PASTINYA ramai tidak begitu mengenali tentang susu masam iaitu sejenis makanan tradisi Terengganu yang cuma dihasilkan daripada susu kerbau diperam dalam buluh beberapa malam sehingga bertukar menjadi beku.

Hidangan yang punyai kombinasi rasa lemak masam ini suatu ketika dahulu begitu popular di Kuala Berang, Hulu Terengganu namun kini semakin sukar diperolehi memandangkan pengusahanya kian berkurangan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makanan tradisi


Nordin Mat Zin (kanan) mengemari susu masam sejak kecil lagi dan ahli keluarganya kini juga turut punyai citarasa yang sama.


Seorang penggemar susu masam dari Kampung Padang Tara, Hulu Terengganu, Nordin Mat Zin,43, berkata dia mengenali makanan berkenaan sejak kecil memandangkan hidangan itu menjadi kegemaran keluarganya.

Susu masam ini turut dikenali sebagai ‘yogurt’ kampung. Cukup terkenal di daerah Hulu Terengganu suatu ketika dulu kerana ramai penduduk gunakan tenaga kerbau untuk membajak sawah sebelum adanya jentera.

“Secara tidak langsung ramai yang menternak kerbau sekali gus hasilkan susu masam ini sebagai hidangan keluarga. Namun ada juga turut menjualnya sebagai pendapatan sampingan kerana makanan ini punyai penggemar tersendiri.

“Sebelum ini, susu masam biasanya mudah diperoleh pada Hari Gilirang Kuala Berang (pasar pagi) setiap Rabu dan Sabtu. Peminat atau penggemar dari daerah lain sanggup datang walaupun jauh hanya semata-mata ingin dapatkan susu masam.

“Perubahan masa menyebabkan susu masam makin sukar didapati kerana tidak ramai lagi yang mengusahakannya. Setakat yang saya tahu kini cuma ada dua individu sahaja masih usahakan makanan ini, harganya antara RM8 hingga RM12 sebatang,” katanya.


Susu masam boleh dimakan dengan gula atau dicampurkan ke dalam pelara, tempoyak serta budu bagi menambahkan lagi selera makan nasi.


Menyentuh mengenai rasa susu masam, Nordin berkata kombinasi lemak masam cukup sempurna dan kesedapannya tidak boleh dijelas dengan kata-kata kerana hanya boleh dinikmati para penggemarnya sahaja.

Nordin berkata, walaupun dihasilkan daripada susu kerbau segar yang diperam tetapi hasilnya cukup terbaik sehinggakan penggemarnya boleh ketagih.

“Saya sendiri hampir saban minggu dapatkannya, anak-anak pun turut gemarinya. Selain dimakan bersama gula, susu masam ini juga sedap dimakan setelah dicampurkan bersama pelara, tempoyak atau budu untuk dimakan dengan nasi,” ujarnya.


Abdullah Ali dibantu oleh isterinya, Faridah Musa, 51, mengusahakan produk susu masam di kediaman mereka di Kampung Kuala Kejir, Hulu Terengganu.


Sementara itu, seorang pengusaha susu masam dari Kampung Kuala Kejir, Hulu Terengganu, Abdullah Ali, 56, berkata penghasilan susu masam cukup mudah kerana hanya gunakan susu kerbau segar dan buluh sahaja.

“Pembuatannya senang tetapi punyai pantang larang. Antaranya, semua peralatan termasuk tangan perlu dipastikan bersih serta kering bermula daripada peringkat awal iaitu kerja-kerja memerah susu.

“Susu kerbau segar telah diperah tidak boleh dibiarkan lama atau dicampurkan dengan air tetapi perlu terus dimasukkan ke dalam ruas buluh telah dipotong. Kemudiannya, permukaan perlu ditutup dengan plastik dan diikat menggunakan getah.

“Seterusnya ia akan diperam sehingga tiga atau empat malam bagi pastikan ia benar-benar beku. Cara paling baik untuk proses peraman ialah dengan gantungkan buluh pada suhu bilik.

“Setelah beberapa malam, susu telah berubah bentuk menjadi beku dan sudah boleh dimakan. Jangan letakkan buluh di dalam peti sejuk kerana susu segar berkenaan tidak akan membeku.” katanya.


Abdullah menggantung buluh yang telah diisi dengan susu kerbau segar untuk proses peraman bagi memastikan susu menjadi beku. 


Tambah Abdullah, hidangan tradisi tersebut menjadi sumber pendapatan sampingannya sejak hampir tujuh bulan lalu setelah dia mengambil keputusan untuk kembali hasilkan susu masam setelah hampir 20 tahun tidak berbuat demikian.

Ujarnya, dia tidak menyangka susu masam masih menjadi buruan orang lama-lama di samping menarik minat generasi muda walaupun hidangan tradisi masyarakat Terengganu itu tidak lagi begitu dikenali. KitaReporters


 

 

 

16
10
1
14
2

Copy Link: