SAMBUTAN Awal Muharam dan Hari Kebangsaan ke-63 dimeriahkan dengan pelbagai acara oleh penduduk di merata tempat di negara ini. Ini semua menjadi testimoni betapa rakyat Malaysia boleh hidup rukun damai dan bergotong royong termasuk memasak bubur asyura. : KitaReporters

Bubur asyura dicampurkan dengan pelbagai ramuan yang dimasak oleh penduduk Felda Jengka 24, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Razak Daud 


Lagi cerita-cerita berkaitan Hari Kemerdekaan:

https://kitareporters.com/search?search=Hari+Kemerdekaan


Acara mengibarkan Jalur Gemilang sudah sinonim dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Bulan Kemerdekaan setiap tahun, manakala aktiviti tradisi memasak bubur asyura juga antara kewajiban dilaksanakan berasaskan penghayatan menerusi  beberapa peristiwa sejarah Islam seperti sambutan Awal Muharam.

Hakikatnya, sekiranya tidak ada perarakan dan kibar Jalur Gemilang bermakna tidak bersemaraklah sambutan Hari Kebangsaan dan juga Bulan Kemerdekaan.

Acara tradisi, iaitu memasak bubur asyura atau dalam bahasa Arab disebut 'Asyara' bermaksud 'sepuluh' mencerminkan fenomena yang cukup bersejarah dan disambut pada tarikh 10 Muharam, bulan pertama dalam kalendar Islam atau pengisian hari lain dalam bulan yang sama.

Berikut antara panduan amalan yang dititipkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri: 

Kredit foto: [email protected] (portal says.com/my/authors 


Kebetulan Hari Kebangsaan ke-63, iaitu pada 31 Ogos 2020 yang baharu diraikan dalam bulan Muharam bermakna sambutan 'berganda' itu bertambah meriahlah apabila aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang diadakan bersama majlis memasak bubur asyura

Senario sambutan kedua-dua peristiwa bersejarah itu lebih menarik apabila semua tugas memasang dan kibar Jalur Gemilang serta memasak bubur asyura direalisasikan secara bergotong-royong merupakan amalan turun-temurun orang Melayu.

Lebih membanggakan kedua-dua sambutan itu diasosiasikan menerusi Program Asyura Merdeka tampak lebih meriah dan terserlah nilai patriotisme dalam kalangan penduduk berkenaan, sekali gus berbangga dapat melayari kehidupan dalam suasana aman dan makmur selepas 63 tahun negara bebas daripada penjajah.

Rakyat berbilang kaum menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan solidariti. - Kredit foto: steemit.com


Berasaskan kebenaran ini, seramai 300 orang peneroka Felda Jengka 24, Jerantut di Pahang dan para tetamu telah menghayati kedua sambutan itu menerusi Program Asyura Merdeka dengan mengadakan pertandingan memasak bubur asyura dan kibar Jalur Gemilang pada 6 September 2020 lalu.

Orang ramai dan tetamu memfokuskan masakan bubur asyura apabila peserta yang menyertai pertandingan berkenaan menunjukkan 'skil' memasak dengan pelbagai ramuan mengikut asal negeri masing-masing untuk menyedapkan bubur asyura malahan pelbagai bentuk hiasan juga mengujakan pandangan panel hakim serta pengunjung.

Sebahagian daripada kumpulan blok Felda Jengka 24, Jerantut mengenakan busana berwarna-warni  yang menyertai pertandingan memasak asyura sempena Program Asyura Merdeka. - Kredit foto: Razak Daud


ABDUL RAZAK DAUD


Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud berkata, sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, aktiviti memasak bubur asyura tahun ini diserikan dengan warna-warni busana peserta pertandingan dan pengunjung bertemakan kemerdekaan (patriotisme).

Tetamu dalam kalangan pemimpin Felda Wilayah Jengka turut memasak asyura dengan menggayakan busana tanjak

pada kepala masing-masing. - Kredit foto: Sinar Harian


Pasukan askar wataniah dan Majlis Belia Felda Malaysia yang menyertai pertandingan memasak bubur asyura di Felda Jengka 24, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Razak Daud


"Penduduk kebanyakan tanah rancangan Felda Wilayah Jengka dan Jerantut ternanti-nanti ketibaan hari Asyura (10 Muharam) kerana sambutan itu hanya dilakukan sekali setahun. Oleh kerana kekangan masa, tugas dan perlu membuat persiapan rapi, penduduk di sini hanya dapat mengadakan program ini pada 6 September 2020. 

"Sebanyak 14 buah kawah bubur asyura, iaitu 10 kawah dari setiap blok tanah rancangan ini dan masing-masing sebuah (kawah) daripada pasukan askar wataniah, guru, pejabat Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia Jengka," katanya semasa ditemui di Felda Jengka 24 pada 6 September 2020 lalu.

Antara kumpulan blok Felda Jengka 24, Jerantut sedang memasak bubur asyura. - Kredit foto: Razak Daud


Acara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan disempurnakan oleh Ketua Wanita UMNO Jerantut, Datuk Siti Hajar Mubin. Yang turut hadir, iaitu Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Afzal Hanis Hamid Abd Kadir dan Pengurus Felda Jengka 24, Mohd Tamrin Zakaria.

Razak berkata, pertandingan memasak bubur asyura dengan pelbagai resepi diadakan di pekarangan masjid Felda itu bermula pada pukul 10 pagi menyaksikan peserta bergotong-royong (memasak) selama hampir lapan jam dan kemudiannya dinilai oleh panel hakim sebelum diagihkan kepada peneroka di situ.

Peserta pertandingan memasak bubur asyura mempamerkan juadah masing-masing untuk dinilai oleh panel hakim.


Dalam pada itu, Mohd Tamrin berkata, suasana kemeriahan di setiap buah Felda, iaitu apabila penduduk tampil bergotong-royong dalam apa juga kegiatan kemasyarakatan dan keagamaan termasuk acara hari itu, memasak bubur asyura.

"Aktiviti ini sinonim dengan masyarakat peneroka sebagai pelantar mengeratkan ukhwah dan menzahirkan kesatuan berasaskan patriotisme lebih lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-63 baharu sahaja berlalu dan kita masih berada dalam suasana Bulan Kemerdekaan," katanya.

Katanya, pertandingan memasak bubur asyura cuma sebagai mengisi program tersebut, tetapi lebih signifikan dalam usaha mendekatkan ukhuwah apabila pek bubur asyura juga disumbangkan kepada jiran terdekat, iaitu di Kampung Bukit Nikmat Hulu, Kampung Bukit Nikmat Hilir, Kampung Durian Hijau, Jengka 25 dan Jengka 13.  

Pek bubur asyura yang siap untuk diagihkan kepada penduduk Felda Jengka 24 dan kampung berekatan. - Kredit foto: Razak Daud


Sementara itu, Siti Hajar yang juga Ketua Wanita UMNO Pahang kagum dengan kesungguhan para peneroka memeriahkan sambutan tersebut dengan bergotong-royong memasak bubur asyura secara pertandingan dan kemudiannya mengagihkan kepada semua penduduk termasuk jiran di kampung berdekatan.

"Kerja secara gotong-royong memasak makanan tradisi bulan Muharam ini juga mencerminkan nilai jati diri dan patriotisme selain mengukuhkan ukhuwah selari dengan ajaran Islam dan pemupukan bersatu padu berasaskan semangat kemerdekaan," ujarnya. - KitaReporters 

SITI HAJAR MUBIN


Siti Hajar Mubin menyampaikan hadiah kepada wakil kumpulan blok yang memenangi pertandingan memasak bubur asyura sempena Program Asyura Merdeka di Felda Jengka 24, Jerantut pada 6 September 2020 lalu.

1
0
0
0
0

Copy Link: