.


SEPULUH, sembilan....tiga, dua, satu...! Serentak itu, pengunjung di Dataran Putrajaya Presint 3, Putrajaya yang menghitung detik 12 tengah malam pada 31 Disember 2024 bersorak gembira dengan meniup pelbagai bunyi-bunyian dan suasana tambah gegak gempita apabila tembakan bunga api dilepaskan bertubi-tubi ke udara.

Ruang angkasa Putrajaya bermandikan cahaya warna warni dengan bunyi dentuman bunga api yang menandakan detik peralihan dari tahun 2024 kepada tahun baharu 2025. 

Tembakan bunga api di Dataran Putrajaya mengiringi persembahan Amir Masdi yang menyanyikan lagu Jiwa Merdeka.


Sambutan Ambang Tahun Baru 2025 itu adalah kemuncak Festival LAMPU 2024 yang berlangsung dari 27 hingga 31 Disember 2024, menarik kehadiran puluhan ribuan pengunjung dari seluruh negara dengan persembahan pemetaan cahaya mega dan pelbagai aktiviti sampingan yang memukau.

Turut hadir bersama ribuan pengunjung sempena sambutan ambang tahun baru itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud. 

Penggunaan 16 projektor menjadikan persembahan LAMPU 2024 menarik dan bertenaga.


Menampilkan kelainan berbanding pengisian pada empat malam sebelumnya, pengunjung disajikan dengan persembahan pemetaan cahaya mega khas dan pertunjukan kawad senyap Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM).

Penyanyi meningkat naik, Amir Masdi menghangatkan Dataran Putrajaya dengan persembahan bertenaga lagu-lagu terbaharunya termasuk lagu tema drama, "Andai Tiada Dia". 

Pengunjung yang menjerit nama-nama watak seperti Suri lakonan Ummi Nazeera dan Haikal (Hisyam Hamid) turut menyanyi bersamanya. 


Kawasan persekitaran Perbadanan Putrajaya berubah wajah dengan limpahan lampu berwarna warni.


Hazama tidak kurang hebatnya dengan menyanyikan lagu popularnya, Relakan Jiwa dan Peneman, manakala Ziana Zain seperti biasa mendapat tepukan gemuruh sebaik sahaja naik ke pentas untuk menghiburkan pengunjung dengan beberapa lagu hitnya.

LAMPU 2024 dibawakan dengan tema "Menerangi Masa Depan" melalui konsep futuristik, sekali gus membawa aspirasi visi CHASE City yang dihasratkan Dr Zaliha. 

CHASE City ialah akronim bagi Clean (Bersih) City, Healthy (Sihat) City, Advanced (Maju) City, Safe (Selamat) City dan Eco-Friendly (Mesra Alam) City. 


Keunikan malam terakhir LAMPU 2024 yang mengubah bangunan Istana Kehakiman menjadi robot yang berkata-kata.


Dr Zaliha Mustafa berkata, LAMPU 2024 kali ini menampilkan kelainan iaitu menekankan konsep futuristik serta teknologi.

“Kemeriahan LAMPU 2024 kerana ia bersekali dengan sambutan tahun baru 2025, jadi kali ini, kita boleh melihat banyak perbezaan daripada sambutan-sambutan festival cahaya sebelum ini. 

Pengunjung LAMPU 2024 mengambil peluang bergambar di hadapan kereta berhias Perbadanan Putrajaya.


“Satu yang saya kagum ialah pembentangan cahaya yang dipamerkan di sisi fasad bangunan Istana Kehakiman dengan pelbagai corak pencahayaan menggunakan teknologi dari Itali.

"Acara ini bukan sahaja meraikan kehadiran tahun baharu tapi memperkukuh semangat kebersamaan dan kesederhanaan dalam kalangan rakyat Malaysia selari dengan aspirasi Malaysia Madani," katanya. 


Sementara itu, Fadlun berkata, penganjuran LAMPU 2024 bagi membina Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar yang membangun dalam gabungan kemajuan teknologi dengan kemampanan dan kelestarian alam sekitar.

"LAMPU 2024 menggabungkan seni dan teknologi yang mampu meletakkan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai sebuah bandar raya pintar, moden dan berteknologi tinggi selain mengutamakan kesejahteraan penduduk dan alam sekitarnya untuk kehidupan yang mampan di masa depan," katanya. - KitaReporters


Pengunjung LAMPU 2024 menikmati pemandangan indah lampu yang berwarna warni.

14
8
0
10
0

Copy Link: