Sembang-Sembang| Bila bazar jadi bazir! Bazar Ramadan goda nafsu! Sampai jari-jari penuh plastik!
Published byDatangnya Ramadan bermakna bermula juga Bazar Ramadan yang menjadi sumber rezeki para perniaga kecil dan mereka yang minat berniaga.
Bazar Ramadan tempat umat Islam mencari menu untuk berbuka. Lauk pauk kuih muih air minuman dan segala jenis makanan boleh dibeli di bazar Ramadan.
Malah di sesetengah tempat bazar Ramadan macam cendawan tumbuh. Merata tempat ada baik di bandar mahupun luar bandar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bazar-bazar Ramadan
Bagi wanita yang bekerja tentu gembira dengan adanya bazar Ramadan… penyelamat untuk berbuka disebabkan kesuntukan masa.
Balik pejabat singgah mana-mana bazar Ramadan dan beli apa yang diingini. Sampai rumah hanya masak nasi. Mudahkan orang zaman sekarang.
Namun perlu juga diingat membeli biar yang perlu bukan yang kita mahu. Beli Ikut kemampuan bukan kemahuan.
Ingat juga kualiti makanan yang dijual. Banyak kita dengar kualiti makanan tidak seindah rupa…. ada setengahnya sampai waktu berbuka sudah basi.
Kuih muih pula ada yang berlendir dan berbau serta terpaksa dibuang kerana tidak boleh dimakan. Jadi berhati-hati.
Memang betul Jika anak-anak ramai tentu selera semua mahu dilayan. Tidak mengapa. Asal mereka gembira dan rajin berpuasa tunaikanlah.
Apapun jika ada masa lebih baik masak sendiri. Kecuali Jika teringin makanan di Bazar. Itupun perlu tengok yang betul berkualiti dan sedap.
Tabiat membazir makanan setiap kali ketibaan bulan Ramadan harus dihentikan kerana secara tidak langsung merugikan ekonomi dan kewangan keluarga.
Setengahnya dilihat membeli sampai sepuluh jari memegang plastk. Terkial-kial sehingga menyusahkan pergerakan. Bukan tidak boleh beli, berpatut padanlah.
Situasi membazir makanan pada bulan puasa dilihat melebihi hari-hari biasa terutama di bazar Ramadan atau melalui hidangan bufet pihak tertentu.
Bufet Ramadan walau mahal sehingga yang beratus-ratus ringgit ada orang mampu. Alhamdulillah silakan. Bawalah keluarga menikmatinya.Bagi yang tidak mampu bersyukur apa yang ada.
Saya terbaca Yang diPertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut bertitah usah sia-siakan pahala puasa dengan membazir makanan.
Titah baginda dalam Facebook Istana Negara, sisa makanan daripada berbuka puasa merupakan penyumbang terbesar pembaziran makanan pada bulan Ramadan.
Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir.
Sementara itu awal bulan ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilaporkan berkata, lebih 75,000 tan metrik makanan mungkin dibazirkan sepanjang Ramadan ini.
Menurut laporan itu, sisa makanan yang dihasilkan dijangka meningkat daripada kira-kira 17,000 tan metrik sehari pada bulan biasa kepada lebih 19,000 tan metrik sehari sepanjang bulan puasa.
Catatan ini bukan bermakna tidak menggalakkan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan atau gerai tetapi sebagai ingatan supaya berbelanja serta mengambil sikap bersederhana.
Ini sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak boros dalam berbelanja hingga berlaku pembaziran kerana amalan membazir dilarang sama sekali oleh Islam.
Amalan pembaziran ini sangat bertentangan ajaran Islam seperti firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk sangat kufur kepada Tuhannya." (Al-Isra': 27)
Hakikatnya, kita perlu berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya termasuk pembaziran, banyakkan amalan bersedekah dan elakkan amalan pembaziran walaupun kita tidak terkesan dengan situasi semasa kini.
Berbelanja berhemah rezeki melimpah. Jumpa lagi di catatan akan datang. - KitaReporters