Best ni! Jom tubik ramai-ramai! Cabaran memancing pantai sambil beramal! Ada dikir barat amal!
Published byMemancing ikan sambil merebut hadiah lumayan pada 25 Jun 2022 ini.
AYUH! Jom ramai-ramai kita pergi memancing. Jangan risau kali ini kaki pancing tak akan didenda kerana aktiviti memancing sudah dibenarkan tapi macam biasa jangan lupa menjaga prosedur operasi standard (SOP).
Untuk kaki pancing ada berita baik menanti anda kerana pada 25 Jun 2022, Sabtu ini bermula pukul 9 pagi hingga 1 petang, ada Cabaran Memancing Pantai DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB, Kota Bahru.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti memancing
Eddie Hamid
Aktiviti anjuran DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB dengan kerjasama Eddie Hamid Fan’s Club (EHFC) ini amat menguntungkan walaupun anda perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM80 untuk satu joran. Peserta dibenarkan menggunakan dua mata kail saja untuk satu joran.
Untuk cabaran memancing ini, juara akan membawa pulang wang tunai RM10,000, naib juara pula akan menerima RM2,000, tempat ketiga akan menerima RM1,000, diikuti RM400 (keempat), RM200 (kelima) dan RM160 untuk tempat keenam hingga ke-60.
Anda layak menerima hadiah berkenaan dengan syarat bukan ikan depu, sesirat dan buntal yang dipancing kerana sepsis ikan tersebut tidak dikira.
Tak perlu bayaran, anda dapat menikmati hiburan secara percuma.
Ada lagi hadiah menarik yang disediakan oleh penganjur iaitu sembilan barangan peralatan elektrik dan 50 hamper. Barangan tersebut akan diberikan kepada peserta bertuah menerusi cabutan bertuah.
Hadiah utama yang bakal dibawa pulang oleh peserta yang bertuah adalah untuk segmen Cabutan Bonanza, di mana sebuah motosikal dijadikan cabutan.
Jangan ditunggu lagi, sila buat pendaftaran segera dengan menghubungi wakil penganjur cabaran memancing Pantai DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB, iaitu M. Rozi (010-8407797), Roslan (011-16516979) dan Mie (016-9886060).
Dari kiri, Man Khan, Eddie Hamid dan Aris Kapilla, antara penyanyi yang akan menghibur penonton pada malam 24 Jun ini.
Menariknya, sempena cabaran memancing tersebut, sehari sebelum pesta memancing, pihak penganjur telah menyediakan segmen hiburan iaitu Dikir Bara Amal yang bakal diadakan di DCZ Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada 24 dan 25 Jun 2022.
Untuk menonton persembahan dikir barat ini tidak dikenakan bayaran, tubik free (masuk percuma). Sebanyak 10 pendikir, termasuk kumpulan Dikir Telaga Bata dari Tumpat akan menghiburkan penonton.
Sementara itu, penyanyi dan komposer Eddie Hamid yang merupakan salah seorang daripada pendikir pada malam 24 Jun 2022 itu berkata, terdapat ramai pendikir yang popular bersedia untuk beraksi.
“Selain saya,penyanyi lain yang cukup dikenali di Kelantan seperti Roy Kapilla, Man Khan, Aris Kapilla, Fendi Kenali pun ada. Pada malam itu juga, kita ada Are Long PMII (Pok Leh Agogo), Rizal Ranjuna (Tok Jogho), Jen Endorro (Tukang Karut), PokNik Ha (Tukang Karut) dan Kumpulan Dikir Telaga Bata, Tumpat.
“Sebenarnya, acara ini bukan untuk hiburan semata-mata tapi kami juga berhasrat untuk memberi sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal. Kalau ada yang ingin berkongsi saham akhirat amat dialu-alukan untuk menyumbang,” katanya mengenai acara yang bermula pada pukul 9 malam itu.
Fendi Kenali, nama yang cukup popular di Kota Bahru, Kelantan.
Pada 25 Jun 2022 pun acara yang sama tetap akan diadakan di di DCZ Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Cuma pada malam kedua, barisan penghiburnya berbeza.
Antara pendikir yang akan mengadakan persembahan pada malam kedua ialah Shaq Mentor IV, ManMegat, Emie Sukma Sari, Raden Mas Uji, Yie Penglipurlara, Fakhru Anok Manja, Rizal Ranjuna (Tok Jogho), Badol Thailand (Tukang Karut), Tuan Kop Raja Saring (Tukang Karut), Kumpulan Dikir Telaga Bata dan penampilan khas, Eddie Hamid.
Untuk persembahan malam kedua, segala sumbangan akan diberikan kepada warga emas dan ibu tunggal. - KitaReporters