Dapatkan! Buku antologi inspirasi haji dan umrah! Aku Datang, Ya Allah! Tampil 52 kisah penuh ibrah!
Published byMENGERJAKAN ibadah umrah dan haji di Tanah Suci sudah pasti menjadi impian setiap umat Islam di seluruh dunia. Namun hakikatnya, tidak semua mereka berpeluang bergelar tetamu Allah yang istimewa selagi belum mendapat 'jemputan' daripada-Nya.
Ada orang kaya harta, namun masih tidak terbuka hati untuk ke sana. Ada pula yang papa kedana, tapi siapa sangka mampu menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah atas rahmat dan kasih sayang Allah. Justeru, kaya atau miskin bukanlah faktor utama untuk bergelar dhuyufurrahman, sebaliknya ia bergantung pada panggilan Tuhan pemilik Kaabah.
Jika sudah sampai seru, segala yang mustahil mampu menjadi kenyataan. Begitulah besarnya keagungan Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Tanah Suci
Buku Aku Datang, Ya Allah memaparkan lebih 50 kisah inspirasi haji dan umrah yang mampu menyuntik semangat pembaca untuk ke Tanah Suci. - Kredit foto: Bonda Nor - KitaReporters
Inilah antara intipati yang boleh didapati daripada buku terbaru Aku Datang, Ya Allah terbitan Bonda Nor Sdn Bhd. Buku antologi yang memaparkan lebih 50 kisah mengenai pengalaman haji dan umrah para penulis di bawah circle Bonda Nor ini, diharap mampu menyuntik inspirasi dan motivasi untuk mereka yang belum pernah ke Tanah Suci.
Menurut Bonda Nor yang merupakan salah seorang penulis best-seller buku-buku dakwah santai dan motivasi terkenal tanah air, beliau mendapat ilham menghasilkan buku ini ketika mengerjakan ibadah umrah pada awal November 2022 yang lalu.
Bonda Nor mendapat ilham menyiapkan penerbitan buku Aku Datang, Ya Allah ketika mengerjakan umrah pada awal November lalu.
"Ketika itu saya berada di Masjidil Haram. Setiap kali melafazkan kalimah Labbaikallahumma labbaik, hati menjadi sayu. Namun semangat secara automatik datang menggebu-gebu. Aku datang, ya Allah. Aku datang, ya Allah. Entah kenapa ayat ini asyik berlegar-legar di fikiran dan sering mengundang air mata kebahagiaan.
"Akhirnya, saya nekad menyambut ilham yang tercetus di depan Kaabah untuk mengusahakan sebuah buku yang mengandungi perkongsian kisah-kisah di Tanah Suci Mekah dan Madinah.
"Besar harapan saya, naskhah ini akan menjadi pencetus inspirasi dan motivasi kepada masyarakat agar bersegera merancang perjalanan rohani, umrah dan ziarah di bumi Haramain ini. Semoga menerusi kisah-kisah benar yang dipaparkan turut menjadi panduan yang bermanfaat buat semua," jelas Bonda Nor yang popular dengan siri buku Pujuklah Hati.
Secara keseluruhan terdapat 52 kisah yang dinukilkan berdasarkan kisah benar yang dilalui para penulis sewaktu mengerjakan ibadah haji dan umrah. Semuanya digarap dengan bahasa yang mudah selain mempunyai pelbagai ibrah untuk dihayati.
Salah seorang penulis adalah influencer (pempengaruh), Cikgu Mohd Fadli Salleh yang dikenali sebagai Cikgu Viral yang turut berkongsi memori tentang bagaimana kesungguhan ayahnya menabung untuk anak-anak bagi membawa mereka mengerjakan haji dan umrah.
Buku Aku Datang, Ya Allah ini dicetak dengan kulit tebal dan mengandungi lebih 500 muka surat. Ia bakal dilancarkan pada program Seminar Penulisan Mega Bonda Nor yang telah berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Ahad, 25 Disember 2022.
Buku ini akan dijual pada harga promosi RM50. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi talian 011-21153910 atau 011-23215587. - KitaReporters
Buku ini akan dilancarkan sempena program Seminar Penulisan Mega Bonda Nor pada 25 Disember ini di Masjid Tuanku Zainal Abidin, Putrajaya.