.


Oleh ROSLI YAHYA

Peserta dari Cheras, Kuala Lumpur, Md Darapi Awang, 55, telah dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Cabaran Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Kejayaannya menaikkan ikan keli seberat 12.180 kilogram (kg) membolehkan dia memenangi hadiah wang tunai RM5,000 pada pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000.

Darapi menyifatkan tuah buatnya menggunakan cacing disambar ikan keli yang memaksa dia mengambil masa lebih 6 minit sebelum dapat menaikkan ikan tersebut.

Katanya, yang bekerja sendiri,beliau telah berkecimpung menyertai pertandingan memancing ini selama dua tahun akhir rezekinya kali ini berjaya membuahkan hasil.

“Tak sangka menang pulak padahal kehadirannya hanya suka-suka untuk sertai pertandingan ini, alhamdulilah menang pula,” ujarnya.

Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Unit Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Khairul Eswan Ishak.


Hadiah kepada pemenang-pemenang telah disempurnakan oleh Khairul Eswan Ishak. 


Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama JoranKL merupakan salah satu acara yang disediakan kepada warga kota sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025, yang bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’, dan menyaksikan sebanyak lebih 500 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan peserta.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Nor Iman Mohd Adnan, 20, dari Kajang, Selangor apabila berjaya menaikkan ikan keli seberat 11.865 kg untuk menerima hadiah wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhd Musrikin Aknan, 28, dari Klang, Selangor juga menaikkan keli seberat 11.862 kg menerima RM1,000.

Sementara itu, Cabaran Joran Kuala Lumpur itu disertai lebih 600 kaki pancing dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Pahang.

Majlis perasmian bagi pertandingan ini telah disempurnakan oleh Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama para peserta yang mengambil bahagian, mencerminkan komitmen DBKL dalam menyokong aktiviti rekreasi yang memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga kota.


TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif gembira melihat hasil tangkapan ikan keli daripada peserta Cabaran Joran Kuala Lumpur, pada 1 Februari 2025.


Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar satu pertandingan memancing, tetapi juga platform riadah inklusif yang menggalakkan interaksi sosial serta memperkukuh hubungan dalam komuniti.

Sebagai usaha untuk menjadikan Cabaran Joran Kuala Lumpur sebagai acara tahunan, DBKL telah merancang empat siri pertandingan sepanjang tahun 2025, iaitu bersempena Hari Pekerja (Mei), Bulan Kemerdekaan (Ogos), dan Hari Sukan Negara (Oktober), termasuk edisi sulung yang berlangsung pada 1 Februari 2025).

Dengan penganjuran CJKL 2025, DBKL berharap dapat terus menyemarakkan semangat Hari Wilayah Persekutuan, di samping memperkukuhkan keharmonian dan kemakmuran Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia yang menyediakan pelbagai aktiviti riadah untuk warga kota. - KitaReporters


18
11
0
14
0

Copy Link: