Video| Roti Jane vs Roti John? Anak kampung dari Tawau cipta nama di Shah Alam! Hampir nak give up!
Published by.

SELEPAS keluar dari Restoran Nasi Campur Selera Perlis di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor penulis terpandang ke lokasi gerai tepi jalan berhampiran, ramai betul orang beratur. Apa yang dijualnya peniaga berkenaan ya, tentu makanan viral ni dan sedap?
"Tak apalah, jom kita solat dulu kat masjid, lepas ni kita mai balik, mungkin orang dah tak ramai kot," kata saya kepada isteri.
Tiga puluh minit kemudian kami datang lagi ke tempat itu, alamak orang masih beratur panjang. Saya ambil keputusan beratur bersama-sama pelanggan lain dan melihat dari jauh seperti perniagaan roti John.
Penulis turut beratur bersama pelanggan lain semata-mata untuk menikmati kesedapan roti Jane. - Gambar Zahanim Bidin
"Bukan roti John cik, gerai itu menjual roti Jane," kata seorang pemuda yang kebetulan beratur di hadapan penulis bersama ibunya. Dia yang menetap di Seksyen 8 selalu datang membeli di gerai itu setiap minggu dan mengakui rasanya memang sedap dan lain daripada yang lain.
Saya memesan roti Jane ayam dan daging, semuanya RM23. Dan, sambil-sambil peniaga terbabit menyiapkan pesanan pelanggan, penulis sempat berbual-bual mengenai roti Jane itu.
"Saya berasal dari Tawau, Sabah. anak kelima dari enam beradik. Saya di Shah Alam sejak 2007 tapi itu belum berniaga roti Jane lagi tapi bekerja di beberapa tempat seperti pasar raya Giant dan restoran makanan segera. Gaji masa tu RM700 saja.
Asgar Sulaiman (kanan) dari Tawau, Sabah bersama isterinya bangun daripada kejatuhan dan keadaan hampir putus asa untuk mencipta nama menghasilkan makanan beroti jenama roti Jane.
"Saya pernah kerja dengan abang dalam bidang makanan tapi tak lama sebab selepas beberapa bulan berniaga, berlaku Covid-19 dan kerajaan mengisytiharkan PKP, jadi perniagaan kami terpaksa ditutup," kata pemilik bersama roti Jane, Asgar Sulaiman.
Selepas ditutup tu, bermula episod duka kerana wang simpanannya sudah habis dan terpaksa meminjam termasuk dari adik beradik dan pernah terfikir untuk meninggalkan dunia perniagaan makanan apatah lagi dengan keadaan hidup, isteri dan dua anak yang ada bersamanya ketika itu.
"Ketika itu, saya sudah "give up", memang dah tak boleh hidup dalam bandar dengan hutang serta beban sekeliling pinggang. Tapi abang saya cakap, jangan mengalah dulu. Semangat itulah yang membuatkan saya terus bertahan.
Roti Jane menggunakan kulit ayam yang diadun dengan resipi istimewa supaya rasanya rangup dan enak.
Roti Jane mempunyai beberapa pilihan menu dan dijual dengan harga mampu beli.
"Jadi, terfikir untuk berniaga makanan ala roti John, kebetulan dah dekat dengan Ramadan, tapi saya cuba mengelak menjual roti John kerana sudah ramai berniaga makanan itu. Lalu idea datang untuk membuat kelainan dengan intinya supaya apabila pelanggan makan, mereka tidak kata itu roti John.
"Saya tidak mahu bersaing dengan roti John tapi mahu menjadi orang pertama menghasilkan sesuatu yang baharu. Pengalaman masa kerja dengan restoran makanan segera turut membantu mencipta resipi roti Jane dan saya pun berminat meneroka perkara-perkara baru malah seronok melakukan eksperimen.
"Keistimewaan roti Jane, rotinya lembut, telur gebu, daging banyak, sayur berlambak, mayonis mantap dan harga berpatutan. Saya juga cuba memberi servis yang pantas dan jika terpaksa beratur, saya harap mereka bersabar," katanya.
Roti Jane diadun dengan pelbagai sayur-sayuran, daging dan kulit ayam untuk rasa yang sedap.
Masa itu, katanya belum ada nama lagi dan abang cadangkan roti Jane. Ia adalah sandwic masa depan sedangkan roti John, roti masa silam. Nama baharu itu meletup sekelip mata, ramai ingin tahu bagaimana rasanya roti Jane termasuk pempengaruh dan content creator (pencipta kandungan) membuat video perniagaan roti Jane dan menjadi trending.
"Alhamdulillah, ia banyak membantu dan roti Jane meroket menjadi viral dan ramai orang luar datang walaupun terpaksa beratur. Mereka memuji usaha saya dan mengakui makanan itu sedap dan berbeza berbanding roti John. Kata mereka kulit ayam rangup dan daging rasa "smoky".
"Dulu, sebelum nama roti Jane, jualan di antara 40 hingga 50 biji saja, kini sudah meningkat berkali ganda. Alhamdulillah orang ramai menerima baik makanan ini dan ia memberi suntikan semangat untuk terus berniaga setiap hari," katanya lagi.
Memang tidak jemu menikmati roti Jane dan sesuai untuk selera sempena Ramadan ini.
Ditanya harapan masa depan, katanya dia berharap untuk meluaskan perniagaan roti Jane, mungkin mencari kedai supaya pelanggan lebih selesa untuk makan berbanding sekarang hanya "take away".
"Saya juga mahu membuka lebih banyak cawangan roti Jane di seluruh negara secara konsep franchise. Moga Allah memakbulkan cita-cita saya," katanya.
Gerai roti Jane dibuka setiap hari dari jam 1 tengah hari hingga 7 malam di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. - KitaReporters