Kena cakna tentang sijil halal! Cef Asma pesan supaya waspada! Banyak makanan guna bahan tak halal!
Published byMemandangkan Malaysia adalah sebuah negara majoriti rakyatnya beragama Islam, maka isu halal dalam sektor pemakanan terutamanya, sangat dititikberatkan. Malah ia sering menjadi isu besar setiap kali dibahaskan dalam media sosial.
Sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) sewajibnya menjadi penentu dan tanda aras buat rakyat Malaysia
beragama Islam untuk menjamu selera di sesebuah restoran tanpa rasa waswas.
Namun, ada segelintir masyarakat Islam hari ini terkeliru terhadap penggunaan perkataan ‘no pork’ dan ‘no lard’.
Selain itu juga, mereka terkeliru apabila melihat ada pelanggan atau pekerja restoran yang memakai tudung. Bagi mereka, restoran tersebut menyediakan makanan halal walaupun tiada logo halal dipamerkan.
Cef Asma sedang memberi tunjuk ajar kepada para pelajarnya.
Sebagai umat Islam, berhati-hatilah dalam hal halal haram ini kerana ia akan menjadi darah daging.
Perkongsian seorang cef bernama Asma Nordin ini boleh dijadikan sebagai panduan. Dia berkongsi pengalamannya sepanjang menuntut ilmu dalam dunia pembuatan pastri (roti dan kek).
“Saya pergi belajar, kutip ilmu tapi tak sentuh makan semua ni sebab ada alkohol. Apabila letak semua tu, kek bau dan rasa sedap di tekak. Ketika belajar, saya ikut sahaja apa yang cef luar negara ajar.
"Saat belajar saya kena hormat cef saya. Saya ikut rentak dia. Tapi disuruh makan, saya tak telan. Cuma saya ambil bau sahaja. Apabila saya nak ajar para pelajar, saya ubah semua resipi yang ada alkohol,” ceritanya.
Bahan yang digunakan ini mengandungi alkohol.
Selain itu, Cef Asma melahirkan rasa kecewa apabila ada segelintir rakyat Malaysia beragama Islam apabila melancong ke luar negara, langsung tidak cakna mengenai halal haram makanan yang dimakan. Tetapi apabila berada di Malaysia, tahu pula soal halal haram sehinggakan semuanya tidak boleh dimakan.
“Bertudung litup tapi apabila pergi bercuti, telan semua dengan alasan makanan tu semua tak memabukkan. Bukan awak telan sebotol wine tu. Walaupun tak mabuk, kita dah telan alkohol.
"Tapi balik Malaysia mulalah bising itu tak boleh, ini tak boleh makan. Kedai bakeri tu tiadapun logo halal. Macam-macam isu keluar tapi telan juga terutama apabila produk tu viral,” katanya.
Nampak sedap dan cantik tapi mengandungi alkohol.
Cef Asma juga menekankan walaupun produk makanan
tersebut untuk vegetarian, kita kena hati-hati. Pastikan baca label dan
bahan-bahan yang digunakan kerana ada sesetengahnya mengandungi alkohol.
“Jika pergi luar negara atau beli di negara kitapun,
saya nak ingatkan walaupun produk tu kategori vegan atau vegetarian kena
perhati dan tengok bahan yang tertulis. Kadang-kadang ada juga alkohol
dimasukkan ke dalam produk itu. Perisa mint pun ada dicampur dengan liquer.
“Hati hati. Kalau waswas jangan beli dan makan. Saya ni tak kiralah berapa peratus alkohol ada dalam produk tu, saya tak makan terus. Pada setiap botol selalunya ada tulis alcohol by volume (ABV),” jelasnya.
Sebagai cef dan juga tenaga pengajar, Cef Asma
menyedari tanggungjawabnya untuk mengajar para pelajarnya menggunakan
bahan-bahan yang halal. Ilmu yang dipelajari menjadi sandaran untuknya mengelak
daripada menggunakan bahan-bahan tidak halal dalam makanan.
“Jangan risau apabila saya buat resipi, semuanya
saya akan tukar kepada bahan yang halal. Saya takkan ikut bulat-bulat apa yang
diajar. Gelatin yang saya gunapun halal.
“Ada juga yang datang kelas saya bertanya halal ke bahan yang cef Asma guna ni. Saya tahulah halal haram. Takkan saya ni jahil tak tahu semua tu. Saya sudah lama kerja dalam industri. Sikit sebanyak saya tahu juga. Cium bau pun saya dah tahu,” terangnya.
Perkongsian itu juga berjaya memberi kesedaran
kepada orang ramai. Rata-rata mengucapkan terima kasih kpada Cef Asma dengan
maklumat dan ilmu yang dikongsi.
“Terima kasih cef kongsi kesedaran tentang ni. Terfikir juga saya selama ini bila tengok orang travel oversea, mereka cuba dessert kat sana halal ke,” tulis salah seorang netizen.