Hudhud jadi daya tarikan terkini di Taman Tasik Taiping! Burung yang disebut dalam al-Quran!
Published byTAMAN Tasik Taiping, Perak memang terkenal sebagai tempat riadah yang bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk sekitar pada hujung minggu malah antara destinasi tarikan kepada pengunjung luar.
Apatah lagi kedudukan Zoo Taiping yang terkenal dengan Night Safari turut berada dalam radar persekitaran taman tasik itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Taiping
Bulunya yang cantik dan kisah yang terdapat dalam al-Quran menjadikan burung hudhud atau belatuk daya penarik apabila ia mendiami Taman Tasik Taiping. - Kredit foto: Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Kini, sejak April 2021 lalu, Taman Tasik Taiping semakin menjadi
tumpuan ekoran kehadiran sepasang burung hudhud yang kemudian bertelur dan menetaskan
tiga ekor anak.
Malah, keluarga burung yang juga dipanggil burung belatuk itu kini seolah-olah mahu menjadi
pemastautin tetap apabila baru-baru ini menetaskan tiga lagi anak menjadikan jumlah
mereka kini adalah lapan ekor.
Keadaan ini dianggap sebagai luar daripada kebiasaan kerana lazimnya burung-burung yang datang ke tasik itu sekadar menjadikan ia sebagai persinggahan sebelum kembali ke habibat asalnya.
Jika ia bertelur dan menetaskan anak sekali pun semasa persinggahan itu, ia akan meninggalkan tempat disinggahinya sebaik sahaja anak-anaknya pandai terbang.
Suasana damai serta pemandangan cantik di Taman Tasik Taiping menjadi daya tarikan pengunjung. - Kredit foto: MPT
Taman Tasik Taiping memang menjadi destinasi pilihan pelbagai spesis burung terutama dari negara yang mengalami musim sejuk tapi mereka akan meninggalkan tempat itu pada Jun atau paling lewat Julai.
Pasangan burung jantan dan betina hudhud itu mula dikesan membuat sarang di pokok jemerlang pada 5 April, 2021 lalu.
Sejak induk burung itu bertelur, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Jabatan Zoo Taiping, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah mengadakan program pemantauan.
Persekitaran sekitar tasik itu yang tenang serta sumber makanan
yang mewah mungkin menyebabkan keluarga hudhud itu selesa tinggal di kawasan
berkenaan. Namun, tidak pasti jika mereka akan terus menetap terus di situ atau
akan kembali ke kawasan asalnya.
Jika burung yang berasal dari kawasan Afro-Eurosia itu kekal menetap di situ, tidak syak lagi hudhud akan menjadi daya tarikan terbaharu Taman Tasik Taiping terutama sleepas sekatan pergerakan yang dikenakan akibat Covid-19 dilonggarkan kelak.
Kehadiran hudhud di Taman Tasik Taiping menarik perhatian pengunjung. - Kredit foto: Zoo Taiping
Menurut Yang DiPertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir, hampir 100 orang berkunjung setiap hari untuk melihat burung tersebut, namun sekatan pergerakan yang dikenakan sekarang menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil langkah pemantauan.
Apa yang menarik perhatian pengunjung, selain kecantikan bulu burung itu yang berwarna-warni serta spesis yang sukar ditemui, keistimewaan
hudhud adalah ia disebut dalam al-Quran.
Melalui surah An-Naml, diceritakan, burung hudhud adalah antara
pengikut Nabi Sulaiman selain manusia, jin dan haiwan lain.
Ketidakhadiran hudhud dalam satu munsyawarah bersama Nabi
Sulaiman telah mencetuskan tanda tanya kepada baginda.
"Mengapa aku tidak melihat hud-hud . Apakah ia termasuk yang tidak hadir?" tanya Nabi Sulaiman seperti dikisahkan dalam surah An-Naml ayat 20.
"Pasti akan ku hukum ia dengan hukuman yang berat atau aku sembelih ia, kecuali jika ia datang kepadaku dengan alasan yang jelas,” kata Nabi Sulaiman seperti dicatat dalam ayat 21, surah An-Naml itu.
Anak burung hudhud yang ditelur dan dimenetaskan dalam sarang atas pokok jemerlang kini
sudah boleh terbang. - Kredit foto: Zoo Taiping
Tidak lama selepas itu hudhud datang dengan membawa penjelasan mengapakah ia terlambat untuk menyertai munsyawarah itu sebagai diceritakan dalam ayat 22, surah sama yang bermaksud:
“Aku telah mengetahui sesuatu
yang belum engkau ketahui. Aku datang kepadamu dari negeri Saba membawa suatu
berita meyakinkan.”
Seterusnya hudhud melaporkan (sebagaimana disebut dalam ayat 24 hingga 26 surah An-Naml): "Sungguh, ku dapati ada seorang perempuan yang memerintah mereka dan dia dianugerahi segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar.
"Aku dapati dia menyembah matahari, bukan kepada Allah, dan syaitan telah menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan buruk mereka, sehingga menghalangi mereka dari jalan Allah maka mereka tidak mendapat petunjuk.
"Mereka juga tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan yang kamu nyatakan. Allah tidak ada Tuhan melainkan dia, Tuhan yang mempunyai Arsy Yang Agung."
Kredit foto: Zoo Taiping
Mendengar laporan daripada hudhud, Nabi Sulaiman tidak terus mempercayainya sebagaimana diungkap dalam ayat 27 surah berkenaan: "Sulaiman berkata, "Akan kami lihat, apa kamu benar atau termasuk yang berdusta."
Akhirnya,
selepas diselidiki, Nabi Sulaiman yakin dengan apa yang disampaikan oleh hudhud, lalu memerintahkan burung itu membawa suratnya kepada Puteri Balqis
yang memerintah Saba. Ia dijelaskan melalui ayat 28 surah An-Naml yang bermaksud:
“Pergilah engkau bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada
mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa
tindak balas mereka.”
Berdasarkan kisah inilah maka hudhud dianggap sangat istimewa berbanding burung lain sehingga kehadiran spesis ini di Taman Tasik Taiping mengamit kehadiran ramai pengunjung.
Tidak syak lagi, jika keluarga hudhud berkenaan kekal membiak di taman tasik itu, ia akan menjadi nilai tambah kepada ekopelancongan negeri Perak, khususnya Taiping. - KitaReporters
Kredit foto: FB Fascinating Taiping