
Untuk maklumat lanjut mengenai McDonald’s Malaysia, sila lawati laman Facebook McDonald’s Malaysia melalui www.facebook.com/My.McDonalds/. - KitaReporters.com
McDonald's menaja makanan kepada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan pada hujung minggu lalu, sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus bekerja.