Video| Gila kalau tak ke Crazy House di Da Lat, Vietnam! Rumah pelik dan unik untuk dikunjungi!

Published by
KitaReporters


TIADA lagi larangan rentas negeri. Tiada lagi halangan untuk keluar negara. Anda sudah lengkapkan dos vaksinasi? Anda dah bersedia untuk pergi bercuti? Jom pergi Vietnam!

Vietnam sememangnya menjanjikan pelbagai lokasi pelancongan menarik untuk dikunjungi bagi mereka yang melancong ke negara ini.

Tidak hanya dapat membeli belah atau melihat bahan tinggalan sejarah perang, pelancong juga berpeluang menyaksikan ‘Crazy House’ atau Rumah Gila yang unik dan pelik sehingga mungkin ada yang pening memikirkannya.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, penulis ke Da Lat, Vietnam dan berpeluang berkunjung ke Crazy House atau nama rasminya Hang Nga Guesthouse. Rumah Gila cuma nama diberikan oleh penduduk setempat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Vietnam


Crazy House menerima pengunjung dari serata negara di dunia. - Kredit foto-foto: Rashidah Ibrahim.


Sebaik sahaja dimaklumkan oleh ketua rombongan destinasi lawatan seterusnya adalah Crazy House, pelbagai tanda tanya bermain pada benak fikiran. Penulis bermonolog sendiri! Apa sebenarnya Rumah Gila itu dan apa yang digilanya?   

Namun demi mahukan sebuah kejutan, penulis sengaja tidak mencari jawapannya di Internet. Jika sudah tahu semuanya, tidak ‘best’, kurang memberikan rasa keterujaan dan kata orang, antiklimaks! 

Crazy House, walaupun terletak di tepi jalan besar namun bangunannya tidak nampak dari luar kerana dilindungi tembok pagar. Rumah ini memang pelik dan sangat-sangat pelik! 

Sebaik melepasi pintu gerbang utama destinasi itu, penulis dan peserta rombongan lain menapak perlahan-lahan sambil memerhati persekitaran. Mata melirik ke setiap sudut kawasan. 

Wow, macam dalam set penggambaran cerita Disneyland. Anehnya bentuk binaan… lain daripada kebiasaan. 

“Bangunan dikatakan lima tingkat tetapi dari luar langsung tidak nampak. Memang unik, apatah lagi dengan konsep gua di hutan serta dipenuhi binaan akar berselirat,” luah penulis teruja kepada rakan rombongan.


Dinding luar bangunan berilhamkan batu gua. 



Sebaik berada dalam kawasan Crazy House, penulis kian terpinga-pinga. Rumah apa macam ini? Siapa pemilik dan arkiteknya? Kenapa dibina begitu? Padan muka, mengapa tidak buat penyelidikan dahulu, bila sampai tiba-tiba ‘blur’. 

Selepas melalui keterujaan keluar masuk dari satu ruang ke satu ruang yang aneka reka bentuk, persoalan sama berlegar pada benak. Adakah rumah ini sengaja dibina begitu? Tujuannya?

Mujurlah di tingkat atas ada sudut maklumat mengenai perekanya, dokumen surat-menyurat berhubung proses pembinaan, pelan rumah dan kisah di sebalik pembinaan rumah itu. 

Lawatan kami tidak berpandu, jadi langkah terus diatur berjalan menelurusi ke segenap ruang di aras bawah dan atas. Selepas berlegar-legar melihat segala keunikan dengan 1001 persoalan belum terungkai, akhirnya penulis temui jawapan mengenai Crazy House. 


Ruang lobi di aras bawah mempamerkan replika sotong kurita dan ikan paus.


Rumah Gila atau Crazy House sebenarnya rumah tamu (guest house), namun kerana seni binanya begitu unik dan pelik ia membuatkan lebih ramai pengunjung sekadar datang melawat tanpa menginap di situ.

Nama asalnya ialah Vila Hang Nga, iaitu sebuah bangunan bukan konvensional rekaan arkitek wanita warga Vietnam, Dang Viet Nga. Ekoran nama itu telah ada di tempat lain ia kemudiannya diberi nama Crazy House selain diberikan jolokan rumah dongeng atau ‘fairy tale house’.

Sejak dibuka pada tahun 1990, bangunan ini mendapat pengiktirafan dalam kategori seni bina unik, dicatat dalam banyak buku panduan dan disenaraikan sebagai salah satu dari 10 bangunan paling aneh di dunia oleh Chinese People's Daily.

Rumah tamu ini mempunyai 10 bilik tamu bertemakan haiwan seperti harimau, helang, semut dan kanggaru dengan dihiasi sesuai dengan tema. Bagaimanapun, penulis tidaklah masuk ke rumah menginap, sekadar melawat sekitar ruang yang terbuka sahaja.

Keterujaan penulis dirasai sewaktu pengalaman memanjat tangga sempit. Lorong tangga di dalam bangunan dirancang menyerupai terowong serta gua! Suasana hutan dan gua di tingkat atas manakala panorama lautan di ruang lobi di aras bawah.


Sekitar kawasan pintu masuk sebelah dalam, Crazy House. 


Memandangkan penulis hanya singgah melawat dan tidak menginap di situ jadi tidak berkesempatan untuk meninjau unit-unit penginapan mahupun menerokai lebih lagi Rumah Gila yang boleh membuatkan orang waras menjadi ‘pusing’. 

Bagi anda yang berhasrat ingin melancong ke Vietnam , Rumah Gila atau Crazy House ini bolehlah dimasukkan sebagai salah satu destinasi lawatan

Malah tidak keterlaluan jika disenaraikan sebagai lokasi wajid dikunjungi di Vietnam kerana di sini menyajikan keanehan dan kepelikan tersendiri. Tidak perlu risau kerana Crazy House bukan rumah untuk orang gila tetapi senantiasa menanti pelancong! -KitaReporters


Bersama `ikan ikan duyung` di laut dalam. Lokasi ruang lobi aras bawah. 


Penulis berdiri di atas belakang replika zirafah gergasi, yang merupakan laluan penghubung dua bangunan. Kredit foto-foto: Rashidah Ibrahim.

9
11
0
12
0

Copy Link: