Biar betik! Peniaga jual minuman pada harga RM1! Gerai Pak Din Ayaq Seringgit bukti boleh dilakukan!

Published by
KitaReporters


UMUM mengetahui kenaikan harga makanan dan minuman ketika ini di seluruh negara dan Kedah yang sebelum ini terkenal sebagai lokasi harga murah juga tidak terkecuali.

Bayangkan tiga tahun dahulu sebelum pandemik Covid-19 melanda, sebungkus teh ais hanya berharga RM1.20 tetapi kini sudah naik kepada RM1.80 sehingga RM2 bergantung kepada lokasi.

Namun baru-baru ini tular kisah seorang peniaga di Pantai Johor, Alor Setar yang menjual minuman hanya pada harga RM1 sahaja sebungkus.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan air minuman

Shamsudin Ahmad


Bukan sekadar minuman tanpa susu seperti teh o atau kopi o tetapi gerai yang terkenal dengan nama, Pak Din Ayaq Seringgit itu juga menjual 20 jenis minuman lain termasuk Nescafe ais, Milo ais dan teh hijau ais.

Peniaga berkenaan, Shamsudin Ahmad, 57, yang sudah hampir 20 tahun berniaga minuman di kawasan tersebut, di sebalik kenaikan harga barang ketika ini termasuk susu sehingga ke pembungkus beliau tidak sanggup menaikkan harga minumannya. 

Katanya, pada harga RM1 itu beliau masih memperoleh keuntungan kerana mampu menjual sebanyak 1,000 bungkus setiap hari malah sehingga 2,000 bungkus ketika musim cuti.

“Dari dahulu lagi jual RM1, nak naikkan harga tak sanggup sebab pelanggan kami selalunya budak-budak sekolah berdekatan. Selalunya selepas waktu sekolah mereka akan singgah sini untuk beli minuman. Kalau naikkan harga kasihan pula.

“Keuntungan masih ada walaupun pun tak banyak kerana semua barang sudah naik harga sekarang tak macam dahulu. Gerai ini buka dari pukul 1 petang sehingga 1 pagi tetapi kadang-kadang pukul 10 malam kami tutup sebab ais sudah habis,” katanya ketika ditemui di gerainya itu.


Shahril Ahmad (kanan) menjadi pembancuh minuman di gerai Pak Din Ayaq RM1


Shamsudin menggunakan sebanyak 100 pek ais dan 288 tin susu setiap hari bagi jualan 1,000 bungkusan minuman.

“Selain minuman RM1 ada juga kami jual RM2 seperti Neslo, minuman peket dan limau soda,” katanya. 

Tambah Shamsudin, gerainya itu kini dibantu oleh adiknya, Shahril Ahmad, 40, dan isterinya, Norfadilah Nordin, 38, bersama tiga pembantu mereka.

“Sekarang kos sara hidup sudah naik harga makanan dan minuman paling ketara naiknya. Kalau ada peluang kita untuk mengurangkan beban orang ramai itu kita bantulah apa yang patut. Saya percaya kepada rezeki Allah, apabila kita ikhlas insya-Allah rezeki ada,” katanya.

Sementara itu menurut Shahril, beliau membantu abangnya itu berniaga setelah tamat persekolahan, walaupun setiap minuman tersebut dijual pada harga jauh lebih murah namun sukatan bahan yang digunakan tetap kekal seperti biasa.

“Walaupun harga RM1 namun abang saya selalu ingatkan bahawa sukatan untuk setiap minuman tidak dikurangkan sedikit pun. Biarlah rasanya sama seperti 20 tahun lepas. Berniaga kena ikhlas barulah rezeki berkat.

“Setakat ini alhamdulillah boleh dapat keuntungan lagi setelah tolak kos semua termasuk bayar pembantu gerai mungkin kerana kami boleh jual dalam kuantiti yang banyak,” jelasnya. - KitaReporters


RM1 sahaja sebungkus... Norfadilah Nordin (kanan) bersama seorang pembantu gerai menyediakan minuman kepada pelanggan di gerai dekat Pantai Johor, Alor Setar, Kedah.

12
15
0
11
0

Copy Link: