Ramai lepaskan rindu kepada alam dan laut! Tanjung Harapan jadi tumpuan! Apa menarik di sana?
Published byKredit foto-foto: Mohd Safwan Abd Rasip
KEBENARAN rentas daerah yang diberikan kerajaan kepada penduduk Lembah Klang yang sudah lengkap vaksinasi susulan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula pada Jumaat, 10 September 2021 lalu, dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh warga kota dengan melakukan pelbagai aktiviti.
Ada antara mereka yang mengisi masa hujung minggu dengan membawa keluarga beriadah, mengambil angin atau berkelah di lokasi-lokasi tertentu.
Antara tempat yang menjadi tumpuan adalah Tanjung Harapan yang terletak di Pelabuhan Klang, Klang. Tinjauan KitaReporters mendapati ia menjadi lokasi pilihan keluarga untuk bersantai sambil menikmati pemandangan serta suasana tepi laut.
Apa yang ada di Tanjung Harapan sehingga ia menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu atau semasa cuti umum?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pantai
Safwan bersama isteri, Azline serta anak-anak, Dania Ramadhani dan Danish Ammar mengambil angin di Tanjung Harapan. - Kredit gambar: Mohd Safwan Abd Rasip.
Ketika soalan ini ditujukan kepada salah seorang pengunjung, Mohd Safwan Abd Rasip, 31, beliau berkata: “Tempat ini sangat sesuai untuk mengambil angin sambil melepaskan tekanan selepas sekian lama terkurung di rumah kerana PKP (perintah kawalan pergerakan).
“Dah lama tak boleh ke mana-mana, jadi bila ada peluang sebegini, saya mahu memanfaatkan sepenuhnya dengan membawa keluarga keluar dan bersiar-siar.
“Kebetulan saya pun tinggal di sekitar Klang, jadi Tanjung Harapan adalah pilihan terbaik untuk saya membawa keluarga ambil angin,” kata Safwan yang berkunjung ke situ bersama isteri, Azline Arshad serta dua anak mereka, Damia Ramadhani, 7, dan Danish Ammar, 4.
Menurut Safwan, Tanjung Harapan memiliki beberapa daya penarik untuk dinikmati pengunjung serta sangat sesuai untuk dijadikan tempat riadah sekeluarga.
Laluan untuk berjogging dan berjalan kaki disediakan sepanjang pesisiran Tanjung Harapan. - Kredit foto: Visit Selangor.com
“Kita boleh melakukan pelbagai aktiviti, contohnya, berjogging, berkelah atau sekadar berjalan-jalan di persisiran laut sambil menikmati pemandangan serta menghirup udara segar.
“Terdapat laluan disediakan sepanjang pantai itu, kalau tak silap saya, sejauh 2.5 kilometer (km) atau 3km, juga disediakan pondok dan tempat duduk untuk berehat. Kalau bawa makanan, sambil berehat, boleh makan-makan.
“Memandangkan tempat ini sangat dekat dengan pelabuhan yang menjadi laluan keluar masuk kapal, kehadiran kapal-kapal dagang itu juga menjadi daya tarikan kepada pengunjung.
“Malah, terdapat sebuah replika kapal layar Bugis sebagai mercu tanda Tanjung Harapan. Walaupun pengunjung tidak dibenarkan masuk ke dalamnya namun mereka dibenarkan mengambil gambar di sisi kapal itu ,” kata Safwan.
Replika kapal layar antara yang menjadi daya tarikan pengunjung di Tanjung Harapan. - Kredit foto: Visit Selangor.com
Bagi kaki pancing, mereka boleh melakukan aktiviti memancing. Selain itu, ramai juga pengunjung bermain dron yang secara tak langsung menjadi ‘pertunjukan’ kepada pengunjung lain.
Satu lagi aktiviti yang menjadi kegemaran pengunjung adalah melihat serta merakam gambar matahari terbenam menjelang maghrib.
“Pemandangan waktu itu memang cantik untuk dinikmati serta dirakam sambil melihat kebesaran Allah yang menjadikan siang dan malam.,” katanya.
Namun, menurut Safwan, aktiviti mandi-manda tidak dibenarkan kerana difahamkan kawasan laut itu dipenuhi batu yang dapat dilihat dengan jelas apabila air surut.
Apa yang dikesalkan oleh Safwan ialah pencemaran yang berlaku di sekitar pantai kerana sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengunjung yang membuang sampah sarap dan sisa makanan merata-rata walaupun tong sampah disediakan.
“Amat sayang, kawasan yang menarik untuk beriadah seperti ini dicemari sikap pengunjung yang tidak ada kesedaran sivik. Keadaan ini mendatangngkan rasa tidak selesa,” kataya.
Pemandangan Tanjung Harapan ketika matahari hampir terbenam. - Kredit foto: Mohd Safwan Abd Rasip.
Sementara itu, Ismail Wagiman dari Kepong berkata beliau berkunjung ke Tanjung Harapan semata-mata untuk mengambil angin sambil menikmati suasana laut.
“Sejak PKP dilaksanakan, ini kali pertama kami sekeluarga dapat keluar bersiar-siar. Memandangkan hanya rentas daerah dibenarkan, kami memilih ke sini.
“Ini kali pertama saya ke Tanjung Harapan, sebelum ini hanya mendengar cerita orang. Pada saya, okeylah untuk santai-santai dan release tension selain dapat lepaskan rindu pada laut dan alam,” katanya. - KitaReporters
Kredit foto: Mohd Safwan Abd Rasip.