Opah Ngomel| Jangan terbing (buat berani)! Nanti makan tak habis! Pengalaman cemas di pengkalan haram!

Published by
KitaReporters


OPAH ingatkan tidak ada apa-apa yang hendak dibimbangkan bila melangkah turun tangga hendak ke pengkalan haram di Rantau Panjang, Kelantan sebab tujuan utama adalah sekadar untuk mengambil gambar kenangan.

Tak sangka pula sebaik saja Opah duduk di kerusi yang selalu dijadikan tempat menunggu perahu tambang dari seberang Golok itu, ada mata-mata yang memerhati dengan pandangan yang sangat serius.

Yalah memikirkan Opah ini asalpun dari Kampung Bakat, di tempat pengawal sempadan yang membuat pondok pemeriksaan itu, sudah jadi lesen besarlah untuk balik kampung dan Opah pun buat macam biasa. 


Penulis berdiri di perairan antarabangsa (zone no man land). Hanya kayu sebagai jalan masuk ke pengkalan perahu tambang kalau mahu ke Golok tanpa bawa pasport atau guna pas sempadan.


Rupa-rupanya ada beberapa kes konflik di sempadan pada hari itu yang membuatkan pengkalan haram itu tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan tempat keluar masuk ke Golok.

Orang Kelantan biasa gunakan pengkalan itu sebab jarak sangat dekat. Bayaran tambah perahu juga murah. Dulu cajnya seringgit saja sekarang yang mungkin kini sudah lama kepada beberapa ringgit. 

Orang Kelantan tidak guna pas sempadan atau pasport kerana lambat dan laluan Golok-Rantau Panjang itu tempat tinggal orang negara jiran yang dikatakan mempunyai dua kad pengenalan.

Masa balik bercuti pada 3 hingga 8 Januari 2025 itu, Opah baru nak letak punggung dan tiba-tiba dari jauh nampak anggota keselamatan sebelah sana ,berdiri dan dan memandang ke arah pengkalan itu. 


Laluan bertiti untuk turun ke pengkalan bagi menaiki perahu ke Golok.


Opah cuma hendak merakamkan gambar saluran paip besar yang tergantung di dinding tembok penahan banjir sebelah Golok yang selalu digunakan untuk membuang limpahan air bah ke arah Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kelantan itu. 

Pada pandangan Opah banjir di Kelantan bukan berpunca dari Sungai Rantau Panjang saja sebab sebelum sampai ke Kota Bharu ada dua tiga sungai lagi termasuk Sungai Kelantan yang kecil dan sungai utama di bandar yang memisahkan dengan daerah Tumpat dan Pasir Mas.

Tak tahu pula perbuatan merakam gambar itu nyaris mengundang bahaya dan mencetus suasana cemas.

Tidak cukup dengan itu, anak dan menantu yang menunggu di atas tebing sungai Rantau Panjang itu kemudian dihampiri seorang pengawal keselamatan negara kita. Lengkap membawa senjata di belakangnya. 

Kemudian seorang lagi datang dan Opah yang masih"beriang ria" posing sana sini, sambil melihat air banjir berlumpur di pengkalan penambang itu, masih tidak perasan lagi "suasana  di atas itu dah makin panas".


Tengok tembok penahan banjir yang dibina di seberang Sungai Golok. Lebihan banjir akan dilepaskan ke sungai ini.


"Umi cepat naik!" Okay sekejap lagi ya. Sebabnya Umi sedang melayan perbualan adik lelaki yang membawa Opah ke tebing sungai itu, yang seronok berkata, elok ni boleh datang ni memancing ikan! 

"Umi naik cepatlah!" Seru anak itu kali ni Opah rasa ada suara lain macam nadanya.

"Umi tahu tak tadi? Waktu Umi tengah leka rakam gambar itu pengawal sempadan tanya saya," katanya dalam nada sedikit marahlah. 

"Buat apa kat situ? polis itu tanya, Wan (anak Opah) terus bagi tahu dia, bawa Umi balik kampung, jumpa mek (mak) tetapi nenek ada di Kota Bharu pula. Jarak antara Kota Bharu dan Rantau Panjang lebih kurang sejam memandu.

"Jangan terbing (berani sangat), dik! Nanti makan tak habis!," kata pegawai itu kepada anak saya. 

"Lagipun boss (ketua) saya ada ni. Nak seberang ke? Baik guna jalan betul dan pakai pasport," ucapnya tanpa banyak bicara. 

Dia kemudian membuka pintu belakang van biru mungkin sedang menunggu pelancong di sebelah pengkalan satu lagi balik dari Golok untuk "diangkut".


Paip untuk aliran banjir ke Sungai Golok.


Oh rupanya Opah tak tahu keadaan sempadan masa tu. Kerana waktu pulang bercuti kedua-dua belah sempadan dikatakan tengah "panas" selepas berlaku tembak menembak dan penangkapan penyanyi dikir barat tempoh hari.

Rantau Panjang itu kampong Opah dilahirkan dan membesar sehingga darjah enam sebelum berpindah ke Kota Bharu itu. Dulu, masa remaja dari Kampung Bakat itu, kami akan ke stesen kereta api di Gual Periok (masa tu tak dikenakan bayaran), beramai-ramai naik kereta api untuk beraya di pekan itu. 

Opah juga kerap keluar masuk ke Golok. Ikut mak berniaga dan pernah ke Sungai Paddy, kampong bekas isteri pertama arwah ayah, bersama abang kandung, Ziran.


Anak dan menantu kelam kabut dok kena soal, Opah bergaya di depan pengkalan. Elok ni untuk mancing, kata adik yang tinggal di Rantau Panjang.


Selepas berpuluh-puluh tahun tidak "nyeberang" (kali akhir lawat rumah bapa saudara di Mundok) ketika di tingkatan lima, pada Januari 2025 itulah, Opah singgahlah ke Rantau Panjang untuk melihat sendiri laporan pekan yang pernah dibangunkan oleh arwah ayah kini dikatakan semakin sepi kerana tidak ramai pelancong dalam negara yang mahu ke pusat perniagaan itu.

Arwah ayah bekerja di majlis perbandaran pekan itu dan zaman dulu-dulu dia mengarahkan penduduk "lampu suluh" dengan pasang pelita jalan (macam dalam filem Melayu zaman dulu tu) di jalan utama untuk menghidupkan waktu malam di pekan itu.

Kita tahu pekan itu kini seolah-olah terbiar kerana dilaporkan ratusan ribu penduduk negara ini lebih memilih untuk menghabiskan cuti di Hatyai atau Pataya serta di Danok untuk menikmati makanan laut dan hiburan yang mampu bayar.

Memang sahihlah ketika kami sampai dan waktu pun bukan musim cuti, sebahagian besar kedai dan pusat niaga dah tutup sebab tiada pengunjung. 

Lebih menyedihkan, kios tepi jalan tersusun cantik tapi semuanya ditutup atau belum ada peniaga yang menyewa tempat itu.

Hendak pula balik ke Kelantan selepas banjir. Boleh lihat juga banyak barang yang ditenggelami bah dilelong sepanjang pekan itu. 



Ikut kata adik lelaki punca utama merosotnya perniagaan di Rantau Panjang sebab perbuatan peniaga itu sendiri yang cekik darah. 

Setiap kali cuti sekolah, musim perayaan dan hujung minggu, peniaga naikkan harga barangan sampai tak masuk akal. Peniaga itu sendiri yang naikkan harga mahal kerana fikir orang ramai akan beli sebagai buah tangan. 

Lama kelamaan pengunjung hanya sekadar singgah cuci mata. Kalau adapun, mereka sekadar cari mi celup, aiskrim kelapa, laksam Siam, sup perut atau sup gearbox. 

Dulu pula terkenal dengan kuih kuba guling. Kuih itu hanya dijual pada hujung minggu saja tetapi sekarang dah tak ada gerai yang jual makanan itu lagi.

Bukan Rantau Panjang saja merosot, pekannya lengang dan tak semeriah seperti dulu-dulu. Katanya Pengkalan Kubur, Zon Niaga Bebas Cukai juga sunyi. Mungkin disebabkan sikap peniaga dan pertukaran mata wang ringgit dan Bath Thai juga menguntungkan jiran kita.  


Kena boikot, KFC pun tutup. Ini restoran sepanjang jalan ke Rantau Panjang.


Pinggan mangkok, selimut toto, baju dan makanan kering adalah tarikan utama ke Rantau Panjang kerana semua perkakas dapur itu dibawa dari Siam dalam corak terbaharu dan pilih saja. Begitu juga buah-buahan. 

Keadaan makin "parah" bila ada kes tembak menembak dan tangkapan ke atas penyanyi serta kawan-kawannya yang sememangnya orang Kelantan turut melunturkan semangat orang Malaysia mahu ke Golok.

Sebab itu ada pula kisah pelanggan datang untuk "tengok-tengok (window shopping)" sebab asal sampai Rantau Panjang tetapi ramai yang memilih membuat belian dalam talian kerana lebih murah. - KitaReporters



Gedung cokelat terbesar di Rantau Panjang macam di Langkawi milik keluarga adik ipar Opah.

11
13
0
6
0

Copy Link: