Jom pasang pelita! Sempena Pelita Raya Beautiful Terengganu! Malam tujuh likur sempena Ramadan!
Published byTRADISI memasang pelita raya yang menjadi nostalgia masyarakat negeri Terengganu sejak zaman dahulu apabila setiap kali kedatangan malam tujuh likur pada bulan Ramadan kembali memeriahkan suasana sambutan Ramadan di negeri itu.
Jika dahulu tradisi memasang pelita raya dilakukan oleh individu dan keluarga di halaman rumah masing-masing tetapi ia bakal dilihat lebih menyerlah apabila Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) akan meneruskan Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 mulai 22 hingga 26 April 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan memasang pelita
Memasang pelita raya pada malam tujuh likur menjadi tradisi oleh penduduk Terengganu
Bagi mengembalikan nostalgia tradisi memasang pelita pada malam tujuh likur, program yang berlangsung selama lima hari bertemakan 'Pelita Raya Beautiful Terengganu’ itu akan diadakan di Kampung Budaya Terengganu (KBT), Kompleks Muzium Negeri Terengganu.
Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, pertandingan kali
ini, membabitkan penyertaan lapan daerah dari seluruh negeri Terengganu
di mana mereka perlu menghiasi monumen seperti rumah-rumah tradisi, perahu
besar dan Istana Tengku Long yang terdapat di KBT.
Katanya, Pejabat Daerah Dungun perlu menghias Perahu Besar dan galeri pelayaran, Pejabat Daerah Kemaman (Rumah Nelayan), Pejabat Daerah Besut (Rumah Bujang Serambi Selasar) dan Pejabat Daerah Setiu pula Rumah Bujang Berkembar.
Selain itu, katanya, Pejabat Daerah Hulu Terengganu ditetapkan untuk mencantikkan Rumah Limas Belanda, Pejabat Daerah Kuala Terengganu (Rumah Tele), Pejabat Daerah Marang (Istana Tengku Long) dan Pejabat Daerah Kuala Nerus pula akan menghias Laman Warisan.
Fadli Yusof
Kata Fadli, hasil rekaan sebaik-baiknya menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan perlu menggunakan sekurang-kurangnya 100 pelita sumbu. Penambahan replika di kawasan yang ditetapkan adalah satu bonus.
Fadli berkata, pihaknya menetapkan penglibatan semua
pejabat daerah berikutan pihak itu merupakan keluarga angkat kepada rumah-rumah
tradisi KBT.
“KBT akan beroperasi seperti biasa pada waktu siang, dan akan
dilanjutkan waktu pengoperasian pada sebelah malam iaitu dari pukul 9 malam
hingga 11:30 malam.
"Aktiviti sampingan turut dianjurkan antaranya demontrasi dan jualan produk kering serta makanan moreh tradisional di rumah-rumah dan platform yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nostalgia Pelita Raya
Beliau berkata, apa yang dianjurkan itu pastinya bukan sahaja dapat mengembalikan nostalgia malam tujuh likur yang lazimnya diamalkan penduduk dahulu kala, malah dapat mempromosikan KBT kepada masyarakat luar, terutama pelancong asing.
“Penganjuran program tersebut juga pada masa sama mampu memupuk semangat cintakan tradisi Melayu dan mengimarahkan hubungan silaturahim antara pejabat daearah dan pengunjung, malah turut dapat menonjolkan elemen pelancongan budaya yang turut sinonim dengan negeri Terengganu,”katanya. - KitaReporters
Pelbagai reka bentuk kreatif pelita raya yang dipasang oleh penduduk Terengganu