Video| Tahu kenapa safron rempah termahal? Pemerosesan perlu teliti, tenaga kerja kena ramai!

Published by
KitaReporters

Ladang bunga Crocus Sativus atau Saffron Crocrus yang menghasilkan rempah ratus daripada jenis safron. - Kredit foto: TribunPekanBaru.Com.


UNTUK menjadikan masakan sama ada makanan atau kuih muih lebih sedap dan menyelerakan ia perlu ditambah dengan pelbagai bahan termasuk daripada jenis-jenis rempah.

Antaranya termasuklah safron dan ia merupakan antara bahan yang di bawah kategori rempah ratus yang dikatakan termahal di dunia setakat ini. Ini sebabkan cara penghasilannya yang rumit dan memerlukan masa agak panjang serta memerlukan tenaga kerja agak ramai.

Melalui laporan TribunPekanBaru.Com baru-baru ini yang dipetik dari Inspiratorfreank.com, safron merupakan antara jenis rempah ratus terkenal di seluruh dunia harganya mengikut pasaran semasa sekarang antara Euro 15,000 hingga 30,000 (antara RM72,000 hingga RM150,000) bagi sekilogram.

Bahan ini dipercayai berasal dari Yunani dan kini banyak didapati di Iran, Afganistan, Amerika Syarikat dan Belanda. Malahan kini Iran merupakan negara pengeluar utama safron dunia iaitu kira-kira 90 peratus.

Menurut laporan itu, harga rempah berkenaan mahal kerana proses penghasilannya dari peringkat penuaian hingga selesai memerlukan tenaga kerja yang ramai dan masa agak panjang di samping memerlukan bahannya agak banyak.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan rempah



Untuk sekilogram safron sahaja memerlukan 250,000 kuntum bunga Crocus dan masa pemerosesannya selama 600 jam.

Safron berasal dari bunga Crocus Sativus atau Saffron Crocrus dengan kelopak bunganya berwarna ungu dan ia diambil dari bahagian putiknya yang kemudian dijadikan sebagai rempah serta bahan pewarna.

Proses penuaian safron mesti dilakukan dengan berhati-hati dari peringkat bunga di mana pada bahagian dalamnya terdapat tiga tangkai safron dan petani perlu menggunakan peralatan khas iaitu pinset untuk dipetik satu demi satu dan kemudian dikeringkan dalam bekas.

Disebabkan bunganya yang agak kecil jadi perusahaan tanaman bagi kebun yang luas terpaksa memerlukan tenaga pekerja agak ramai khususnya semasa musim penuaian.

Bagi menghasilkan satu paun saffron memerlukan 170,000 kuntum bunga Crocus Sativus. Bunga ini kembang mekar pada sekitar akhir September hingga awal Disember setiap tahun.

Bagi menjaga kualitinya, safron akan dituai pada awal pagi bagi mengelakkan cahaya matahari merosakkan kandungan safron yang ada dalam bunga berkenaan.


Untuk menghasilkan sekilogram safron memerlukan 250,000 kuntum bunga Crocus Sativus dan pemerosesannya mengambil masa 600 jam. Juga bunga berkenan perlu dikutip pada awal pagi supaya kualiti safron itu tidak terjejas oleh cahaya matahari.


Bahan-bahan khas yang ada dalam safron sehingga menjadikan ia mahal termasuklah picrocrocin, crocin dan safranal di mana ketiga-tiga ramuan tersebut yang menentukan rasa, aroma dan warna dihasilkan safron.

Menurut petikan daripada laman portal grid.id, dalam kuantiti yang banyak safron dapat menjadikan hormon tubuh seseorang lebih baik hingga mampu mengurangkan simptom beberapa jenis penyakit antara barah serta baik untuk ingatan dan otak.

Safron banyak digunakan dalam resepi masakan Asia Barat, India dan Pakistan. Namun kebelakangan ini banyak digunakan dalam campuran masakan di Nusantara termasuk Malaysia dan Indonesia kerana ia mempunyai aroma wangi dan rasa sedikit manis selain rasanya yang tertentu.

Sekalipun warnanya merah bila digunakan sebagai pewarna dalam masakan safron akan bertukar menjadi kuning keemasan.

Tidak hairanlah kenapa safron mempunyai nilai pasaran yang tinggi harganya jika dibandingkan dengan jenis-jenis rempah lainnya kerana proses penuaian yang rumit, memerlukan masa yang tepat dan agak lama selain penggunaan tenaga kerja ramai. - KitaReporters


Safron merupakan antara kategori rempah ratus yang termahal masa kini kira-kira RM75,000 hingga RM151,000 bagi sekilogram.

4
12
0
12
0

Copy Link: