6 lokasi pantai peranginan di Selangor patut dilawati! Dengan pesona alam senja nan memukaukan!
Published byKredit foto: Tourism Selangor.
Antara tempat tumpuan ramai adalah lokasi pantai peranginan yang menawarkan keindahan alam semula jadi. Selain tertarik dengan suasana santai, sesetengah pantai menawarkan pemandangan syahdu, matahari terbenam.
Bagi mereka yang sedang membuat pemilihan tempat, berikut adalah senarai pantai peranginan di negeri Selangor yang tidak harus dilepaskan untuk dikunjungi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pantai
Senja Jingga di Pantai Remis. - Kredit foto: MDKS@IG
1) Pantai Remis, Kuala Selangor
Pantai Remis terletak 20km di bahagian selatan Daerah Kuala Selangor iaitu, iaitu di mukim Jeram. Baru-baru ini, ia dikatakan ‘kembali bernyawa’ ekoran pengumuman kemasukan Negeri Selangor dalam Fasa 4.
Pantai Remis merupakan salah satu lokasi ekopelancongan yang semakin digemari ramai.
Pantai Remis sentiasa dibanjiri pengunjung yang ingin menjamu keenakan makanan laut segar seperti ikan bakar, kerang rebus dan kerang bakar sambil bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Pantai Kelanang, Banting. - Kredit foto: Nohanisothman @ IG
2) Pantai Kelanang, Banting
Jom terokai apa yang istimewa di Pantai Kelanang, terletak tidak jauh daripada Pantai Morib!
antai Kelanang menyajikan pemandangan indah laut Selat Melaka yang dikelilingi pohon-pohon kayu bakau dan pokok ru. Pantai ini juga menawarkan pemandangan matahari terbenam yang indah diiringi deruan angin yang nyaman, selain sesuai untuk menerbangkan layang-layang tinggi di udara.
Sekiranya membawa anak kecil, usah risau kerana fasiliti sesuai untuk mereka seperti taman permainan disediakan di sini untuk keseronokan anak anda!
Senja merah di Pantai Pantai Cunang, Kuala Langat. - Kredit foto: st.cam @ IG
3) Pantai Cunang, Kuala Langat
Mungkin tidak ramai yang menyedari kewujudan Pantai Cunang, tempat yang agak tersembunyi namun amat menakjubkan ini terletak di Tanjung Sepat.
Pantai Cunang adalah pantai dengan pasir yang memutih sepanjang kawasan hutan bakau. Pantai Cunang adalah kawasan rehat tradisional yang diusahakan oleh masyarakat pribumi Mah Meri.
Pantai Cunang kini telah berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan Negeri Selangor, di mana ia dihiasi dengan rumah-rumah tradisional, hiasan berwarna-warni dan juga kedai kraftangan. Selain itu, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memancing dan berbasikal di pantai ini.
Bermain layang-layang di Pantai Bagan Lalang, Sepang. - Kredit foto: by itsukay82 @ IG
4) Pantai Bagan Lalang, Sepang
Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Pantai Bagan Lalang yang terletak di Daerah Sepang seperti diketahui ramai, adalah tempat percutian kegemaran seisi keluarga.
Jangan lepaskan peluang memanfaatkan waktu air surut pada siang hari di mana anda boleh berjalan ke tengah laut sehingga 400 meter jauhnya. Waktu ini adalah waktu sesuai untuk anak kecil melihat anak-anak ketam berkeliaran di atas pasir.
Pantai ini juga sangat popular dengan aktiviti sukan bola tampar, bola sepak pantai dan barbeku. Ia tentunya pantai harus dilawati untuk yang gemar menikmati ketenangan air laut!
Leka mengail ikan sampai ke senja di Pantai Redang, Sekinchan. - Kredit foto: kelvinchanphoto @ IG
5) Pantai Redang, Sekinchan
Sekiranya anda berada di Daerah Sabak Bernam serta inginkan kelainan dari pemandangan sawah padi yang terkenal di sini, apa kata rasai sendiri pengalaman melihat kehidupan masyarakat nelayan di kawasan ini pula?
Apa yang lebih menyeronokkan, Pantai Redang sangat dekat dengan beberapa restoran makanan laut, di mana anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut yang pastinya segar! Kemudahan rekreasi juga tersedia kepada para pengunjung seperti bangku dan gazebo untuk anda berehat.
Pantai Morib, Banting. - Kredit foto: mokkay_ @ IG
6) Pantai Morib, Banting
Tahukah anda Pantai Morib memiliki garis pantai sepanjang kira-kira 3 kilometer? Pantai Morib ini terletak di Daerah Kuala Langat dengan pemanduan tidak lebih daripada 1 jam dari Daerah Klang.
Pantai ini amat popular dengan aktiviti pantai seperti bola sepak pantai, bola tampar dan layang-layang. Selain itu, anda juga boleh mengutip cengkerang atau anak ketam yang berkeliaran sementara menunggu air pantai surut. Ianya sememangnya sebuah lokasi amat sesuai dikunjungi bersama insan tersayang!
Jika anda tinggal di Selangor atau Lembah Klang dan berhajat pergi ke destinasi yang tidak jauh atau kesuntukan waktu, maka pergilah ke lokasi yang berdekatan - dekat saja, di Selangor juga.
Dengan paparan enam lokasi peranginan di atas, jadi janganlah lagi sangka Negeri Selangor tiada pantai-pantai yang menakjubkan.
Di situ bukan sahaja anda boleh menikmati pemandangan laut luas, malah boleh menggunakan kemudahan yang tersedia di pantai tersebut. Penduduk di luar Selangor juga tentunya tidak ketinggalan dialu-alukan untuk datang berekreasi di pantai-pantai di negeri Selangor.
Dalam pada seronok bersantai di pantai, sentiasalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki mana-mana premis.
Selamat menikmati aktiviti yang santai dan menenangkan dengan pemandangan laut bersama insan tersayang! #PusingSelangorDulu.
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini atau layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel. - KitaReporters