Asri Azmi kini menguruskan sepenuh masa gerai 'Roti Paye Pokok Jati' yang semakin menarik perhatian ramai.


SIAPA sangka bermula sebagai pekerja di gerai membuat roti tempayan atau komersialnya roti nan milik seorang warga Pakistan beberapa tahun lalu kini dia pula menguruskan sendiri dan menjadi sumber pendapatan utama kepada seorang penduduk tempatan di bandar Kuala Krai, Kelantan.

Inilah dipanggil tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu!

Kini Asri Azmi, seorang warga tempatan meneruskan legasi perniagaan berkenaan selepas pemilik asalnya itu meninggal dunia.

Hidangan roti paye yang disebut dalam dialek Kelantan itu biasanya sesuai dijamah sepanjang masa dan tidak terhad untuk sarapan pagi, tengah hari atau malam... sentiasa on!


Lagi kisah menarik berkaitan hidangan menyelerakan


Asri gigih menimba ilmu dan pengalaman membuat roti tempayan sebelum diberi peluang mengurus gerai yang ditinggalkan warga Pakistan.


Menurut Asri, dia memberi tumpuan sepenuhnya menguruskan perniagaan berkenaan bermula dengan memilih tepung gandum, mengadun, menguli seterusnya cara membakar dalam dapur seperti tempayan.

Menjenguk ke warung kecil milik Asri, yang menjual roti paye berkenaan yang terletak di bawah pokok jati, tiada siapa menduga warung berkenaan sebenarnya memiliki peminatnya sendiri. Merasai sendiri keenakan roti berkenaan barulah tahu kesedapan air tangan Asri.

Sebelum ini gerai berkenaan sering bertukar tangan berikutan pemiliknya warga Pakistan terpaksa pulang kampung sebelum meninggal dunia.

"Walaupun bertukar pemilik, saya teruskan bekerja di sini sebelum diberikan kepercayaan untuk menguruskan kerana pemiliknya telah meninggal dunia. Kepercayaan yang diberikan itu saya guna sebaik mungkin untuk terus menjenamakan semula dengan ‘Roti Paye Pokok Jati’ .

"Sangat mengejutkan permintaannya luar biasa dan tidak menyangka menjadi tumpuan ramai sehingga hari ini,” jelas Asri yang ditemui baru-baru ini.


Gerai 'Roti Paye Pokok Jati' yang diasaskan oleh seorang warga Pakistan di Kuala Krai, Kelantan terus menjadi tumpuan ramai.


Bercerita lanjut, Asri berkata disebabkan lokasi gerai berkenaan di bawah rimbunan pokok jati lalu dia namakan gerai berkenaan dengan nama tersebut.

Kini gerainya menjadi lokasi persinggahan pelanggan yang meneruskan perjalanan ke Gua Musang atau Ke Kuala Lumpur.

"Begitulah juga mereka yang datang dari Kuala Lumpur melalui Gua Musang akan singgah di gerai itu untuk minum dan menjamah 'Roti Paye' selepas penat memandu apabila mendapati gerai masih dibuka," ceritanya.

Berikutan permintaan pelanggan setiasa ada, dia tidak mengehadkan operasi perniagaan sebaliknya bergantung kepada bekalan roti yang masih ada.

"Biasanya saya mampu menjual lebih 50 keping 'Roti Paye' sehari dan jumlah itu bertambah apabila musim cuti," ujar pemuda berusia 31 tahun itu.


Asri membungkus roti tempayan yang ditempah secara dalam talian.


Kongsinya walaupun kini dibantu pekerja namun dia tidak menang tangan menguruskan perniagaan berkenaan.

“Walaupun dibantu oleh tiga pekerja dalam situasi tertentu terpaksa bertungkus lumus menyiapkan pesanan menerusi tempahan dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Apabila kelonggaran diberikan saya berasa lega kerana orang ramai boleh datang bersama keluarga atau kawan-kawan untuk menjamu selera di gerai disamping masih menerima tempahan dalam talian,” katanya. 

Kini air tangannya itu dijual dengan harga berpatutan iaitu RM4 jika dimakan bersama kari daging cincang atau ayam, kari kambing (RM6) dan RM 2 jika dimakan bersama kuah kari sahaja. Jom kita tera! - KitaReporters


Pokok jati yang menjadi tapak gerai roti tempayan yang diasaskan oleh seorang warga Pakistan kini tidak henti-henti dikunjungi orang ramai.

35
11
1
15
0

Copy Link: