.

PERCUTIAN 5 hari 4 malam ke Lombok dan Bali meninggalkan kenangan indah.


SUATU ketika dahulu, nama Lombok mencetuskan fobia dalam kalangan rakyat Malaysia ekoran beberapa peristiwa gadis tempatan dilarikan pemuda Lombok ke pulau itu untuk dinikahi.

Tapi, seiring masa berlalu, kejadian berkenaan semakin dilupakan malah rasa fobia itu kini diganti pula dengan keterujaan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke sana.

Sebenarnya, bukan saja rakyat Malaysia, sebaliknya ia turut menjadi pilihan pelancong dari serata ceruk alam sehingga meletakkan Lombok sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka di dunia.

Travel Lemming, laman web panduan pelancongan terkemuka yang berpangkalan di Amerika Syarikat, baru-baru ini mengangkat Pulau Lombok di tempat pertama dalam kalangan 50 destinasi terbaik global.

Pengiktirafan itu satu lagi bukti betapa Lombok yang sering digambarkan sebagai ‘syurga dunia’ bukan sekadar indah khabar dari rupa. Sebelum ini, ia juga pernah dianugerahkan sebagai Destinasi Halal Terbaik Dunia semasa World Halal Travel Summit 2015 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).


LOMBOK dianggap sebagai syurga dunia kerana kecantikan pantai peranginan dan alam semula jadi.


Lombok juga dianggap tempat paling romantis untuk pengantin baharu menikmati bulan madu sehingga diangkat sebagai destinasi bulan madu nombor satu!

Apakah sebenarnya daya tarikan utama Lombok sehingga menambat hati begitu ramai pelancong?

Kata orang, tak kenal, maka tak cinta. Hanya mereka yang pernah menjejakkan kaki ke pulau yang terletak di Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia itu saja dapat merasai dan menceritakan pengalaman bercuti di sana.

Untuk itu, KitaReporters (KR) sempat menemu bual seorang pelancong, Norhayati Rosli, yang baru pulang dari Lombok dan Bali. Ikuti catatan perjalanan beliau sebagaimana diceritakan kepada KR.


BERGAMBAR kenangan dengan memperagakan pakaian hasil tenunan di Penginang.


HARI PERTAMA - 22 JANUARI, 2023:

“Kami, seramai 22 orang, diketuai Ustaz Dahner Majid bertolak 6.30 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2). Perjalanan Kuala Lumpur-Lambok mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Setiba di sana, pemandu pelancong, Pak Rudi sudah sedia menanti untuk membawa kami terus ke destinasi pertama iaitu Penginang, sebuah pusat tenunan songket.

“Terdapat juga pelbagai barangan buatan tangan seperti alas meja, cadar, topi dan baju. Memang rambang mata dibuatnya. Harga pun mampu milik.

“Selain melihat proses tenunan, ada antara kami yang mengambil kesempatan mencuba bakat menenun. Sebagai kenangan pula, kami bergambar dengan memperagakan pakaian hasil tenunan.


SALAH seorang ahli rombongan mencuba bakat menenun.


“Selepas puas menjamu mata di pusat tenunan itu, kami bergerak ke Mandalika untuk makan tengah hari. Menikmati makanan sambil menghayati keindahan pantai serta pemandangan laut yang terhampar luas diiring sapaan angin sepoi-sepoi bahasa, membuka selera kami.

“Menu hidangannya tidak banyak beza dengan makanan kita di Malaysia namun sesuatu yang agak pelik, tidak ada satu lauk pun yang berkuah. Terasa janggal makan nasi tanpa kuah.

“Selepas selesai makan dan solat, kami dibawa ke Tanjung Ann, sebuah kawasan peranginan yang sangat cantik. Teserlah keindahan alam ciptaan Allah.

“Pantainya putih bersih bagai mutiara sementara air lautnya sangat jernih sehingga kita dapat melihat tiga lapisan warna iaitu hijau, biru muda dan biru tua. Hamparan laut seluas mata memandang memberi ketenangan.


NORHAYATI terpikat dengan kecantikan Tanjung Ann yang memiliki pantai yang bersih dan air yang jernih.



“Sudah banyak pantai saya kunjungi tapi tak secantik Tanjung Ann. Tidak hairan jika ia diletak sebagai destinasi wajib kunjung jika ke Lambok.

“Dari Tanjung Ann, kami Kampung Sasak Ende, sebuah kampung tradisional masyarakat pribumi Lombok. Di sini, kita dapat melihat rumah tradisional suku kaum Sasak yang ketinggiannya hanya di antara 3 meter hingga 4 meter. Setiap rumah hanya ada satu bilik walaupun penghuninya ramai.

“Dindingnya diperbuat daripada anyaman kayu, tidak mempunyai tingkap dan pintu sangat rendah sehingga perlu menundukkan kepala jika mahu memasukinya.

“Agak menarik, bumbungnya berbentuk runcing, dikatakan bagi memudahkan air mengalir jika berlaku hujan dan atapnya dari anyaman daun yang kelihatan seperti daun rumbia atau nipah.


DESA Sasak Ende, perkampungan tradsional suku kaum sasak yang unik.


“Sesuatu yang unik adalah lantai rumah masyarakat Sasak yang diperbuat  tanah liat dan najis lembu, bertujuan mengukuhkannya. Membayangkan najis lembu sebagai lantai, ia boleh membuatkan kita rasa nak muntah. Begitupun apabila menjengah ke dalam rumah, ia kelihatan bersih dan tidak berbau.


SEORANG penduduk Sasak Ende menunjukkan cara membuat lantai rumah hasil adunan tanah liat dan najis lembu.


“Kami turut dihidangkan dengan persembahan tradisional suku kaum Sasak yang dikenali sebagai tarian peresean iaitu seni mengadu kekuatan antara dua lelaki.

“Kedua-dua lelaki dibekalkan sebatang rotan sebagai senjata serta perisai berbentuk kotak yang disebut ende. Pertarungan itu berlangsung sebanyak tiga pusingan dan diadili seorang pengadil.


PERSEMBAHAN tradisional kaum Sasak yang dikenali sebagai tarian peresean.


“Kami juga ditunjukkan proses menghasilkan kopi campuran beras yang menjadi minuman tradisi masyarakat Sasak. Buah kopi yang sudah dipanaskan atas bara api dimasukkan ke dalam lesung dan ditumbuk hingga lumat.

“Serbuk kopi itu kemudian dicampur dengan beras dan sekali lagi ditumbuk sehingga halus dan sebati. Rasanya? Memang enak malah aromanya saja sudah mencetuskan keinginan untuk mencuba.

“Bagi saya pengalaman berkunjung ke kampung itu memberi sesuatu yang menarik kerana dapat mengenali suku kaum Sasak yang masih mengekalkan cara hidup dan budaya mereka.”


GILI Trawangan, satu lagi pusat peranginan menarik di Lombok.


HARI KEDUA - 23 JANUARI, 2025:

“Hari ini, aktiviti utama kami adalah berkunjung ke Gili Trawangan, sebuah pulau yang disenaraikan sebagai salah satu tempat menarik di Lombok.

“Untuk ke sana, kami perlu menaiki bot yang sepatutnya hanya mengambil masa 30 minit tapi pemandu bot bermurah hati membawa kami ronda-ronda di sekitar pulau itu sebelum menurunkan kami di pantai.

“Pusat peranginan itu memang jadi tumpuan. Sekali pandang terasa diri sedang berada di Hawaii, apa tidaknya ramai Mat Salih ‘bersidai’ menikmati terik matahari.


PERKHIDMATAN kereta kuda disediakan jika pengunjung mahu bersiar-siar sekitar Gili Trawangan.


“Gili Trawangan menawarkan pelbagai aktiviti seperti skuba, snorkling, berenang dan mandi manda. Saya tidak menyertai rakan-rakan lain yang melakukan aktiviti snorkling sebaliknya bersama beberapa rakan hanya bersiar-siar di pulau itu sambil menikmati keindahannya.

“Pemandangannya memang cantik dan mempersonakan. Pantainya putih bagaikan kapas, air lautnya jernih sehingga kita dapat melihat ikan bermain-main.

“Jika mahu bersiar-siar sekitar pulau, kita mempunyai tiga pilihan sama ada berjalan kaki, menyewa basikal atau menaiki kereta kuda yang dipanggil cidomo. Kenderaan bermotor seperti kereta dan motosikal tidak dibenarkan.

“Kadar sewa sebuah basikal adalah antara 30,000 rupiah hingga 50,000 rupiah (RM8-RM14)  sementara untuk cidomo pula, tambangnya antara 40,000 rupiah hingga 75,000 rupiah (RM10-RM20) seorang bergantung kepada jarak perjalanan. Satu kereta kuda boleh dinaiki 3-4 orang.


MASJID Agung Baiturrahman di Gili Trawangan.


“Sesuatu yang menarik perhatian saya, walaupun sudah menjadi destinasi  pelancongan bertaraf antarabangsa namun Lombok yang majoriti penduduknya Islam tidak mengabaikan syiar Islam.

“Setiap kawasan yang dikunjungi terdapat masjid dan azan akan kedengaran setiap pelosok bila masuk waktu, tidak terkecuali di Pulau Gili Trawangan. Jadi, untuk beribadah, ia memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelancong beragama Islam.”

HARI KETIGA - 24 JANUARI, 2025

“Hari ini adalah hari terakhir kami di Lombok. Kami perlu check out hotel awal untuk mengambil penerbangan ke Bali pula pada tengah hari.

“Tapi, baki masa yang ada tidak mahu kami sia-siakan. Selepas bersarapan pagi, kami ke Desa Sukarara, sebuah perkampungan yang terkenal dengan aktiviti tenunan tradisional.

“Kegiatan menenun diwarisi zaman ke zaman dari kanak-kanak, remaja, orang dewasa sehingga warga emas. Boleh dikatakan sebahagian besar kaum wanita di situ menjadikan tenunan sebagai mata pencarian mereka.

“Di kampung itu, pelancong dapat melihat secara langsung proses menenun kain. Selain itu, mereka juga mahir membuat pelbagai produk kraftangan seperti beg dan aksesoris berasaskan tenunan.


NORHAYATI bergambar dengan berpakaian adat suku sasak yang dipanggil lambung.


“Pelancong juga dapat memperagakan pakaian adat suku kaum Sasak untuk bergambar. Pakaian perempuan dipanggil lambung dan songket, sementara pakaian lelaki pula dipanggil pegon.

“Tiga hari di Lombok rasa terlalu cepat berlalu. Jika diberi pilihan, saya mahu terus berada di situ beberapa hari lagi kerana belum puas menikmati keindahannya.

“Sejujurnya, saya benar-benar jatuh cinta dengan Lombok terutama keindahan pantai serta laut yang belum tercemar dan masih terpelihara keasliannya.

“Tapi, kami perlu meninggalkan Lombok untuk ke Bali pula yang juga dikhabarkan tidak kurang menariknya,” cerita Norhayati.

Dalam bahagian kedua nanti, KR akan mencatat pula pengalaman Norhayati dan rakan-rakannya di Bali. - KitaReporters

11
9
0
13
0

Copy Link: