“SEKALI ombak menghempas pantai, sekali pasir berubah”. Pepatah Melayu berkenaan mungkin sesuai untuk menceritakan perjalanan sate TerraGrill yang berpengkalan di Pulau Langkawi, Kedah ketika negara memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). : KitaReporters



Hampir 20 tahun menguasai pasaran pulau peranginan berkenaan dengan menawarkan sate resipi tradisional kepada puluhan hotel dan pasar malam di sana, siapa sangka pandemik Covid-19 mengubah operasi syarikat ini.

Sekatan kemasukan pelancong asing yang turut menjejaskan hotel perhotelan serta larangan operasi pasar malam juga memberi kesan kepada Terragrill.

Pemiliknya, Zainah Abd Manaf berkata, ini kerana syarikatnya turut berniaga di pasar malam di pulau berkenaan.

“Ketika ini, syarikat saya bertahan dengan sebuah kafe selain menjual secara dalam talian untuk kelangsungan perniagaan,” katanya kepada wakil Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru–baru ini.

Namun , wanita ini tidak patah semangat dan kreatif mencari idea baharu untuk memastikan perniagaan terus berdaya tahan.


Pada awal PKP, Zainah berkata, dia mula meneroka pasaran luar Langkawi dengan mencari pengedar di Lembah Klang.

“Apabila kerajaan membenarkan rentas negeri, saya mula menghantar sate kepada ejen-ejen di Selangor dan Kuala Lumpur. 

"Setakat ini saya telah menghantar sate ke sana sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan melebihi tiga tan,” katanya. 

Zainah yang juga peserta program 100 Go Digital kelolaan MDEC berkata, setiap trip penghantaran ke ibu negara dan kawasan sekitar melibatkan kapasiti sebanyak 800 kg.

Secara kebetulan, ketika temu bual berlangsung, siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berada dalam feri untuk menghantar sate ke Lembah Klang menggunakan van dan berkongsi detik itu menerusi satu kiriman video.

Berhubung bantuan PENJANA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Zainah berkata, dia telah memohon inisiatif pembiayaan Mikro sebanyak RM50,000.

“Ini kerana sebagai usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), saya turut mempunyai kilang menghasilkan sate. Ketika ini saya sedang menunggu proses kelulusan,” katanya.


Pada masa sama katanya, ilmu yang dipelajari menerusi 100 Go Digital akan terus digunakan untuk meluaskan lagi perniagaan termasuk melihat peluang untuk memasarkan jenama Terragrill ke seluruh negara dan pasaran luar.

100 Go Digital yang dilaksanakan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan itu antara lain bertujuan untuk membantu dan membolehkan perniagaan tradisional dalam sektor utama bergerak ke arah digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan dan pengalaman pelanggan.

Usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang program 100 Go Digital boleh melayari laman web https://mdec.my atau menerusi Facebook 100 Go Digital. - KitaReporters

1
0
0
0
0

Copy Link: