Nak makan buah naga? Datanglah ke Sepang! Kini destinasi utama agropelancongan buah naga di Malaysia!
Published byBuah naga antara buah-buahan pencuci mulut yang digemari ramai kerana bukan sahaja berkhasiat dan kemanisannya malah isinya terdapat dalam pelbagai warna.
Walaupun buah naga ini berasal dari Amerika Selatan tetapi bagi mereka yang melalui Sepang pastinya akan singgah untuk melihat, melawat, merasa dan membeli buah naga dari spesis kaktus ini.
Antara isi warna buah naga ialah putih, merah dan kuning.
Sepang kini dikenali sebagai salah satu destinasi utama penghasilan buah naga di Malaysia.
Dengan tanah yang subur dan iklim tropika yang sesuai, daerah ini menjadi pusat pengeluaran buah naga berkualiti tinggi yang mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara.
Sepang bukan sahaja terkenal dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tetapi juga dengan ladang-ladang buah naga yang merangkumi pelbagai jenis warna antaranya isi putih, merah, dan kuning yang terkenal dengan rasa manis, tekstur segar, serta kualiti premium.
Seorang pengusaha ladang buah naga di Sepang yang ditemui berkata, kawasan ini sangat sesuai untuk penanaman buah naga kerana faktor tanah dan cuaca.
“Kami menggunakan teknik pertanian moden seperti sistem pengairan titisan untuk memastikan buah naga yang dihasilkan sentiasa segar dan berkualiti tinggi,” ujarnya.
Selain menjadi pusat pengeluaran buah naga, Sepang turut menarik pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin melawat ladang buah naga.
Pengunjung berpeluang melihat sendiri proses penanaman, menuai buah dan menikmati produk hiliran seperti jus, jem, serta pencuci mulut berasaskan buah naga.
Pihak berkuasa tempatan juga aktif mempromosikan Sepang sebagai destinasi agropelancongan dengan menganjurkan program seperti festival buah naga dan lawatan ladang untuk menarik lebih ramai pelawat.
Langkah ini bukan sahaja merancakkan sektor pertanian, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan ekonomi tempatan.
Dengan potensi besar dan keunikan tersendiri, Sepang bukan lagi sekadar pintu masuk negara tetapi kini menjadi destinasi unggul bagi peminat buah naga dan pelancong khususnya agropelancongan yang menghargai keindahan serta hasil bumi Malaysia. - KitaReporters