Tasik bekas lombong jadi Tasik Biru! Memang cantik sangat!
Published byTASIK Biru di Bukit Ibam, Rompin, Pahang merupakan bekas lombong bijih besi di mana airnya tidak selamat digunakan untuk sebarang aktiviti, malah tiada hidupan akuatik yang menghuni tasik yang membiru itu. Bagaimanapun, lokasi ini sudah semakin popular dan menjadi tumpuan ramai untuk melakukan sesi fotografi. : KitaReporters
Tasik BiruTasik Biru di Bukit Ibam kini menjadi semakin popular selepas ditularkan dalam pelbagai media sosial. Semakin ramai yang datang ke sini untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana rupa bentuk dan kejadiannya.
Tasik Biru secara umumnya mempunyai signifikan dengan aktiviti perlombongan bijih besi yang dikatakan bermula pada 1957. Benar, ia kelihatan begitu indah dan mempersonakan bagi sesiapa yang pernah melihatnya. Tahu tak bagaimana bermulanya kewujudan tasik ini? Bahaya atau tidak?
Biasa tengok air limau 'lime' kaler birukan yang selalu jual di pasar-pasar malam tu? Jadi, bolehla buat agakan kaler biru yang dimaksudkan. Warna biru di Tasik Biru itu adalah 'biru turquoise' sebenarnya!
Bagaimana kejadiannya sehingga 'menghasilkan' warna yang begitu cantik menawan itu?
Aktiviti perlombongan dan kuari yang aktif telah menyebabkan wujudnya banyak lubang-lubang besar hasil dari peletupan bukit bagi mengeluarkan sumber mineral yang ada. Lazimnya, aktiviti melombong bijih besi dilakukan secara terbuka di kawasan berbukit.
Lubang-lubang tersebut kemudiannya menjadi kawasan takungan air yang akhirnya membentuk menjadi sebuah tasik.
Berdasarkan kajian, aktiviti perlombongan itu telah meningkatkan jumlah pepejal terlarut dan logam berat. Tindak balas kimia batuan dan tanah kuari itu antara punca air tasik ini kelihatan sangat jernih.
Ini ekoran pantulan cahaya langit serta kehadiran pokok-pokok di sekelilingnya.
Kedudukannya yang berlatarbelakangkan Bukit Sembilan melengkapkan lagi pemandangan indah di tasik ini.
Walaupun tiada sebarang hidupan akuatik di dalam tasik ini, keindahan warna airnya yang biru serta jernih, benar-benar membuatkan mata kaku terpesona. Cantik sangat!
Selain dikenali sebagai tasik kuari yang terbesar dan terdalam dengan anggaran 40 meter sebagaimana yang pernah direkodkan, warna airnya seakan hidup ketika matahari sedang terik.
Tetapi awas, jangan sesekali nak cuba menyentuh air tasik ini, apatah lagi mandi atau memancing. Bahaya tau!
Walaupun ia sekadar sebuah tasik dengan airnya berwarna biru tiada pokok hiasan selain semak samun dan hutan disekelilingnya, ia tetap menjadi tumpuan untuk sesi bergambar sebagai kenangan.
Bukan senang nak jumpa warna air tasik seperti ini. Tenang dan mendamaikan.
Aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Ibam telah bermula sejak tahun 1957, oleh syarikat Rompin Mining Company (RompinCo) iaitu anak syarikat Eastern Mining & Mineral Company milik British.
Ketika ini, aktiviti masih lagi dilakukan di kawasan berhampiran Tasik Biru ini, sekali gus menyebabkan kawasan tasik semakin mengecil. Ada aku kisah? Janji masih boleh bergambar dan posing syantik!
Menurut cerita lagi, apabila lombong ditutup semua peralatan besi termasuk jentera yang tidak berguna dihumban ke dalam tasik itu. Benar atau tidak? Tiada siapa yang boleh memberi jawapan tepat dan masih dibiarkan kekal sebagai misteri.
Laluan menuju ke Tasik Biru
Untuk ke Tasik Biru ini laluannya tidak sesukar manapun. Letak kenderaan di bahu jalan dan terus berjalan ke laluan kecil menuju ke arah tasik. Nampak kuari je itulah kawasan tasik.
Itu kisah Tasik Biru. Bagaimana pula dengan kisah kewujudan Bukit Ibam itu sendiri. Bagaimana ia diberi nama? Sejarah kewujudan nama ‘Ibam’ itu adalah suatu yang unik dan menarik untuk dikongsikan. Generasi akan datang seharusnya tahu mengenai sejarah ini.
Menurut catatan Superintenden Elektrik RompinCo, G. Scllow perkataan IBAM itu merupakan akronim kepada sebuah judul buku ‘I BOUGHT A MOUNTAIN’ yang ditulis oleh Thomas Firbank pada tahun 1940.
Buku itu telah dibaca oleh jurutera ukur RompinCo, Mr. Fittburg yang bertanggungjawab dalam pembinaan landasan kereta api di situ untuk mengangkut hasil bijih besi.
Ketika itu, Bukit Ibam masih belum mempunyai nama sebagaimana terkandung dalam Peta Malaya tahun 1951 dan beliau telah menamakan tempat itu sebagai IBAM bersempena dengan judul buku tersebut.
Selain itu, ada juga yang mengatakan nama Bukit Ibam merupakan singkatan daripada ‘Iron Bauxite Aluminium Magnesium’.
Lombong yang ditinggalkan begitu sahaja itu akhirnya mewujudkan tasik biru yang cantik tapi berbahaya. Jadinya, marilah kita manfaatkannya dengan hanya merakam gambar sebagai kenangan untuk masa depan. - KitaReporters