BUAH getah selalunya digunakan untuk bermain congkak. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa biji buah getah itu pula boleh menghasilkan makanan yang enak. Tetapi perlu pelajari terlebih dahulu bagaimana caranya biji getah itu menjadi bahan ramuan dalam masakan sehingga menjadi juadah digemari ramai. Hidangan dengan campuran asam rong biji getah ini cukup popular dan menjadi resipi turun temurun penduduk Jerantut, Pahang. : KitaReporters

Buah getah mempunyai bentuk yang bulat, kulit keras dan licin. - Gambar hiasan


Dengar kata Asam Rong Jerantut diperbuat dari biji getah, betul ke?

Betul atau tidak.. itulah kebenarannya apabila seorang penduduk Kuala Tahan, Jerantut, Roslan Abu Kassim dalam Facebook miliknya memuat naik status berkenaan keenakan sajian yang digabungkan asam rong biji getah yang cukup popular di kampungnya itu. 
Beliau menulis: "Asam rong nama di beri... di perbuat dari bijik getah.. di jemur di tumbuk.. di masak jadi la sambal... kalau makan nasi panas... di tabur di atas nya... pejam mata dan rasa ke nikmatan nya... ada 2 cara utk menyediakan nya... Kalau nak tau sila datang ke taman negara pahang."
Asam rong biji getah menjadi antara pelengkap masakan dan merupakan resipi tradisi turun temurun penduduk Jerantut terutama di kawasan pedalaman.
Asam rong biji getah ini apabila dicampurkan dalam pelbagai jenis masakan mampu menghasilkan rasa dan aroma yang boleh mengecurkan air liur. 

Bagi warga Jerantut yang dilahir dan dibesarkan di daerah itu cukup maklum dengan asam rong biji getah. Mereka membesar bersama dengan asam rong. 

Jika anda pertama kali datang ke daerah ini, pasti pelayan kedai makan syorkan hidangan yang ada terisi asam rong. 

Cubalah makan. Pasti akan mencarinya lagi.

Buah getah perlu dipecahkan terlebih dahulu untuk mendapatkan isi rong. Kredit foto: https://www.facebook.com/100007814974785/posts/2673599376243869/

Kredit foto: https://www.facebook.com/100007814974785/posts/2673599376243869/

Bagaimana asam rong dibuat dan bagaimana ia mendapat namanya? 

Asam rong adalah sejenis makanan tradisional yang menggunakan biji getah dijadikan sebagai penambah rasa dalam masakan. 

Perkataan asam adalah disebabkan cara menyimpannya iaitu diperam dalam tempoh waktu tertentu, manakala rong pula merujuk bahagian isi dalam buah getah yang juga dipanggil rong. 

Jadilah gabungan asam rong. Mudahkan datok nenek kita dahulu menamakan makanan yang dihasilkan!

Sebelum biji getah digunakan sebagai bahan perencah masakan, asam rong terlebih dahulu dibuat daripada buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. 

Kesukaran mendapatkan buah perah ini menyebabkan penduduk mula mencari alternatif dan mereka menemukan biji getah sebagai ganti buah perah. 

Sekarang semuanya guna biji getah sebab senang dapat. Kutip je di kebun getah. Anak-anak pun boleh bantu kutip.

Takde lah susah manapun nak buat asam rong ni. Kutip je buah getah yang gugur dari pokok-pokok getah yang telah matang.
Asam rong ini rasanya sedikit pahit kerana diperam untuk satu tempoh yang agak lama. 

Berbulan-bulan juga disimpan untuk mendapatkan rasa asam sebenar!


Bagi mempercepatkan proses mengeluarkan isi rong, lesung batu akan digunakan untuk mengetuk kulit buah getah yang keras dan licin itu. 

Isinya yang berwarna putih, lembut dan kenyal akan dijemur selama beberapa hari sehingga kering untuk menanggalkan selaput kulit daripada rong dan menjadi kecut sepenuhnya.

Setelah kering biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur dan diperam di dalam bekas tertutup seperti tempayan atau balang dan disimpan di tempat kering bagi mengelakkannya berkulat dan rosak. 

Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan dalam tempoh beberapa bulan untuk menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak.

Selepas disimpan lama dan cukup tempoh, barulah asam rong digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan. 

Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. 

Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai, asam atau sambal bergantung kepada selera si pembuat. 

Enaknya masak gulai asam rong. - Gambar hiasan

Masak gulai asam rong menggunakan resipi turun temurun. - Gambar hiasan

Jika dijadikan bahan perencah dalam masakan menggunakan ikan ia dikenali sebagai Gulai Asam Rong. Antara ikan air tawar yang sesuai ialah ikan patin, kenerek, baung, toman dan keli. 

Cara memasak gulai ini sama seperti cara memasak gulai lain cuma perlu dicampurkan sedikit asam rong ini (tiga hingga lima sudu teh) dalam masakan tersebut.

Jika dicampurkan dalam sayur seperti kangkung ianya kelihatan seperti kangkung masak taucu. Asam rong itu akan kelihatan seperti kacang yang ditumbuk halus. 

Selain itu asam rong ini juga boleh dibuat sambal dengan campuran ikan bilis dan garam.

Bagi yang baru pertama kali merasainya mungkin ada yang terus jatuh hati dengan keunikan rasanya yang berbeza dengan masakan yang lain dan mungkin juga ada yang tidak menyukai dengan masakan ini. 

Bagi penggemar gulai asam rong ini aromanya sahaja sudah cukup memberikan selera makan yang cukup luar biasa. 

Asam rong dijadikan perencah dalam pelbagai jenis masakan dan digemari kalangan penduduk Jerantut. -

Gambar hiasan


Seorang penduduk Kuala Tahan, Jefantut, Roslan Abu Kassim, 54, berkata, asam rong biji getah memang popular di Jerantut sejak turun temurun. 

Kebanyakan kedai makan atau restoran ada menyediakan menu yang mengandungi asam rum biji getah.

"Pada kebiasaannya asam rong dijadikan sambal dan dimakan dengan pelbagai ulaman yang agak pahit seperti pucuk dan pelepah betik muda serta buah ara untuk mengurangkan rasa kelatnya," katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi WhatsApp.

Asam rong (biji getah atau buah perah) merupakan makanan tradisional yang cukup popular bagi penduduk Pahang Barat iaitu Lipis, Raub dan Jerantut. 

Kini asam rong turut kenali di Maran dan Kuantan. 

Belum cuba belum tahu. Jom ke Pahang sambil menikmati sajian gulai asam rong biji getah. - KitaReporters 

13
3
0
3
2

Copy Link: