Bongkah kayu yang disusun menjadi pagar membuatkan pemandangan di Aminah Rahmat Agro Farm begitu unik.


KELESTARIAN alam sekitar dapat menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan dan usaha kerajaan ke arah melestarikan alam semula jadi sememangnya sudah digerakkan secara meluas di negara ini sejak sekian lama.

Namun perlu diakui terdapat dalam kalangan kita yang terlepas pandang atau sengaja memandang usaha tersebut sebagai sesuatu yang remeh selain terdapat juga dalam kalangan kita yang enggan mengambil bahagian bagi menjayakan program tersebut.

Namun lain kisahnya bagi seorang wanita, Aminah Rahmat di Labis yang tidak berkira untuk membelanjakan hampir RM300,000 bagi merealisasikan impiannya mewujudkan sebuah agro farm (ladang agro), Aminah Rahmat Agro Farm di sebidang tanah berkeluasan kira-kira tujuh ekar di Felda Chemplak, Labis demi kepuasan diri serta sifat cintanya kepada alam semula jadi sejak enam tahun lalu.




Beberapa replika dinasour yang dipamerkan kepada orang ramai di Aminah Rahmah Agro Farm, Felda Chemplak, Labis, Johor.


Jika dilihat daripada susuk tubuhnya, kita mungkin tidak menyangka bahawa wanita bertubuh kecil tersebut memiliki jiwa besar dan tidak pernah menyerah kalah walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha memenuhi impiannya untuk mewujudkan sebuah kawasan yang mampu mendekatkan lagi masyarakat dengan alam semula jadi. 

"Di sini saya bukan sahaja berusaha mengekalkan alam semula jadi, malah menerapkan konsep pendidikan kepada pengunjung yang datang dengan menyediakan pelbagai kemudahan walaupun belum lengkap sepenuhnya.


Sangkar ternakan ikan antara tarikan yang terdapat di Aminah Rahmat Agro Farm.


"Kami menyediakan beberapa pakej yang dikhususkan kepada pelajar sekolah mahu pun kakitangan jabatan kerajaan serta pihak swasta yang bercadang untuk mengadakan kursus luar atau aktiviti perkhemahan di sini," katanya yang menghargai sokongan serta kerjasama pihak Felda yang menyediakan tapak tersebut kepadanya. 

Menurutnya, selain mengekalkan pokok-pokok yang ada bagi tujuan mewujudkan suasana persekitaran seperti di hutan semula jadi, pengunjung juga berpeluang belajar serta melihat sendiri pelbagai aktiviti pertanian seperti penternakan ikan sangkar, tanaman pelbagai sayuran serta penternakan ayam yang dijalankan di kawasan tersebut.


Pengunjung berpeluang melihat bagaimana ikan diternak menggunakan kaedah kolam ternakan.


Pendek kata, selain boleh melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti merasai sendiri pengalaman berakit dan bersantai di pondok rehat yang dibina di tengah-tengah tasik seluas padang bola sepak, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti memancing di kolam pancing yang disediakan dengan bayaran yang berpatutan.

Selain itu, salah satu daya tarikan baharu yang terdapat di Aminah Rahmat Agro Farm adalah pameran dinasour yang sedang berlangsung sehingga 14 November 2921 yang dibuka kepada pengunjung bermula pukul 2.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari.


Rumah Warisan Felda yang disediakan untuk kemudahan pengunjung untuk melakukan aktiviti seperti bersolat dan berehat.


"Pameran dinasour ini agak berbeza dengan pameran lain yang lazimnya dibuat di pusat beli-belah atau kawasan tarikan orang ramai sebelum ini. Sebaliknya di sini pameran ini dibuat di kawasan terbuka yang dipenuhi tumbuhan semula jadi menjadikannya menyerupai keadaan sebenar.

Aminah Rahmat bersama salah seorang pekerjanya memastikan 'dinasour' yang dipamerkan berada didalam keadaan baik dan mampu bergerak serta mengeluarkan bunyi.


"Diharapkan melalui pameran ini, ibu bapa berpeluang membawa anak-anak mereka untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai zaman di mana dunia ini masih dihuni oleh dinasour yang sudah pupus ketika ini," katanya yang mengenakan bayaran masuk serendah RM6.00 bagi dewasa dan RM5.00 bagi kanak-kanak.


Kawasan untuk merakam gambar kenangan yang disediakan kepada pengunjung Aminah Rahmat Agro Farm.


Menurutnya, dia juga bercadang untuk membina sebuah dewan solat di kawasan tersebut yang dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan (2022) bagi keselesaan pengunjung walaupun sudah terdapat sebuah rumah berdasarkan reka bentuk rumah peneroka asal Felda yang boleh digunakan pengunjung dikawasan tersebut.

Katanya, selain kemudahan tapak perkhemahan serta tapak untuk 'campfire' antara kemudahan lain yang sedang dalam perancangan untuk dibangunkan adalah trek joging, aktiviti berkayak serta trek kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV) yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun hadapan (2022).


Kawasan untuk aktiviti campfire atau BBQ yang disediakan kepada pengunjung yang berhasrat untuk melakukan aktiviti perkhemahan.


Aktiviti pertanian melalui kaedah fertigasi turut terdapat di Aminah Rahmat Agro Farm.

"Mungkin terdapat mereka yang beranggapan pelaburan besar saya ini sebagai sesuatu yang 'gila' dan membazir, namun bagi saya kepuasan serta matlamat saya untuk mewujudkan satu kawasan riadah yang mampu mendekatkan dan mendidik masyarakat berkaitan alam semula jadi adalah lebih utama dan lebih berbaloi.

"Bagi saya, peranan untuk mendidik generasi akan datang agar lebih memahami serta bertoleransi dengan alam adalah peranan bersama dan saya bersyukur terpilih oleh takdir untuk melakukannya disaat ramai dalam kalangan kita tidak berpeluang melakukannya,"katanya. - KitaReporters


Rakit yang disediakan untuk ke pondok rehat di tengah-tengah tasik.


Pondok rehat yang dibina di tengah-tengah tasik dan hanya boleh dikunjungi menggunakan rakit yang ditarik menggunakan tali sebagai salah satu pengalaman unik yang boleh dirasai pengunjung Aminah Rahmat Agro Farm.


14
16
0
15
0

Copy Link: