Video| Bali makin macet! Tapi pantainya tetap cantik! Tenang, mengasyikkan! Destinasi libur pilihan!

Published by
KitaReporters

.


NORHAYATI Rosli (tujuh dari kiri) bersama rombongan bergambar di depan Lapangan Terbang Bali.


BALI dianggap sebagai permata wisata (pelancongan) Indonesia kerana ia adalah antara penyumbang terbesar kepada industri pelancongan negara itu. Keindahan pulaunya serta warisan budaya menjadi tarikan utama pelancong berkunjung ke sana.

Majalah pelancongan terkemuka Amerika Syarikat, Travel + Leisure, meletakkan Bali sebagai salah satu pulau terbaik. Menurut penilaian majalah berkenaan, destinasi yang dijuluki sebagai Pulau Dewata itu menduduki tempat ketiga daripada 25 pulau terbaik di dunia.

Meskipun ada yang skeptikal, terutama umat Islam yang menganggap Bali sebagai destinasi mempromosi agama dan budaya Hindu namun hakikatnya, tak kenal maka tak cinta.

Bagi Norhayati Rosli, ini kali kedua dia ke Bali, namun tetap teruja untuk ke sana lagi kerana ingin melihat keadaan terkini di pulau itu selepas kali pertama menjejakkan kaki kira-kira 10 tahun lalu. Apatah lagi jarak dari Lombok ke pulau itu hanya mengambil masa selama satu jam penerbangan.

Kita sudah mengikut catatan Norhayati bercuti di Lombok pada bahagian pertama dan kini dalam bahagian kedua, dia menceritakan pula pengalamannya selama tiga hari dua malam di Bali pada 24-26 Januari, 2025.

Ikuti catatannya seperti dikongsi bersama KitaReporters:


MENIKMATI makan malam berlatar belakang laut di Jimbaran.


24 Januari 2025:

“Saya tak nafikan, ada kawan mempertikai keinginan saya untuk ke Bali malah memberi respons negatif dan sinis. Kata mereka, apa faedahnya mengunjungi tempat itu yang diketahui peratusan penduduknya beragama Hindu dan mengamalkan budaya hidup bercirikan agama itu.

“Saya berpegang pada keyakinan, selagi kita mempunyai iman, ia tidak akan tergugat walaupun di mana kita berada. Apatah lagi, individu yang mengetuai rombongan kami, Ustaz Dahner Majid, seorang yang lebih arif bab hukum hakam.

“Tidak mungkin seorang ustaz seperti beliau akan membawa kami ke Bali jika beliau tahu ia akan memudaratkan iman dan akidah kami.

“Lagipun, alang-alang ke Lombok, elok kami terus ke Bali yang hanya mengambil masa sejam penerbangan. Pada awalnya kami bercadang menaiki bot tapi dek kekangan masa, kami mengambil keputusan menggunakan perkidmatan udara. Jika bot, ia akan memakan masa selama empat jam.

“Hari pertama di Bali, tidak ada aktiviti khusus, lebih bersifat free and easy. Oleh kerana kami tiba sudah petang, kami terus ke Jimbaran. Suasananya agak berbeza dari kunjungan pertama saya dahulu.

“Dahulu tidak banyak kedai makan seperti sekarang dan ia lebih tenang tapi kali ini lokasi itu menjadi sangat sibuk sehingga saya berasa kurang selesa.

“Kami menikmati makan malam di situ sambil melayan pandangan ke arah laut. Rancangan kami hendak melihat matahari terbenam tidak kesampaian kerana cuaca agak suram."


 

SERAYA Budaya, pusat kebudayaan Bali.


25 Januari, 2025:

“Destinasi pertama pada hari kedua kami di Bali adalah ke Seraya Budaya, sebuah pusat kebudayaan. Antara tarikan utama di sini adalah persembahan  barong dan tarian kecak.

“Kami memilih untuk menonton persembahan barong, lakonan yang menggambarkan pertempuran antara kebaikan dan kejahatan. Ia lazimnya bersandarkan kisah-kisah mitos masyarakat Bali.

“Pelakon akan memakai kostum yang sesuai dengan watak serta signifikan dengan penceritaan mitos.

“Walaupun barong sering dikaitkan dengan upacara keagamaan Hindu namun untuk tontonan pelancong, ia sudah diubah suai menjadi acara hiburan dan dikomersialkan. Menyaksikan persembahan barong seolah-olah kita sedang menonton sebuah persembahan teater.


PERSEMBAHAN barong.


“Dari Seraya Budaya kami bergerak ke Hidden Garden, sebuah kawasan berkonsepkan agrotourism (agropelancongan) yang dipenuhi dengan pelbagai pokok seperti pokok buah-buahan, herba, kopi, pokok vanilla dan lain-lain. 

“Semua hasil tanaman ini diproses dan dijadikan produk yang dijual kepada pengunjung. Produk paling popular di sini adalah kopi luwak yang terhasil daripada sisa kopi dari najis musang.

“Walaupun tidak mencuba minuman itu, tapi saya teruja untuk melihat bagaimana kopi luwak dihasilkan daripada najis musang.

“Untuk itu, kami dibawa untuk melihat proses awal bagaimana kopi luwak terhasil. Menurut penerangan petugas di situ musang diberi makan buah kopi segar. Apabila ia mengeluarkan semula biji kopi itu menerusi najis, ia akan dikutip, dibersihkan, dikeringkan, disangai dan akhirnya diproses menjadi serbuk kopi.

“Ada yang pernah mencuba mengakui rasanya sangat enak mengatasi keenakan kopi yang biasa kita minum. 

"Selain kopi luwak, tempat ini juga memproses beberapa jenis jus dan teh yang diperbuat daripada halia madu, kunyit, avokado, manggis, ginseng, kelapa, mengkudu, beras bakar dan pelbagai lagi. Kalau tak silap saya ada 16 jenis minuman.


BIJI kopi sisa najis musang yang belum diproses menjadi kopi luwak.


 

PELBAGAI jenis minuman dihidangkan kepada pengunjung Hidden Garden.


“Perjalanan kami kemudian diteruskan ke Danau Beratan, sebuah kawasan berbukit setinggi 1,240 meter dari aras laut, terletak di Bedugul. Berada di sini seolah-olah kita di Cameron Highland, suhunya sejuk mencecah 18 darjah selsius.

“Pemandangannya yang menghijau benar-benar memikat serta memberi ketenangan. Lebih menarik, terdapat sebuah tasik di atas bukit itu. Tapi, sayang, hari hujan menyebabkan pergerakan kami terbatas, tidak sempat menikmati keindahan tasik itu.

“Kami tidak boleh berlama-lama di situ kerana dalam itinerari, lokasi seterusnya akan kami kunjungi adalah Tanah Lot yang dianggap mercu tanda Bali.


SUASANA nyaman di Danau Beratan.


“Apa sebenarnya ada di Tanah Lot? Terdapat beberapa buah pura (kuil) yang didirikan di atas batu besar yang dikelilingi laut. Kedudukannya itulah yang menjadi daya tarikan pelancong.

“Tapi, Tanah Lot bukan semata-mata menawarkan kuil kepada pelancong. Bagi kami yang gemar menikmati panorama, pemandangan di sekitar itu yang lebih menarik perhatian untuk bergambar kerana seperti tempat lain di Bali, keindahan alam di sini sangat menakjubkan.

“Cuma berbeza dengan Lombok, agak sukar menemui masjid atau mendengar azan di Bali. Ke mana-mana pergi, yang kami nampak adalah patung-patung dan kuil-kuil. Ini mudah difahami kerana majoriti penduduk Bali adalah penganut agama Hindu manakala orang Islam di pulau itu adalah minoriti.

“Walaupun kebebasan beragama di Bali berjalan dengan baik namun sebagai pihak minoriti, mereka perlu menerima hakikat banyak cabaran perlu ditempuh dalam usaha mengimarahkan agama Islam.


MENIKMATI keindahan di Tanah Lot.


 

BERGAMBAR di depan gerbang ke Tanah Lot.


“Contohnya, sekolah agama untuk anak-anak mendalami Islam masih jauh ketinggalan daripada segi infrastruktur dan kemudahan asas lain. Kebetulan, anak kepada pemandu bas kami belajar di Madrasah Al-Barokah, jadi Ustaz Dahner memberi cadangan agar kami singgah ke sana untuk melihat sendiri keadaan madrasah berkenaan.

“Pada masa sama, kami sepakat melancarkan kutipan kilat bagi disalurkan kapda madrasah itu. Alhamduliilah, kami berjaya mengumpul sebanyak RM1,500 (kira-kira 5 juta rupiah) dan diserahkan kepada madrasah berkenaan semasa kami singgah di sana.

“Sumbangan itu mungkin tidak seberapa tetapi amat membantu kerana sewa mingguan tapak madrasah itu adalah 400,000 rupiah bersamaan kira-kira RM120 duit Malaysia. Itu belum dicampur kos pengurusan, pembelajaran dan lain-lain.”


USTAZ Dahner menyampaikan sumbangan hasil kutipan kilat yang mereka lakukan kepada pengelola Madrasah Al-Barokah.


26 Januari 2025:

“Sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia, kami sempat menjengah ke Pantai Pandawa dan Tanjung Benoa.

“Pantai Pandawa yang berlokasi di Desa Kutuh, Kecamatan Kuta Selatan, Kabupaten Badung adalah salah satu pantai yang menarik perhatian. Selain panorama alamnya yang indah, pantai itu juga diperindahkan dengan tebing-tebing di sekitarnya.

“Pandawa dikenali sebagai secret beach atau pantai rahsia kerana kedudukannya yang agak tersembunyi di balik bukit-bukit berbatu. Tapi, keadaan inilah yang menjadikan ia unik dan agak istimewa berbanding pantai lain di Bali.

“Sebelum dinaik taraf sebagai tempat pelancongan, Pantai Pandawa dulunya adalah kampung nelayan. Selain aktiviti menangkap ikan nelayan di sini menanam rumput laut sebagai sumber pendapatan mereka. 

“Sementara itu, Tanjung Benoa pula adalah tempat konservasi penyu. Pada saya, ia bukanlah tempat wajib kunjung kerana kawasannya tidak seluas mana dan penyu pun tak banyak. Tapi, untuk mengisi masa, bolehlah.


PANTAI Pandawa diberi jolokan Secret Beach kerana tersorok di sebalik bukit.


“Tiga hari di Bali memberi satu pengalaman baharu kepada saya. Ia sudah jauh berubah jika dibandingkan 10 tahun lalu. Pulau itu sudah dibangunkan dengan banyak bangunan didirikan. Jalan rayanya juga semakin macet.”

Kesimpulannya, kata Norhayati, walaupun Bali tidak boleh dipisahkan dengan statusnya sebagai pulau untuk agama Hindu namun di sebalik itu banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi terutama pantai peranginannya yang cantik. - KitaReporters

 

 

10
12
0
9
0

Copy Link: