Teringin nak makan gulai ikan sembilang! Jom ke gerai Pak Brahim Kari House! Power dan menyelerakan!

Published by
KitaReporters

 

Gulai ikan sembilang menu istimewa kegemaran ramai di warung' Pak Brahim Kari House' di Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak.


ANDA penggemar gulai ikan sembilang? Sediakah mengembara jauh sehingga ke Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak untuk menikmati keenakan gulai sembilang di warung ‘Pak Brahim Kari House'?

Warung ini terkenal di kalangan peminat gulai sembilang, bukan sahaja dari kawasan berhampiran tetapi menjangkau sehingga ke tempat lain seperti Pulau Pinang. Jauh tidak mengapa asal dapat makan gulai sembilang.

Penulis pada akhir Januari 2025 lalu berkunjung ke warung tersebut pada waktu malam, memenuhi ajakan saudara. 

Gelap malam tidak menghalang kedatangan pengunjung. Malah  amai suka datang waktu malam kerana boleh menikmati gulai dalam suasana santai, dihembus tiupan sejuk angin malam.


Ramai memilih berkunjung ke 'Pak Brahim Kari House' pada waktu malam kerana lebih sejuk dan santai.


Hidangan sudah tiba... Pengunjung bersedia menikmati makanan di 'Pak Brahim Kari House'.


Sebenarnya bukan semua warung atau restoran ada menyajikan hidangan gulai sembilang khasnya atau masakan lain ikan sembilang amnya.

Mungkin kerana ikan sembilang ada kala sukar diperoleh. Di pasar tani tertentu ikan ini ada dijual. Namun harganya agak mahal. Tetapi bagi yang suka itu tidak jadi perkiraan.

Kerana itu penggemar ikan ini sanggup pergi jauh untuk menikmati ikan kesukaan. Selain dimasak kari, ikan ini sedap digoreng panas-panas, dimakan pula dengan nasi panas.

Bagi warung seperti Pak Brahim, ia mempunyai pembekal khas untuk memastikan bekalan ikan sembilang sentiasa berterusan agar tidak menghampakan penggemar yang datang dari jauh dan dekat.


Pelbagai lauk pauk dan sup yang terdapat di 'Pak Brahim Kari House'. Semuanya begitu menyelerakan.


Bunting (gegantung)  menyenaraikan atara menu di 'Pak Brahim Kari House'.


Jangan terkeliru antara ikan sembilang dengan ikan keli. Walau pun zahirnya hampir sama, ada beberapa perbezaan. Ikan sembilang daripada keluarga ‘catfish’ sementara ikan keli keluarga ‘clarias’.

Terdapat beberapa perbezaan lain. Ikan sembilang ialah ikan laut atau sungai, atau air tawar yang bersambung dengan laut. Ikan keli ialah ikan darat atau air tawar.

Badan ikan sembilang lebih cerah berbanding ikan keli. Kepala ikan keli keras, tetapi kepala ikan sembilang lebih lembut. Di pipi kanan dan kiri ikan sembilang ada sedikit daging. 

Ikan keli hanya ada dua sengat di kiri dan kanan badan berhampiran kepala. Ikan sembilang ada tiga, di kiri, kanan dan atas badan.

Ikan sembilang lebih enak jika dimasak gulai. Kerana itu gulai sembilang memang jadi pilihan ramai. Bukan sahaja dagingnya disukai, bahagian kepala enak dinikmati, persis kari kepala ikan.


Jangan terkeliru! Di atas ialah ikan sembilang, di bawah ikan keli.


Ketika sampai ke warung Pak Brahim malam itu, penulis dapati sudah ramai memenuhi ruang. Masing-masing khusyuk menikmati makanan.

Oleh kerana saudara penulis telah membuat tempahan awal, tempat duduk sudah tersedia, begitu juga dengan makanan yang dipesan awal. Kerana itu tiada masalah tempat duduk, pesanan pula segera disajikan.

Tentunya menu utama ialah gulai sembilang, termasuk kepala sembilang. Walaupun gulai sembilang merupakan specialty warung Pak Brahim, pelbagai makanan dan lauk pauk lain turut disediakan.

Pelanggan boleh memilih menu disediakan termasuk sayuran, daging lembu, daging kambing, ayam dan ikan dalam pelbagai jenis masakan. Antaranya kurma kambing, ayam kampung tomato, lamb shake, cencaru belah belakang, sup daging dan lain-lain. Semuanya sedap.


Pengunjung sibuk menyusun makanan untuk menikmati sajian di 'Pak Brahim Kari House'.


Jika meneliti ramainya pengunjung, ternyata ‘Pak Brahim Kari House’ memang popular, jadi tumpuan siang atau malam.

Datanglah berkunjung menikmati sendiri keenakan gulai ikan sembilang dan makanan-makanan lain yang disediakan. Warung ini terletak di Kampung Kedah, Parit Buntar, di tepi jalan besar.

Warung ‘Pak Brahim Kari House’ dibuka dari 4.15 petang hingga 11 malam. Hari Isnin dan Rabu cuti. Boleh datang terus atau buat tempahan melalui talian 012-4984675 atau 012-4436453. Selamat menjamu selera. - KitaReporters


'Pak Brahim Kari House' di Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak sedia menerima tempahan atau datang terus.

 

 

  

14
9
0
12
0

Copy Link: