Kolam Riadah Kerong di Kampung Pelong, Setiu sudah dibuka kepada peminat pemancing ikan.


PENGALAMAN ketika bekerja dalam apa jua profesion banyak membantu seseorang dalam menjalani kehidupan seharian terutama selepas bersara dari jawatan yang disandangnya.

Bagaimanapun tidak semua yang bersara daripada jawatan asal menceburi bidang yang sama, malah ada yang melakukan kerja-kerja di luar bidang yang pernah mereka lakukan  sebelum ini.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan wartawan:

https://kitareporters.com/search?search=wartawan


Rosli Zakaria menunjukkan antara spesis ikan yang terdapat di kolam miliknya


Kebelakangan ini, ramai wartawan yang satu ketika dahulu dianggap penuh dengan glamor kerana kerjaya tersebut dipandang tinggi oleh masyarakat tetapi selepas bersara ada yang meneruskan pekerjaan dengan menceburi pelbagai bidang yang tidak pernah mereka mimpikan sebelum ini.

Bekas wartawan, Rosli Zakaria, 61, adalah antara yang mengalih profesion selepas menamatkan kerjaya dalam bidang kewartawanan apabila dia memilih untuk menjadi usahawan ternakan ikan.

Kini Rosli memiliki Kolam Riadah Kerong (KRK) terletak kira-kira 3 kilometer selepas Kampung Pelong, Setiu, Terengganu menuju ke Tasir Kenyir mendapat sambutan baik sejak dibuka kepada orang ramai sejak 1 Januari 2021.

Kolam ikan berbayar itu mempunyai pelbagai spesis ikan antaranya patin, keli, kelah, kaloi, jelawat dan lampan sungai.


Seorang pemancing menunjukkan ikan yang berjaya dipancing dalam kolam KRK


Rosli, bekas wartawan New Straits Times (NST) berkata, jumlah pelanggan yang datang ke kolam memancing itu pernah mencapai kira-kira 100 orang dalam sehari.

"Alhamdulillah, sambutan amat baik walaupun ketika tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), jumlahnya semakin bertambah sejak mula dibuka awal tahun (2021) ini.

"Kebanyakan yang datang akan datang semula ke kolam ini untuk memancing kerana mereka berpuas hati dengan tangkapan mereka," katanya.

Rosli berkata, bagi kaki pancing di negeri ini yang berminat untuk menaikkan pelbagai spesis ikan bolehlah berkunjung ke KRK.


Seorang pengunjung wanita bersama hasil memancing ikan di kolam KRK


"Terdapat ribuan ikan dari 21 spesis di kolam ini, pemancing pastinya akan pulang dengan gembira apabila memancing di sini (KRK)," katanya.

Menurutnya, waktu memancing bermula 4 petang hingga 7 malam dan 9 malam hingga 12 malam dengan kadar bayaran yang berpatutan.

"Bagaimanapun dalam tempoh PKPB dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), ia bergantung kepada syarat masa yang ditetapkan, semua pemancing perlu mematuhi SOP," katanya.


Kolam yang tenang ini mempunyai banyak spesis ikan untuk aktiviti memancing


Kolam yang dibina lima tahun lalu itu dimasukan ikan secara berperingkat-peringkat sehinggalah jumlahnya mencukupi.

Antara kemudahan di kawasan kolam pancing itu ialah kawasan teduh, tandas dan bilik mandi serta sebuah surau akan dibina tidak lama lagi, katanya.

Rosli berkata, dia dalam perancangan membuka beberapa buah chalet yang terletak berhampiran kolam untuk kemudahan pemancing. - KitaReporters

14
4
2
4
1

Copy Link: