Wow sedapnya! Nikmat makan siput sedut, ratah ikan siakap goreng di Warung Wak Dol, Kampung Pasir JB!

Published by
KitaReporters


JIRAN taman yang berpindah ke kampung halamannya di Johor Bahru (JB) berpesan kepada saya supaya singgah makan di Warung Siput Sedut Wak Dol kerana dia pasti saya suka masakannya dan datang lagi selepas itu.

Lagi pun, katanya rumahnya tidak jauh dari warung berkenaan. 

Dia dan isteri memang anak jati Kampung Pasir tapi berhijrah ke Bangi kerana bertugas sebagai pegawai bank. 

"Jangan lupa Haji Roslan, singgah di warung Wak Dol dan ajak saya sekali jika datang ke JB ya...," kata jiran saya Hj T ketika saya mengucapkan selamat jalan kepadanya tiga bulan lalu.


.

Pelanggan sentiasa ramai apatah lagi jika hujung minggu dan cuti umum semata-mata mahu menikmati siput sedut masak lemak cili api.


Apa pun, saya meneruskan misi yang sudah dirancang untuk menikmati siput sedut masak lemak di Warung Wak Dol di Kampung Pasir JB.. Saya tidak menghadapi masalah mencari lokasi warung itu. Dan, kami tiba di warung berkenaan kira-kira jam 11 pagi. 

Warung itu dibuka jam 9.30 pagi hingga 4.15 petang setiap hari dan hanya ditutup hari Jumaat.   

Ketika kami sampai, pelanggan tidak terlalu ramai, jadi mudah untuk meletak kenderaan kerana jiran saya memberitahu jika datang waktu puncak, susah untuk mencari tempat meletak kenderaan. Ada pelanggan sanggup meletak kereta sejauh 100 meter dan berjalan kaki ke warung itu.


Ikan siakap goreng yang dihidang panas dan rangup sedap untuk diratah selain mencicah dengan sambal kicap.


Kelebihan sampai awal juga membolehkan kami memilih menu untuk makan tengah hari itu. Yang pasti menu wajib ialah siput sedut masak lemak dan ikan siakap goreng bersama sambal kicap. 

Saya perhatikan kebanyakan pelanggan mengambil menu yang sama walau pun warung itu ada pelbagai masakan lain, antaranya asam pedas ikan sembilang dan botok-botok. Bayangkan ikan siakap yang digoreng garing dicicah dengan sambal kicap, waduh memang bukan kaleng-kaleng nikmatnya. 

Kesedapan menyedut siput sedut juga tidak kurang asyiknya. 

Anak lelaki saya paling mahir menyedut siput sedut. "Wah, hebat awak menyedut siput sedut yer, kalah ayah macam ni," kata saya sambil melihat gelagatnya menghabiskan separuh dari siput sedut dalam mangkuk yang saya pesan tadi. Isteri saya hanya tersenyum.


Pelbagai menu lain dan ulam-ulaman yang menambah selera ketika makan di Warung Siput Sedut Wak Dol, JB.


Sejam kami di warung itu, pelanggan semakin ramai tapi mereka tidak perlu menunggu atau beratur lama kerana siput sedut dan ikan siakap goreng memang tersedia di rak makanan.

Saya juga perhatikan ramai membawa anak-anak termasuk ibu bapa yang pasti seronok mengimbau kenikmatan menyedut siput sedut masak lemak di kampung dulu. Memang nostalgia kerana tidak banyak gerai menghidangkan menu macam itu. 

Puas kami makan sampai berpeluh, malah ikan siakap yang digoreng garing hanya tinggal tulang. 

Ditambah minuman air asam boi yang sesuai dengan cita rasa saya, kesedapan memang sukar diucap dengan kata-kata kecuali Alhamdulillah.


Botok-botok ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan, dicampur pelbagai herba dan santan, menjadikan ia makanan yang diminati pelanggan.


Ketika mahu membayar, saya terkejut kerana hidangan siput sedut, ikan siakap goreng dan botok-botok serta minuman tidak sampai RM50. Memang berbaloi harga itu dibandingkan dengan kesedapan yang menjilat jari. 

"Tak apa, kira genap dah la, yang lain tu saya sedekah," kata pemilik Warung Siput Sedut Wak Dol sambil menguntum senyum. Saya membalas senyuman itu sambil mengucapkan terima kasih. 

Dalam kereta, saya menghubungi jiran saya dan dia meminta maaf kerana tidak dapat menemani saya tapi berjanji belanja saya makan di warung itu jika saya datang lagi nanti. 

Destinasi kami selepas itu ialah Plaza Angsana kerana lokasinya tidak jauh dari tempat warung Wak Dol. - KitaReporters

29
15
0
8
0

Copy Link: