Opah Ngomel| Video| Siang ikan bukan syarat utama menantu! Tapi bukti wanita pakar kerja di dapur!
Published byDUA tiga hari lalu Opah Ngomel tertarik dengan kritikan netizen yang menegur mak-mak "muda" zaman sekarang yang tak reti nak siang ikan (bersihkan ikan). Ini ada kaitannya dengan pengacara televisyen yang comel lote yang sangat kekok ketika menyiang ikan di kaca TV tu!
Alahai kata mereka, muka saja lawa, macam tidak pernah masuk dapur.
Ada pula wanita lain menyampuk mereka kerana tak puas hati sebab memandang rendah pada wanita, tak reti buat itu ini tetapi tidak ada pula yang mempersoalkan suami tidak solat, kedekut dan malas membantu sedangkan kerja rumah suami yang kena lakukan.
Manakala bagi ibu yang prihatin berkata, alahai tak kisahlah tak reti siang ikan, asalkan boleh layan suami dengan baik. Ibu separuh umur pula menyindir penonton dengan kata-kata, ikan kebanyakan sudah siap disiang. Malah kat supermarket ikan diletakkan dalam bekas. Tunggu pilih dan masak.
Tak kurang pula yang mencelah. Siang ikan pun nak "berbalah". Orang dah tak buatlah kerja tu sekarang. Malah ayam pun sudah siap dipotong, bagi tahu saja berapa bahagian ayam itu.
Isi perut dan darah pada bahagian tulang kena dibersihkan seperti ini. Jika tidak ia punca hanyir.
Ni pengalaman Opahlah ketika musim raya. Ni dah tak sampai 100 hari lagi akan "bertemu" raya. Ni masa nak siapkan rumah terbuka, macam-macam karenah kena berdepan.
Barangan bukan saja mahal malah nak cari orang siang ayam dan ikan pun satu masalah. Ini terutama berlaku di pasar raya ketika puncak jurujual pula sibuk.
Dahlah, ayam menjadi rebutan. Bukan seekor dua ayam dibeli malah ada yang timbang kilo - berbelas-belas ekor. Opah yang nak beli lima ekor, dua untuk rendang dan tiga lagi masak sambal. Kejut juga tak ada yang hendak tolong potong ayam itu.
Tahu apa jurujual itu beritahu Opah: "Maaf kami tak sediakan kerja memotong ayam hari ini (musim raya) banyak sangat orang tempah. Nanti masa jadi lama." Masa itu ayam pula murah. Itu ayam.
Kalau ikan macam mana?. Nasib, nasib kalau ada yang sudi nak siang dan buang perut tu!.
Menjadi wanita bukan saja kena sentiasa kelihatan cantik tetapi akan lebih berfaedah jika pandai 'masuk dapur'. Memasak perkara asas seperti tanak nasi, goreng telor, masak kari, masak singgang atau sup ikan dan ayam serta goreng sayur sangat-sangatlah diperlukan.
Bersihkan ikan itu di bawah air mengalir dan sediakan tapisan untuk mengumpul semua perut supaya paip tidak tersumbat dan bau ikan yang busuk itu tidak tersebar di dapur.
Tulang pada bahagian dada ikan itu perlu dibuang.
Pastikan tulang ikan pada hujung perutnya dibuang. Tulang ini sangat berbahaya jika terlekat.
Memang ramai ibu merunggut anak dara sekarang "malas" nak ke dapur. Bangun tidur nak kemas katil dalam bilik sendiri pun asyik bergaduh dulu.
Seharian kalau boleh, mereka mahu menghadap komputer, menelaah buku dan banyak juga yang menghabiskan masa bermain TikTok, Facebook dan segala medsos (media sosial) yang lebih menarik daripada keluar peluh rejat belajar memasak, membakar kek atau membantu membersihkan dapur selepas ibu memasak.
Ingat orang tua selalu cakap "air tangan ibu" berkatkan lagi ikatan kasih sayang. Petua lain nak pikat suami ialah jaga makan minumnya, pakaiannya, jaga tempat tidur bermaksud layanan nafkah batin pasangan secukupnya dan hormatlah ibu bapa kedua-dua pihak.
Opah memilih pandai di dapur ini satu kelebihan tambahan sebab setinggi manapun belajar akhirnya wanita kena masak juga. Buat bubur untuk bayi atau kalau ada keluarga ramai termasuk mentua, ipar duai dan jiran tertangga yang datang bertandang pada hari raya.
Takkan cukup dengan kuih muih kering. Sekurang-kurangnya kena ada juga mi goreng atau tidak pun nasi, ikan goreng dan sayur air.
Tu bila sudah bersuami, kecualilah jika dapat suami kerja cef atau tauke restoran lainlah cerita.
Masukkan dalam beberapa lapisan plastik sebelum dibuang, tidak menarik perhatian haiwan untuk menggeledah tong sampah di rumah kita.
Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga harga dirinya dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak, dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya).” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad).
Manakala Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Al-Nasa’i, Abu Dawud Ibn Majah Ahmad Ibn Hanbal, dan Al-Darimi dalam kitabnya dari sahabat Abu Hurairah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW menjelaskan 4 kriteria untuk memilih isteri, iaitu lihatlah kepada:
- Hartanya
- Keturunannya
- Kecantikannya
- Agamanya
Firman Allah SWT: “Perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat. Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (Al-Quran Surah An-Nur 24 : Ayat 26)
Maka wanita carilah suami soleh yang beriman dan mampu menjadi imam. - KitaReporters