Jualan Mega 618: Durian D24 atau Sultan dari Pahang laku keras! Buah paling popular di China!
Published byFestival Jualan 618 JD.com di China telah membuktikan tahap populariti dan penerimaan warga republik tersebut terhadap buah durian dari Malaysia berada pada tahap yang membanggakan.
Semasa festival peruncitan besar-besaran di China itu, rekod jualan durian dari Malaysia telah mengungguli jualan buah-buahan lain dan sayur-sayuran, sekali gus membuktikan betapa 'Raja Buah' tersebut mempunyai peminat yang ramai di luar negara.
Menurut laporan laman berita South China Morning Post pada 16 Jun 2021, jenis durian yang paling popular pada festival tersebut adalah jenis Sultan atau D24 dari negeri Pahang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan durian
Kredit foto: www.lazada.com.my
Dalam perkembangan berbeza, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui permintaan untuk mendapatkan buah berduri itu melonjak di negara China dengan import durian segar meningkat empat kali ganda kepada AS$2.3 bilion (RM9.4 bilion) pada tahun 2020.
Ini membuatkan buah durian muncul sebagai kategori buah import nombor satu di China dari sudut nilai import. Ini sekali gus mengatasi import ke atas buah ceri sepanjang tahun 2019.
Kredit foto: duriankingmalaysia.com
Festival 618 JD.com itu merupakan festival jualan yang kedua terbesar di China selepas jualan Hari Bujang oleh konglomerat Alibaba.
Jualan durian Malaysia di festival itu bukan sahaja mengatasi jualan bagi buah-buahan lain, malah ia juga lebih laris berbanding jualan aiskrim dan buah peach yang merupakan antara makanan popular bagi masyarakat di Republik China.
Perkara ini dilaporkan sendiri oleh media tempatan yang memetik data daripada gergasi e-dagang tersebut.
Walaupun pintu masuk negara kita masih belum dibuka khususnya untuk pelancong China melawat dusun durian kita, namun rakyat di sana masih tetap berpeluang merasai keenakan buah durian semasa pandemik Covid-19 ini hasil daripada diplomasi baik yang terjalin antara kedua-dua buah negara ini.
Kita berharap buah durian Malaysia akan terus memasuki pasaran negara-negara kuasa besar dunia lain pula selepas ini. - KitaReporters