Video| Putrajaya bercahaya macam kayangan! Festival LAMPU kembali lagi! Lebih menyengat, futuristik!
Published by.
LANGIT malam di Putrajaya bertukar wajah apabila limpahan lampu berwarna warni menjadikan suasana sekitar seolah-olah di kayangan apabila Festival Light & Motion Putrajaya (LAMPU 2024) kembali menemui orang ramai dengan konsep futuristik untuk edisi ke-8 selepas berehat panjang selama lima tahun sejak penganjuran terakhirnya pada 2019.
Mengangkat tema, "LAMPU 2024 - Menerangi Masa Depan", penganjuran festival itu bagi mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui acara seni cahaya dan teknologi yang unik.LAMPU 2024 juga mahu mengangkat keupayaan Putrajaya sebagai bandar pintar melalui penggunaan teknologi canggih dalam penganjuran acara berskala besar.Wajah bangunan Perbadanan Putrajaya hampir tidak dikenali selepas dilimpahi lampu berwarna warni. - Kredit gambar: Faris Azmi PPJ
Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata, LAMPU 2024 turut dijadikan medan bagi menonjolkan Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya dengan memanfaatkan seni bina ikonik bangunan di pusat pentadbiran negara itu.
Beliau berkata, penganjuran festival itu sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan platform kepada peniaga makanan, trak makanan dan pempamer untuk mempromosi produk mereka."LAMPU 2024 meneruskan legasi dengan mengetengahkan persembahan Pemetaan Cahaya Mega (Grand Projection Mapping) ke fasad Bangunan Istana Kehakiman, yang menggunakan 16 projektor berbanding 12 projektor sebelum ini bagi menghasilkan kualiti visual dan teknologi pemetaan yang lebih canggih."Sebanyak lima segmen pemetaan cahaya dipersembah setiap malam dengan setiap segmen berdurasi 30 minit. Istimewanya edisi kali ini, reka bentuk visual mendapat sentuhan pereka dari Itali iaitu Michele Pusceddu dan Antaless Visual Design selain rekaan anak tempatan yang setanding kualiti persembahannya," katanya.
TPr Fadlun Mak Ujud bersama pengurusan tertinggi Perbadanan Putrajaya hadir menyaksikan LAMPU 2024. - Kredit gambar Faris Azmi PPJ
LAMPU 2024 membuka tirai persembahan bermula 27 Disember hingga 31 Disember 2024 dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Selain itu, katanya aktiviti yang dijangka menarik perhatian pengunjung ialah perarakan kereta berhias yang merupakan komponen persembahan baharu untuk tahun ini (2024) malah LAMPU 2024 Gaming Fest yang diadakan khas bagi peminat e-sukan dan permainan konsol.LAMPU 2024 Gaming Fest dibawakan secara kerjasama di antara PPJ dan Gamesbond selain penganjur bersama iaitu Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur dan Genysis Events Interactive.
"Aktiviti itu turut disokong TODAK, IQOO, Armageddon dan Predator bagi menambahkan keterujaan orang ramai," katanya.
PPJ turut mendapat kerjasama rakan strategik bagi penganjuran kali ini iaitu Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH), Turbine Technique (M) Sdn Bhd, Acuan Unggul Sdn Bhd, Balcon Enterprise, Bless Coating & Paints Sdn Bhd, KCC Paints Sdn Bhd, Urban Scale Sdn Bhd, 3F Resources Sdn Bhd dan Tryke.
Pengunjung mengambil kesempatan bergambar dengan replika berwarna warni sempena LAMPU 2024.
Cantiknya wajah Putrajaya dilimpahi lampu berwarna warni sempena LAMPU 2024.
Mengenai bayaran masuk LAMPU 2024, PPJ mengenakan caj minimum bagi tiket masuk berharga RM5 untuk dewasa/warga emas dan RM2 untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun, manakala kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun serta Orang Kelainan Upaya adalah percuma.
"Selain tiket masuk, komponen berbayar lain ialah LAMPU 2024 Gaming Fest dengan harga RM5 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak."Turut dijual ialah tiket masuk secara kombo (LAMPU 2024 + Gaming Fest) berharga RM8 sahaja bagi dewasa," TPr Fadlun lagi.Wajah bangunan Istana Kehakiman berwajah baru sempena LAMPU 2024. - Kredit gambar: Faris Azmi PPJ
Bagi kemudahan pengunjung yang hadir, PPJ menyediakan sebanyak 5,000 petak parkir di sekitar tapak festival, perkhidmatan bas ulang alik secara percuma dari tiga lokasi dan teksi air untuk akses secara lebih mudah.
"Usah bimbang jika anda membawa anak-anak dan mahu mendapatkan makanan dan minuman kerana PPJ menyediakan 60 gerai peniaga dan 20 trak makan dengan pelbagai juadah di Putra Feast."PPJ berharap melalui LAMPU 2024, ia akan memberi sesuatu yang istimewa kepada orang ramai yang hadir dan semoga ia memberi kenangan indah untuk dibawa ke tahun 2025," katanya. - KitaReportersLAMPU 2024 yang menggunakan 16 projektor menghasilkan suasana malam yang indah di Putrajaya. - Gambar Faris Azmi PPJ