Tolong kami! Bantu Zoo Taiping & Night Safari! Sokong Program Anak Angkat! Makanan, perubatan haiwan!
Published byHarimau Malaya antara haiwan yang dikategorikan sebagai terancam dan memerlukan dana untuk program pembiakan.
ZOO Taiping & Night Safari, satu-satunya taman haiwan yang unik kerana mengekalkan alam semula jadinya. Malah, keindahannya yang dikelilingi tasik, aliran anak sungai serta kehijauan floranya membuatkan sesiapa saja seperti berada di hutan rimba.
Zoo Taiping mempunyai lebih 1,500 haiwan daripada 180 spesies, antaranya harimau, singa, tapir, badak air, siamang, rusa, ngilai, badak sumbu, pelbagai jenis burung dan orang utan.
Usaha mengekalkan suasana alam semula memerlukan kos untuk penyelenggaraan dan keselesaan haiwan di Zoo Taiping.
Namun, kerja-kerja menyelenggara haiwan di zoo berkenaan memerlukan kos yang tinggi setiap tahun. Itu belum termasuk belanja bagi meningkatkan kemudahan di kandang pameran haiwan dan prasarana untuk pengunjung.
Justeru, bagi menangani masalah itu, Zoo Taiping & Night Safari memperkenal Program Anak Angkat bagi memberi peluang orang ramai terutama pencinta haiwan untuk menaja haiwan dan kemudahan di taman haiwan itu.
Azyani Aripin
Penolong Pegawai Tadbir Zoo Taiping & Night Safari, Azyani Aripin, berkata taman haiwan itu memerlukan sumbangan kewangan bagi menampung perbelanjaan makanan haiwan di zoo berkenaan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa selain perubatan dan menaik taraf kemudahan kandang pameran.
Beliau berkata, dengan menaja makanan haiwan taman haiwan ini, ia membantu usaha-usaha konservasi kepada lebih 1,300 dari 140 spesies mamalia, burung, reptilia dan ikan bagi mengekal habitat demi kebaikan generasi akan datang.
Orang Utan antara ikon haiwan tempatan yang perlu dipelihara dan dipastikan tidak pupus.
"Program Anak Angkat yang diperkenal sejak 1994 menyediakan pakej tertentu selain memberi beberapa faedah kepada penaja termasuk pemberian tiket percuma untuk ke Zoo Taiping & Night Safari selain pengecualian cukai pendapatan.
"Ada lima pakej kepada syarikat yang ingin menaja makanan haiwan iaitu pakej Platinum berjumlah RM50,000 ke atas; Emas RM30,000 hingga RM49,000 ke atas; Perak dengan RM10,000 hingga RM29,999 ke atas; Gangsa RM1,000 hingga RM9,999 ke atas dan pakej Ikhlas RM100 hingga RM999," katanya lagi.
Badak air atau hipo sentiasa menjadi tarikan di Zoo Taiping & Night Safari terutama ketika waktu makan.
Bagi pakej Platinum misalnya, penaja mendapat 200 keping tiket Zoo Taiping dan 200 keping tiket Night Safari, plak khas di kandang haiwan tajaan, nama penaja dipamerkan di papan makluman pintu masuk zoo, dua pas parkir kereta percuma bagi tempoh setahun di kawasan Majlis Perbandaran Taiping dan pengecualian cukai pendapatan.
"Program Anak Angkat Zoo Taiping & Night Safari juga mahu memberi kesedaran betapa pentingnya orang ramai termasuk syarikat korporat memelihara alam semulajadi dan haiwan agar ia terus kekal menjadi tatapan generasi akan datang.
Gajah spesies tempatan berjaya dibiakkan hasil dana yang diterima daripada Program Anak Angkat Zoo Taiping & Night Safari.
"Tahukah anda Zoo Taiping dan Night Safari menjadi tempat perlindungan lima spesis haiwan yang tersenarai terancam di Malaysia iaitu harimau Malaya, gajah Malaya, Tapir Malaya, seladang dan harimau kumbang.
"Kita sudah kehilangan spesies badak Sumatera, semoga usaha konservasi dan dana yang diperolehi itu dapat memastikan haiwan yang terancam berkenaan terus hidup supaya generasi masa depan dapat melihat mereka," katanya.
Beliau berharap lebih ramai syarikat korporat terutama dari luar Perak dapat mengambil bahagian dalam program ini kerana sumbangan yang diterima bukan untuk zoo semata-mata tapi demi kebaikan binatang yang menghuni taman haiwan itu. - KitaReporters
Pemilik Rocket Media Enterprise, Abdul Muhaimin Md Khir (empat dari kanan) menaja harimau belang sebanyak RM12,000 melalui Program Anak Angkat Zoo Taiping & Night Safari.